Isnin, 28 Oktober 2019 | 8:00pm

Kosmetik haram 'dikitar semula'

KUALA LUMPUR: Produk sama, nama sahaja baharu. Itu antara taktik digunakan sesetengah pengusaha kosmetik yang mengeluarkan produk baharu dengan sedikit perubahan campuran formula selepas produk lama mereka dilarang dijual di pasaran oleh pihak berkuasa.

Larangan dikeluarkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan kerana produk mengandungi bahan terlarang, termasuk racun berjadual seperti hydroquinone, merkuri dan tretinoin.

Berdasarkan maklumat di laman web NPRA, sesetengah jenama kosmetik dikesan memiliki produk baharu setiap tahun selepas notifikasi NPRA terhadap produk terdahulu dibatalkan kerana isu campur palsu atau mengandungi racun berjadual.

Senarai sejak 2017 sehingga 2019 menunjukkan pembatalan notifikasi yang dikenakan terhadap beberapa jenama kosmetik, bukan setakat ke atas satu produk sahaja, malah ada sehingga tiga produk di bawah jenama sama setiap tahun.

Menerusi taktik ‘kitar semula’, produk seperti krim pemutih kulit yang dijual dengan nama Day Cream, Night Cream, Glow Cream atau Treatment Cream yang diarah ditarik balik dari pasaran, akan dikeluarkan dengan nama lain.

Semua produk terbabit mengandungi sekurang-kurangnya satu daripada racun berjadual yang popular dalam bahan kosmetik atau kombinasi dua daripada tiga racuan berjadual hydroquinone, merkuri dan tretinoin.

Pengeluar atau pengusaha kosmetik biasanya menggunakan nama baharu untuk produk dengan sedikit perubahan pada kandungan setiap kali membuat perisytiharan kepada NPRA bagi tujuan mendapatkan notifikasi baharu.

Notifikasi produk adalah pengisytiharan maklumat produk yang perlu dikemukakan kepada NPRA sebelum dibenarkan dijual di pasaran negara ini.

Permohonan perlu dikemukakan dengan dokumen sokongan yang sahih, bertujuan memastikan produk yang didaftarkan adalah selamat dan berkualiti kepada pengguna.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah NPRA, Siti Najlaa Izzatie Muhamad Marzukhi, menegaskan syarikat kosmetik tempatan yang memiliki rekod pembatalan notifikasi memang dalam pemantauan pihaknya.

Malah, NPRA turut peka setiap kali syarikat terbabit mengeluarkan produk baharu jika rekod terdahulu menunjukkan banyak produk keluaran mereka didapati mengandungi bahan terlarang.


Ketua Penolong Pengarah NPRA, Siti Najlaa Izzatie Muhamad Marzukhi. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

“Kami perasan dengan trend beberapa syarikat yang sering dikenakan pembatalan notifikasi beberapa produk mereka. Kami akan tengok balik rekod mereka, kenal pasti siapa pengilang dan produk keluaran mereka.

“Kami sasarkan mereka setiap kali keluarkan produk baharu. Selagi rekod tidak bersih, kami akan terus sasarkan produk keluaran syarikat terbabit untuk memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau menjelaskan, produk kosmetik yang dibatalkan notifikasi akan disenarai di laman web NPRA untuk membolehkan pengguna mendapatkan maklumat dan mengenal pasti produk yang benar-benar selamat.

Bagaimanapun, katanya, NPRA hanya ada kuasa melakukan pembatalan notifikasi produk yang dikesan mengandungi bahan terlarang termasuk racun berjadual.

“Kami hanya batalkan produk yang dikesan ada campuran palsu, bukan keseluruhan jenama kosmetik itu. Produk lain walaupun daripada jenama sama, tidak boleh dibatalkan selagi ujian menunjukkan ia tidak mendatangkan masalah,” katanya.

Pengusaha terus dikesan lakukan kesalahan sama

Sesetengah pengusaha kosmetik yang produk mereka dilarang dijual kerana ada bahan terlarang, dikesan terus melakukan kesalahan sama, malah ada dikenakan tindakan itu bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

Keadaan itu mencetuskan persoalan mengenai keselamatan produk keluaran syarikat terbabit, tambahan pula jenama mereka mendapat sambutan pengguna.

Sepanjang 2008 hingga 2019, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan, menyenaraikan 171 produk kosmetik pelbagai jenama yang mengandungi bahan terlarang, termasuk tiga jenis racun berjadual yang popular, hydroquinone, merkuri dan tretinoin.

Bagi 2019 saja, sebanyak 14 produk dikesan mengandungi merkuri, empat mengandungi hydroquinone, tiga mengandungi tretinoin dan empat yang lain mengandungi kombinasi campuran hydroquinone dan tretinoin.

Pada 2018 pula, merkuri racuan berjadul paling banyak dikesan membabitkan 18 produk kosmetik, manakala enam produk mengandungi kombinasi hydroquinone dan tretinoin serta masing-masing satu produk mengandungi diphenhydramine, hydroquinone dan kombinasi hydroquinone serta merkuri.

Setahun sebelum itu, NPRA mengesan 15 produk mengandungi merkuri, 10 mengandungi campuran hydroquinone dan tretinoin serta empat mengandungi hydroquinone.

Semua bahan terlarang yang dikesan dalam produk kosmetik berkenaan disifatkan sebagai ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan hanya boleh diguna atas nasihat profesional kesihatan.

Penggunaan hydroquinone popular dalam produk kosmetik bagi mendapatkan kesan segera dalam merawat masalah jeragat, untuk pencerahan kulit serta bagi rawatan kulit tidak sekata.

Begitu juga dengan logam berat merkuri yang dikatakan mampu memberi kesan hampir sama dengan hydroquinone, selain bagi rawatan antipenuaan dan kedutan, manakala tretinoin untuk masalah jerawat dan mengurangkan kedutan.

Bahan terlarang lain turut digunakan dalam produk kosmetik, termasuk satu atau campuran beberapa bahan seperti diphenhydramine, chloramphenicol, sulfamethoxazole serta trimethoprim.

Selain itu, bahan seperti ketoconazole, griseofulvin, metronidazole, triamcinolone acetonide, hydroquinone dan betamethasone valerate turut digunakan.

Mengulas isu berkenaan, Ketua Penolong Pengarah NPRA, Siti Najlaa Izzatie Muhamad Marzukhi, mengakui ada pengeluar menggunakan helah kononnya produk mereka yang dikesan mengandungi bahan beracun adalah produk tiruan.

“Alasan itu bagi memastikan pengguna terus percaya dengan produk keluaran mereka, tetapi jika pengeluar bertanggungjawab, mereka akan pastikan semua produk yang dikesan mengandungi hydroquinone, merkuri atau tretinoin ditarik balik dari pasaran dalam tempoh diberikan,” katanya.

Berita Harian X