Khamis, 22 Ogos 2019 | 4:38pm

Sultan Selangor rasmi Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena yang mula beroperasi di Seksyen 14 di sini, sejak Mei lalu.

Baginda yang diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, turut mencemar duli melawat hospital berkenaan dan pameran berkaitan Avisena.

Yang turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani plak perasmian pada Majlis Perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena. NSTP/Roslin Mat Tahir.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berkenan melawat unit penilian dan perkembangan kanak- kanak selepas Majlis Perasmian Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena. NSTP/Roslin Mat Tahir.


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin berkenan melawat ruang pameran selepas merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena. NSTP/Roslin Mat Tahir.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan replika cek sumbangan berjumlah RM25,000 daripada hospital pakar itu bagi menaja kos pembedahan seorang kanak-kanak lima tahun dan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan.

Ia untuk membiayai kos pembedahan laparoskopi bagi penyakit hernia yang dihadapi kanak-kanak berkenaan dan pembedahan sumbing lelangit bayi terbabit.

Baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 daripada hospital itu untuk Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) yang diterima oleh wakil persatuan berkenaan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena, Datuk Dr Omar Abd Hamid, berkata Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena yang dibina di lokasi tidak jauh dari Hospital Pakar Avisena, di Seksyen 14, Shah Alam adalah yang terbesar di negara ini.

Katanya, hospital itu menawarkan perkhidmatan perbidanan, ginekologi dan pediatrik dalam hampir semua bidang pengkhususan seperti kesuburan, perubatan janin ibu (maternal-foetal), uroginekologi, neonatologi (penjagaan bayi baru lahir), 'paediatrics cardiology', pembedahan pediatrik, ortopedik pediatrik, perkhidmatan pergigian pediatrik, pembangunan kanak-kanak dan pelbagai pengkhususan lain.

Beliau berkata, hospital pakar itu yang kedua dibina Kumpulan Avisena selepas hospital pertamanya yang beroperasi lebih 11 tahun lalu.

"Mempunyai 251 katil dan 115 doktor pakar dan memberi peluang pekerjaan kepada hampir 1,000 kakitangan bagi kedua-dua hospital berkenaan.

"Avisena akan menambah 140 katil lagi di hospital itu bagi menarik, menjana dan mengembangkan perkhidmatan pelancongan perubatan, terutama dari Australia, Indonesia dan Asia Barat," katanya.

Pada masa sama, Dr Omar berkata, Kumpulan Avisena juga merancang mengembangkan perniagaannya di beberapa lokasi lain di Lembah Klang serta negeri lain di negara ini.

Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena dilengkapi kemudahan 133 katil dengan 52 doktor pakar.

Selain menawarkan pelbagai disiplin perubatan, hospital yang mengetengahkan konsep hospital butik itu mempunyai empat dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) mesra kanak-kanak, Unit Kritikal untuk Bayi (NICU) dan Unit Separa Kritikal (HDU).

Turut menawarkan perkhidmatan Anjung Bonda yang membolehkan ibu pesakit pediatrik berehat tanpa gangguan bapa dan anak.

655 dibaca
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (kanan), Pengerusi Avisena Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena, Datuk Dr. Omar Abd Hamid (kiri). NSTP/Roslin Mat Tahir.
Berita Harian X