Khamis, 29 Ogos 2019 | 3:44pm
MAJLIS Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UKM dan YBP yang berlangsung di Puri Pujangga, Bangi, baru-baru ini.

Kerjasama UKM, Yayasan Budi Penyayang latih juruterapi limfedema bertaraf global

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi anak syarikatnya UNIPEQ Sdn Bhd, menjalin kerjasama dengan Yayasan Budi Penyayang (YBP) dalam menyediakan latihan terapi limfedema kepada pengamal fisioterapi di negara ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah, berkata kerjasama kedua-dua bertujuan memperkasakan kerjaya fisioterapi dan membina modul latihan terapi limfedema.

Beliau berkata, kepakaran ini boleh dimanfaatkan bagi menjayakan prosedur rawatan pemulihan peringkat tempatan dan Asean.

Limfedema atau lymphedema, berlaku kesan bengkak bengkak disebabkan tumpukan cecair pada jaringan sistem tubuh. Keadaan ini disebabkan adanya gangguan pada sistem limfatik.

Kerjasama pintar itu diterjemahkan menerusi sesi Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UKM dan YBP berlangsung di Puri Pujangga di sini, baru-baru ini.

UNIPEQ diwakili Pengurus Besarnya Faizal Sa’aidin manakala YBP oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Leela Mohd Ali.

Hadir sama Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, Prof Dr Mohammad Kasim dan Pengarah Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan, Che Ruhani Che Jaafar.

Terdahulu, Dr Imran Ho dalam ucapannya, berkata kerjasama dengan YBP sudah lama terjalin khususnya dalam penubuhan Tadika Tutur dan Kelab Penyayang sejak 1994.

Beliau berkata, pihaknya yakin kerjasama ini dapat melahirkan lebih ramai juruterapi berkelayakan bertaraf global dengan pendekatan inovatif dalam usaha memulihkan pesakit.

“Kerjasama sedemikian memberi kesedaran mengenai penyakit berkenaan dan membawa kepada khidmat penyampaian berkesan berkaitan limfedema,” katanya.

Sementara itu, Leela berkata, latihan fisioterapi ini dijangka dapat melahirkan 80 juruterapi tempatan berkelayakan pada peringkat permulaan dan lanjutan.

Menurutnya, YBP sudah memperkenalkan latihan terapi limfedema kepada fisioterapi tempatan sejak 2007, hasil gabungan perunding dari Amerika Syarikat Klose Tranning and Consulting (KTC), diiktiraf sebagai pertubuhan pakar latihan Lympherdema Assosiation North America.

Katanya, tiga pusat kanser beroperasi dalam memberikan latihan ini iaitu di Hospital Putrajaya, Institut Kanser dan di Taman Equine berdekatan pejabat YBP.

INFO:

Terapi limfedema

Sistem limfatik bersama dengan sistem peredaran darah, adalah bahagian dalam sistem peredaran tubuh. Dua sistem ini penting kerana berfungsi membersihkan jaringan dan menjaga keseimbangan cecair dalam badan.

57 dibaca
Berita Harian X