Rabu, 29 Mei 2019 | 12:22pm

Peria katak, belimbing penawar luka diabetes

SERDANG: Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan penyembuh luka diabetes menggunakan gabungan peria katak dan belimbing rosak.

Penyembuh dalam bentuk gel itu berupaya menyembuhkan luka dalam tempoh kurang 48 jam atau dua hari berbanding lebih 48 jam menggunakan penyembuh lain yang diimport dari Amerika Syarikat dan Filipina.

Ketua Penyelidik, Prof Dr Rosfarizan Mohamad, berkata inovasi berkenaan dihasilkan menggunakan teknologi hijau dengan kos rendah, menawarkan penyembuh luka pada harga lebih murah iaitu 40 sen setiap satu gram berbanding produk lain berharga RM2 satu gram.

"Produk penyembuh ini berasaskan penggunaan nanoselulosa yang dihasilkan oleh bakteria dalam buah rosak seperti belimbing.

"Nanoselulosa digabungkan dengan bahan nano yang disintesis daripada peria katak untuk menghasilkan produk baharu dikenali sebagai bahan komposit selulosa bakteria nano partikel perak atau komposit 'hijau', "katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan penemuan itu, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Putra Science Park, Prof Dr Samsilah Roslan.

Dr Rosfarizan yang juga Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah), Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, berkata komposit hijau adalah produk baharu dan 'novel' untuk bahan penyembuh serta pencucian luka kronik.

Inovasi ini juga menunjukkan proses dan ciri ekonomik, mesra alam serta memiliki ciri penting anti mikrob. Antara kelebihan produk ini boleh digunakan secara terus pada luka sebagai gel penyembuh. Juga boleh disediakan sebagai lapisan dalam balutan luka atau dijadikan sebagai cecair penyembur.

"Selain lebih ekonomik kerana menggunakan sisa dan bahan buangan daripada buah-buahan, dihasilkan melalui prosedur mudah, tidak mengandungi bahan toksik, mempunyai ciri penyembuhan anti mikrobial.

"Penggunaannya dipercayai lebih berkesan serta berpotensi digunakan pada luka kronik dan traumatik dengan mengurangkan jangkitan kuman sesuai dengan rawatan luka pesakit kencing manis," katanya.

Inovasi itu dihasilkan menerusi geran daripada UPM berjumlah RM50,000 dan berjaya memenangi pingat emas di International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia (ITEX) 2019 pada 4 Mei 2019.

KETUA Penyelidik, Prof Dr Rosfarizan Mohamad menunjukkan penyembuh luka diabetes menggunakan gabungan peria katak dan belimbing rosak. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X