Sabtu, 16 November 2019 | 11:00am

Manfaatkan vaksin pneumokokal percuma tahun depan

PEMBERIAN vaksin pneumokokal secara percuma kepada semua kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) mulai tahun depan pastinya dapat meningkatkan kualiti kualiti kesihatan anak bagi mengelak pelbagai jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.

Ibu bapa pula perlu memberi kerjasama memanfaatkan kemudahan itu dengan membawa anak masing-masing mendapatkan suntikan berkenaan seperti disaran pakar.

Vaksin tambahan disediakan menerusi peruntukan yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2020, baru-baru ini.

Suntikan vaksin pneumokokal kini hanya diambil mereka yang memerlukan dengan kos di antara RM250 hingga RM300 bagi satu dos. Namun kosnya mampu diturunkan sekitar RM100 sekiranya bekalan vaksin itu dibeli pada kuantiti besar.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata meskipun peruntukan RM60 juta itu tidak mampu menampung kos pembelian vaksin semuanya, namun kerajaan masih boleh berjimat sekiranya memperoleh daripada pembekal pada harga minimum.

PROF Datuk Dr Zulkifli Ismail

“Pengumuman RM60 juta menerusi Belanjawan 2020 disalurkan menerusi NIP, sebagai suatu usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Usaha mendapatkan suntikan itu sudah perjuangkan oleh pengamal perubatan sejak 15 tahun lalu, menggesa supaya Kementerian Kesihatan memasukkan vaksin berkenaan dalam NIP untuk dimanfaatkan semua pihak.

“Sudah pasti pengumuman pada Belanjawan 2020 adalah sesuatu yang begitu menggembirakan kami dalam usaha meningkatkan kualiti kesihatan kanak-kanak seluruh negara,” katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Runding bersama syarikat pembekal

Dr Zulkifli yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pediatrik Malaysia, berkata jika hendak diikutkan peruntukan RM60 juta bagi menampung setengah juta kelahiran bayi setiap tahun tidak mencukupi.

Namun beliau berkata, pihaknya optimis peruntukan awal itu boleh dimaksimumkan penggunaannya secara inovatif dengan memperoleh bekalan mengikut keperluan semasa.

Pada masa sama juga, katanya kementerian boleh mengadakan rundingan dengan syarikat pembekal bagi mendapatkan vaksin pada harga lebih rendah tetapi perlu dibeli dengan kuantiti banyak.

“Satu cadangan ialah supaya pembelian vaksin dilakukan secara pukal oleh negara anggota ASEAN. Cara ini mengikut pembelian vaksin seperti dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) yang bergabung dengan banyak negara membeli pada kuantiti besar bagi mendapatkan harga yang amat rendah.

“Jika 10 negara di bawah Sekretariat ASEAN bersetuju mengambil vaksin sama, kita boleh membuka sebut harga terbaik untuk mengambil dalam kuantiti yang banyak. Itu saja cara yang boleh mengurangkan harga untuk mendapat kuasa membeli seperti dilakukan PAHO,” katanya.

Mengulas peruntukan itu untuk NIP, Dr Zulkifli membayangkan kos berkenaan hanya untuk menampung pembelian vaksin namun tidak termasuk dana bagi menguruskan kos operasinya.

“Saya melihat jumlah peruntukan perlu digunakan untuk kos penyimpanan, pengendalian dan juga tenaga pakar bagi menguruskannya.

“Setiap klinik kesihatan memerlukan banyak dos untuk disimpan. Dos vaksin ini memerlukan ruang peti sejuk untuk disimpan.

“Kami mengharapkan peruntukan diperoleh kepada NIP juga turut memberi kesan kepada penurunan harga vaksin untuk pesakit pusat perubatan swasta yang dapat seperti berlaku pada vaksin Hepatitis B.

INFO

* Pemberian vaksin pneumokokal mampu menjimatkan kos perubatan kerajaan sehingga RM488 juta.

* Mampu menurunkan kadar kematian sehingga 792 kes dalam tempoh lima tahun.

* Vaksin juga menyebabkan penurunan penyakit pneumokokus invasif sebanyak 1,920 kes, pneumonia; 58,677 kes dan otitis media akut; 322,228 kes.

- Foto hiasan
Berita Harian X