Amalan menikmati sajian di luar dengan terdedah dengan hembusan asap rokok daripada orang sekeliling meningkatkan risiko barah paru-paru dalam kalangan wanita di negara ini pada usia kurang 40 tahun.
Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Kanser Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Mastura Md Yusof, berkata kajian pakar tempatan mendapati, barah paru-paru dalam kalangan wanita pada usia berkenaan meningkat.
Beliau berkata, selain asap rokok (secondhand smoke), mereka juga terdedah dengan pencemaran lain antaranya udara selain jangkitan kuman dan diet tidak seimbang.
Katanya, asap daripada perokok menjadikan mereka berisiko menghidap barah berkenaan sedangkan masing-masing bukanlah perokok tegar.
“Keadaan menjadi lebih kritikal kerana kadar kematian disebabkan barah ini dalam kalangan wanita Asia meningkat sepanjang tempoh dua dekad lalu.
“Barah tidak memilih mangsanya dan boleh menyerang sesiapa sahaja yang berada bersama dalam sebuah rumah atau berhampiran dengan perokok atau berada di sekeliling mereka.
“Kini walaupun ada larangan merokok di dalam premis, namun perokok mengambil sikap sambil lewa dengan menghembus asap rokok hingga bahayakan kesihatan orang lain,” katanya kepada BH.
Kanser mudah merebak
Dr Mastura berkata, kajian yang sama turut mendapati 80 peratus pesakit barah paru-paru dalam kalangan rakyat Malaysia adalah jenis Adenocarcinoma.
Beliau berkata, hampir 40 peratus daripada mereka mempunyai jenis barah ‘EGFR mutation positive’ dan hampir lapan peratus pula jenis ‘ALK mutation positive’. Karakter pada barah pesakit adalah unsur penggalak pertumbuhan dan perebakan kanser.
Kanser paru-paru boleh dikesan melalui ujian XRAY dada, imbasan CT scan atau PET scan. Namun diagnosis hanya boleh disahkan melalui ujian biopsi iaitu pengambilan tisu barah melalui prosedur bronkoskopi, CT biopsi berpandu atau pengambilan sampel sel daripada cecair pada paru-paru. Kehadiran sel barah selanjutnya disahkan menerusi ujian patologi.
Beliau berkata, tiga barah iaitu payudara, kolon dan paru-paru sering menghantui wanita negara ini, serta menjadi pembunuh utama
“Walaupun peratusan pengidap barah paru-paru adalah nombor tiga, namun ia adalah pembunuh nombor dua selepas payudara. Ini amat menakutkan, lebih-lebih lagi tahap kesedaran wanita mengenai penyakit ini amat rendah terutama masyarakat Melayu,” katanya.
Sementara itu katanya, barah paru-paru terbahagi kepada dua kumpulan utama melalui ciri-cirinya di bawah mikroskop iaitu sel kecil carcinoma (SCLC) atau bukan sel kecil carcinoma (NSCLC).
“Barah paru-paru SCLC lazimnya terbit dalam saluran pernafasan besar (bronkus) dan membesar dengan pantas dan mudah merebak. Kebiasaannya pengamal perubatan hanya dapat mengesannya apabila pesakit pada tahap empat.
“Barah paru-paru NSCLC pula terbahagi kepada adenocarcinoma, squamous carcinoma dan large cell carcinoma. Pertumbuhan barah jenis paling kerap iaitu adenocarcinoma adalah lebih perlahan dan lazimnya terbentuk pada sel paru-paru sendiri.
“Sekitar tiga dekad lalu saintis mendapati sesetengah barah jenis adenocarcinoma mempunyai mutasi pada molekul reseptor faktor pertumbuhan epidermis (EGFR) yang mengawal pertumbuhan sel barah,” katanya.
Terapi sasaran elak kesan sampingan
Dr Mastura berkata, penemuan itu membawa kepada terciptanya ubat terapi sasaran khusus untuk mengubati atau mengawal barah paru-paru jenis ini.
“Ubat ini diberi dalam bentuk tablet dan tidak mempunyai banyak kesan sampingan. Ini berbeza dengan kaedah lama kemoterapi yang mensasarkan sel barah yang mempunyai kadar pertumbuhan lebih cepat namun tidak dapat membezakan sesetengah sel normal yang juga bersifat begitu.
“Pesakit mungkin menderita kesan sampingan daripada terapi kemoterapi seperti kesakitan, kelesuan, rambut gugur dan kulit kering dan demam,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata teknologi terkini dalam rawatan barah paru-paru menggunakan imunoterapi iaitu sejenis rawatan kanser menggunakan prinsip memperkasakan sistem imun badan bertujuan melawan kanser.
“Sepatutnya sistem imun badan manusia yang baik akan melawan sel barah tetapi dalam sesetengah pesakit barah paru-paru, ia gagal berfungsi.
“Terdapat ujian yang boleh dilakukan ke atas barah paru-paru untuk mengenalpasti keadaan ini seperti ujian PDL-1. Imunoterapi adalah ubat anti kanser diberikan secara suntikan dan terbukti berkesan bagi pesakit yang mempunyai ekspresi PDL-1 yang tinggi pada barah mereka.
“Dengan memberi ubat imunoterapi bersesuaian sama ada bergabung dengan kimoterapi atau tidak, sistem imun dipulihkan dan fungsi imun melawan sel barah berkenaan kembali . Ini disahkan lebih baik berbanding kemoterapi pada pesakit yang mempunyai ekspresi PDL-1 yang tinggi pada barah mereka,” katanya.
Justeru, beliau meminta ahli keluarga atau waris pesakit sentiasa memberi sokongan dan berfikiran positif bagi melawan penyakit merbahaya ini.
INFO: Barah paru-paru
Tanda awal barah paru-paru