Jumaat, 15 November 2019 | 12:07pm

Vitamin E asetat, THC punca kematian berkaitan vape di AS

KUALA LUMPUR: Isu vape atau rokok elektronik (e-rokok) terus mencetuskan kebimbangan global apabila Amerika Syarikat (AS) melaporkan 2,051 jumlah kes penyakit misteri paru-paru membabitkan pengguna vape dengan 39 kematian setakat ini.

Isu bertambah hangat apabila San Francisco dan Massachusetts menguatkuasakan tindakan tegas larangan vape secara keseluruhannya sehingga kesan ke atas kesihatan pengguna vape dapat dikenalpasti.

Bahkan, gerakan anti-vape dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia seperti di Turki, India dan Malaysia mengambil kesempatan ini untuk menggesa kerajaan melarang penggunaan vape.

Malah, syarikat e-dagang seperti Alibaba dan gergasi peruncitan Walmart turut bertindak menghentikan jualan produk vape kepada pelanggannya di AS.

Tidak dinafikan kematian dan penyakit paru-paru yang berlaku di AS itu sesuatu yang sangat dikesali semua pihak.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kes yang sama dilaporkan di Eropah, Kanada, United Kingdom (UK) atau mana-mana negara lain yang sudah pun membenarkan penjualan vape secara terkawal dengan penggubalan undang-undang vape di negara masing-masing.

Bahkan, apabila kebimbangan terhadap kesan produk vape memuncak di seluruh dunia, ahli perubatan dan pegawai kesihatan di UK sudahpun mengeluarkan kenyataan menjelaskan kes penyakit di AS itu dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah dan bukannya penggunaan vape yang mengandungi nikotin dalam jangka masa panjang.

Baru-baru ini, agensi kesihatan negara UK, Public Health England, mengeluarkan kenyataan, mereka tetap dengan penemuan mereka sebelum ini bahawa vape adalah 95 peratus kurang berbahaya berbanding rokok.

Mereka juga menggalakkan perokok supaya beralih menggunakan produk vape ini. Justeru, timbul persoalan terhadap kes yang dilaporkan di AS apabila negara seperti UK dan lain yang mengawal produk vape, tidak turut panik selepas laporan kejadian di AS.

Fakta 1 – Penyakit dan kematian di AS berpunca daripada penyalahgunaan produk.

Pada 5 November baru-baru ini, badan kesihatan di AS, Centers for Disease Control and Prevention (CDC), mengeluarkan laporan terbaharu yang mana penemuan kaji selidik mereka menyatakan bahawa punca penyakit dan kematian membabitkan vape di AS adalah dikaitkan dengan penyalahgunaan produk.

Punca kematian dan penyakit di AS itu diberikan kod nama EVALI (e-rokok, vape atau produk berkaitan kecederaan paru-paru) dan berdasarkan maklumat rasmi, kes berkenaan membabitkan penyalahgunaan produk Vitamin E asetat dan tetrahydrocannabinol (THC), sejenis dadah.

Dalam bahasa mudah, kecederaan paru-paru itu bukannya disebabkan penggunaan vape sebaliknya berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan Vitamin E asetat yang dicampurkan ke dalam produk.

Laporan terkini dari CDC turut menyatakan, 867 pesakit mengetahui kandungan vape yang digunakan dan 86 peratus pengguna mengaku menggunakan produk mengandungi THC.

Walaupun siasatan masih dijalankan, semakin banyak bukti dikumpulkan yang menunjukkan bahan digunakan itu mempunyai kaitan dengan THC dan Vitamin E asetat sehinggakan kini CDC mencadangkan agar pengguna berhenti menggunakan produk vape yang mengandungi THC.

Fakta 2 – Larangan penggunaan vape adalah pemikiran jangka pendek dan mendatangkan kesan buruk jangka panjang.

Sesetengah pihak beranggapan bahawa larangan penggunaan vape mendatangkan lebih banyak keburukan.

Larangan penggunaan vape dianggap akan menjejaskan perbincangan terbuka yang berasaskan fakta berkenaan produk vape.

Ini sebaliknya membuatkan ramai mengejar fenomena “buah larangan” yang akan menggalakkan lagi penggunaan produk vape tanpa kawalan.

Produk vape sudah lama berada di pasaran. Bagi yang tidak mengetahui mengenai produk vape, ianya terbahagi kepada peranti dan cecair yang juga dikenali e-liquid. Peranti digunakan untuk memanaskan e-liquid yang mengandungi pelbagai bahan sama ada yang dicampur adunkan sendiri oleh pengguna atau dibeli dari pasaran di mana produk adalah dikawal atau daripada pasaran gelap.

Semenjak kes kejadian di AS, sesetengah pihak beranggapan mereka yang menyalahkan vape diibaratkan sebagai menyalahkan jarum suntikan berbanding pengunaan dadah itu sendiri atau menyalahkan cawan berbanding minuman arsenik.

Bahkan kajian pada 2015 oleh penyelidik Abigail Friedman turut menunjukkan bahawa larangan ke atas aktiviti penggunaan vape mendatangkan keburukan.

Abigail menggunakan sampel kajian individu yang gemarkan minuman Diet Coke.

Beliau menyatakan, sekiranya Diet Coke dilarang maka pengguna akan beralih kepada Coke atau Coke Zero atau Diet Pepsi, bukan air seperti yang sepatutnya. Ini bermakna, sekiranya larangan dibuat, ramai pengguna vape akan beralih menjadi perokok.

Prinsip penggantian itu juga didapati sejajar dengan pengguna mencari penggantian bagi produk terbabit.

Masa depan vape di Malaysia perlukan penyelesaian

Penyelesaian radikal seperti pembenaran jualan nikotin vape secara terkawal diperlukan melalui kawalan akta dan peraturan.

Jika kerajaan melarang penjualan produk berkenaan, tindakan ini pasti akan membuatkan pengguna memperoleh produk ini melalui pasaran gelap.

Jelaslah bahawa peraturan kawal selia sepatutnya dilaksanakan sejak awal lagi. Menerusi langkah ini, bahan yang digunakan oleh pengguna vape wajib melalui proses pengilangan paling selamat, penjualan terkawal dan pemantauan rapi serta pengumpulan data untuk analisasi.

Langkah ini selaras dengan sasaran kerajaan untuk melindungi kesihatan orang awam dengan mengawal produk piawaian dan penggunaannya.

Hala tuju Malaysia dalam merancang untuk mengawal atau melarang sepenuhnya nikotin vape kelak perlu berlandaskan kepada objektif yang rasional supaya keputusan dibuat itu berupaya membantu memperkasakan lagi agenda kesihatan nasional.

Berita Harian X