Sabtu, 19 Oktober 2019 | 4:42pm

Vaksin 'wanita' selamatkan lelaki

PERSEPSI lapuk suntikan vaksin virus papiloma manusia atau Human Papilloma virus (HPV) hanya untuk wanita bertujuan mencegah kanser servik perlu dihakis kerana lelaki turut berdepan risiko menghidap penyakit sama atau ketuat pada alat kelamin.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan, berkata selain kanser pangkal rahim, ketuat dan kanser alat kelamin, lelaki dan wanita berisiko dijangkiti kanser lubang dubur dan kerongkong.

Katanya, kanser disebabkan jangkitan kuman HPV tidak hanya pada wanita, sebaliknya lelaki juga terdedah pada risiko sama.

“Virus HPV 16 dan 18 boleh menyebabkan lebih 70 peratus lelaki dijangkiti kanser alat kelamin. Sementara itu, lebih 70 peratus kanser lubang dubur boleh dideritai oleh wanita dan lelaki.

“Virus HPV 6 dan 11 kurang risiko, tidak menyebabkan kanser tetapi 90 peratus daripadanya boleh menyebabkan ketuat pada alat kelamin lelaki dan wanita,” katanya.

Dr Jamiyah berkata, kesedaran masyarakat membuat suntikan vaksin HPV masih rendah, meskipun Kementerian Kesihatan sudah meluluskannya sejak 2006.

Kerajaan memberikan suntikan percuma kepada kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun sejak sembilan tahun lalu.

Vaksin HPV sinonim kerana awalnya suntikan diperkenalkan bagi menangani risiko kanser pangkal rahim yang menjadi pembunuh nombor dua wanita di negara ini.

Suntikan vaksin HPV bertujuan mengurangkan risiko mendapat kanser pangkal rahim kerana 99.9 peratus kanser berkenaan berpunca daripada kuman HPV.

Beliau berkata, ramai lelaki menganggap suntikan vaksin itu hanya untuk wanita bagi mencegah kanser serviks.

Namun secara tidak sedar, kanser serviks berkait rapat dan boleh menyebabkan kanser alat kelamin lelaki, kanser dubur dan kanser kerongkong.

“Malangnya, lelaki tidak membuat saringan untuk mengesan kuman HPV, berbanding wanita membuat ujian pap smear atau mengesannya menerusi HPV DNA.

“Disebabkan kesukaran mengesan kuman HPV dalam kalangan lelaki, kita sarankan mereka mengambil suntikan vaksin.


PAKAR Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Jamiyah Hassan. - Foto Saifullizan Tamadi

“Banyak maklumat mengenai suntikan HPV di internet tetapi ramai ambil kisah mengenai kepentingannya bagi mengelak penyakit bahaya,” katanya.

Katanya, masyarakat juga memberi alasan kos vaksin adalah mahal.

Suntikan itu hanya dilakukan di hospital universiti dan swasta. Vaksin percuma hanya diberikan kepada kanak-kanak perempuan berumur 13 tahun di sekolah kerajaan saja dan ada juga di klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Hampir 80 peratus individu mudah terdedah kepada jangkitan kuman HPV jika tidak melakukan suntikan itu.

“Suntikan HPV juga akan membuatkan sistem imun badan lebih kuat dan mengurangkan risiko jangkitan,” katanya,

Beliau berkata, bukan semua individu dijangkiti kuman HPV mengalami jangkitan berterusan hingga menyebabkan kanser, sebaliknya ia bergantung pada imunisasi badan melawan virus berkenaan.

Katanya, 90 peratus individu dapat menangani masalah itu, manakala 10 peratus berkemungkinan mendapat jangkitan berterusan.

“Walaupun mendapat jangkitan virus dan berupaya melawannya, antibodi dalam badan kita tidak boleh tahan lama. Oleh itu, suntikan HPV penting sebagai perlindungan berpanjangan,” katanya.

Untuk mendapatkan kesan kebaikan vaksin HPV, baik, seseorang disarankan mereka perlu mengambil suntikan lengkap untuk tiga jenis vaksin, iaitu Bivalent, Quadrivalent dan Nonavalent.

Katanya, bagi mendapatkan perlindungan sempurna, prosesnya mereka perlu mendapatkan suntikan pertama, diikuti kedua pada bulan berikutnya dan ketiga pada bulan keenam.

“Kajian vaksin sudah dilakukan sejak 15 tahun lalu bagi memberikan perlindungan berpanjangan. Jika prosesnya lengkap, seseorang tidak perlu mengambil suntikan booster dan dinasihatkan berunding dengan pakar,” katanya.

INFO:

Suntikan vaksin HPV

* Diluluskan sejak 2006.

* Suntikan percuma - kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

* 6 wanita didiagnos kanser serviks setiap hari di Malaysia.

* 600 wanita mati kanser servik setiap tahun, di Malaysia.

3 jenis vaksin HPV

* Bivalent (virus HPV strain berisiko tinggi termasuk HPV jenis 16 dan 18 - 70 peratus penyebab kanser serviks.

* Quadrivalent (HPV jenis 6, 11, 16, dan 18).

* Nonavalent (HPV jenis 6, 11, 16, 18, 31 , 33 45 52 dan 58).

Berita Harian X