Jumaat, 24 Mei 2019 | 6:29pm
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang (kanan) menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - Foto NSTP

Debat Kit Siang, Najib boleh cetus ketegangan - Anwar

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai satu langkah yang baik.

Presiden PKR itu berkata, debat antara dua individu terbabit dibimbangi akan mendorong kepada konflik perkauman yang mana ia boleh mencetuskan ketegangan.

“Kit Siang bukannya orang yang tak berani. Apa yang saya lihat, ramai kawan-kawan nasihat tak sesuai (debat) pada masa sekarang.

“Takut timbul ketegangan kaum. (Tarik diri) adalah satu keputusan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kebajikan rumah ke rumah di Kampung Tanjung Agas dan Pasir Panjang di sini, hari ini

Pada program itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut meluangkan masa bersama penduduk setempat selain memberi sumbangan kewangan dan bantuan keperluan bagi persiapan Hari Raya.

Sebelum ini BH melaporkan, Kit Siang memutuskan untuk tidak menarik meneruskan debat dengan Najib selepas menerima nasihat daripada rakan serta rakyat Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bukan kerana takut, sebaliknya bimbang ia akan dimanipulasi menjadi konflik perkauman.

Ditanya sama ada beliau ingin menggantikan tempat Kit Siang untuk teruskan debat bersama Najib, Anwar berkata tiada sebab untuk dirinya berbuat demikian.

“Nak saya debat dengan dia buat apa... bulan-bulan puasa ni,” katanya berseloroh.

Berita Harian X