Isnin, 14 Oktober 2019 | 10:50am
PIL Perancang. Foto Hiasan.

Perancang keluarga bukan punca gemuk, kurang intim

TERLALU banyak mitos membelenggu masyarakat khususnya wanita berkaitan dengan penggunaan perancang keluarga.

Antaranya takut kesan sampingannya seperti kenaikan berat badan dan mengganggu kesuburan atau sukar mengandung pada masa depan.

Akibatnya ramai yang lebih yakin kaedah tradisional termasuk percaya penyusuan ibu adalah antara langkah mencegah kehamilan yang berkesan.


PAKAR Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr John Teo Beng Ho.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr John Teo Beng Ho, berkata hakikatnya perancang keluarga bukan hanya menyelamatkan nyawa tetapi meningkatkan kualiti kehidupan wanita.

Beliau berkata, kesan dialami seperti sakit kepala, perubahan kulit termasuk jerawat, kurang keinginan seksual atau emosi berubah bukanlah punca pil perancang tetapi akan hilang dalam tempoh tiga hingga enam bulan selepas penggunaannya.

“Dianggarkan 10 peratus wanita mungkin mengalami sakit kepala lazimnya dialami ketika kitaran pertama dan mereka yang berusia 35 tahun.

“Secara amnya, wanita sihat boleh menggunakan pil perancang tanpa sebarang masalah,” katanya.


PAKAR Sakit Puan Klinik Pakar Wanita, Dr Kamaljit Kaur.

Lebih daripada seorang daripada lapan wanita berkahwin mahu mengelak daripada hamil tetapi tidak menggunakan sebarang perancang keluarga.

Sebanyak 26 peratus takut dengan kesan sampingan, 24 peratus mendakwa jarang melakukan hubungan intim, 20 peratus mendakwa menyusu bayi dan lima peratus pula tidak mempunyai capaian perancang keluarga.

Berikut adalah mitos dan penerangan mengenainya.

Mengurangkan keinginan seksual?

Kajian pil perancang dan kesan terhadap keinginan melakukan hubungan intim pula mendapati tidak menunjukkan sebarang perbezaan kerana terdapat pelbagai faktor mempengaruhi keinginan seksual seseorang.

Bagaimanapun, dicadangkan sekiranya keadaan ini terus mengganggu keinginan berkenaan dalam tempoh tiga bulan, kaedah perancang keluarga boleh ditukar.

Ubat perancang keluarga menyebabkan jerawat?

Jerawat boleh berlaku atau bertambah buruk dengan perancang keluarga mengandungi hormon progesteron saja.

Sekiranya keadaan ini menjadi masalah, kaedah gabungan hormon boleh dicuba sekiranya pesakit sihat. Perancang dengan gabungan hormon kebiasaannya kurang menyebabkan jerawat dan dapat diatasi dalam tempoh enam bulan selepas digunakan.

Masalah jerawat yang tidak berkurangan selepas enam bulan, biasanya tidak akan menunjukkan perkembangan lebih baik.

Mengurangkan kuantiti susu ibu?

Kajian Cochrane (Kumpulan penyelidik dan perubatan dari British) mendapati tiada bukti berkaitan perkara ini.

Bagaimanapun, enam bulan pertama selepas bersalin, pil gabungan hormon tidak digalakkan kepada ibu kerana risiko darah beku pada kaki atau dikenali sebagai thrombosis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan penggunaan perancang keluarga dengan gabungan hormon selepas atau bersamaan enam minggu selepas melahirkan, enam minggu sehingga kurang atau bersamaan enam bulan selepas bersalin.

Risiko serangan jantung dan strok?

Ini bukan disebabkan perancang keluarga, wanita berusia 35 tahun ke atas yang juga merokok, berisiko mengalami serangan jantung. Begitu juga wanita yang mengalami migran akibat tekanan darah tinggi dan obesiti terutama sekiranya indeks jisim tubuh melebihi 35.

Pil perancang boleh meningkatkan risiko kanser?

Kajian pada 1968 dan 1969 menerusi pemantauan ke atas 46,000 wanita selama 44 tahun oleh Royal College of General Practitioners (RCGP), United Kingdom mendapati, peracang keluarga menurunkan risiko barah usus (19 peratus), ovari (33 peratus), endometrial/rahim (34 peratus) dan haemopoietic/darah (26 peratus).

Risiko barah payudara dan pangkal rahim berkurangan walaupun selepas lima tahun berhenti menggunakan perancang keluarga. Lebih menarik, risiko barah ovari, rahim dan usus juga menurun sepanjang tempoh 30 tahun akan datang..

Perancang keluarga meningkatkan berat badan?

Kajian Cochrane pada 2011 menerusi analisa ke atas 49 kajian di seluruh dunia pula mendapati perancang hormon tidak meningkatkan berat badan berbanding wanita yang menggunakan placebo (bukan perancang).

Perancang mengganggu kesuburan pada masa depan?

Jurnal Fert & Sterility 2009, mendedahkan 80 sehingga 90 peratus wanita hamil setahun selepas berhenti menggunakan perancang keluarga. Tahap kesuburan mereka seperti wanita yang tidak pernah mengambil perancang keluarga.

Berita Harian X