Ahad, 19 Mei 2019 | 2:07pm
Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar.

Cacar monyet boleh merebak melalui cecair pernafasan pesakit

KUALA LUMPUR: Jangkitan cacar monyet atau monkey pox yang dilapor dibawa masuk oleh seorang lelaki dari Nigeria, Afrika ke Singapura, baru-baru ini perlu diberi perhatian meskipun jangkitan itu jarang merebak antara manusia kepada manusia lain.

Bagaimanapun, pesakit yang mendapat jangkitan itu perlu dipantau kerana virus berkenaan boleh merebak melalui cecair air liur, kahak, mukus dan menerusi cecair pernafasan pesakit kepada individu lain.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, berkata jangkitan itu juga boleh berlaku ketika proses pemindahan cecair daripada pesakit kepada orang lain.

Katanya, walaupun jangkitan berkenaan hanya dipindahkan dari haiwan kepada manusia, pemantauan perlu dilakukan kerana virus itu boleh merebak apabila orang lain terkena cairan cacar pesakit.

“Malah, jika ibu hamil yang dijangkiti juga boleh memindahkan virus monkeypox kepada janin dalam kandungannya,” katanya ketika dihubungi BH.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kemungkinan kes dikesan di republik itu menular ke negara ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Singapura dalam kenyataannya mengesahkan menerima satu kes import jangkitan cacar monyet membabitkan seorang lelaki berusia 38 tahun dari Nigeria ketika menghadiri bengkel di republik itu, pada 28 April lalu.

Dalam kenyataannya, Kementerian itu menjelaskan mangsa terbabit kini stabil dan ditempatkan wad pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID), manakala 23 individu lain yang berhubung rapat dengannya dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Jamin penyakit tak merebak

Lelaki terbabit berkemungkinan makan daging haiwan liar yang dipercayai menjadi punca pemindahan virus cacar monyet kepadanya ketika menghadiri majlis perkahwinan di negara asal sebelum bertolak ke Singapura..

Berikutan kejadian itu, EXCO Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, dilaporkan sebagai berkata, Jabatan Kesihatan negeri memberi jaminan penyakit cacar monyet import tidak merebak di negeri itu.

Pihaknya tetap melakukan pemantauan di semua kemudahan kesihatan seluruh negeri sebagai langkah berjaga-jaga, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Mengulas lanjut, Dr Mohammad Iqbal berkata, sebagai langkah berjaga-jaga orang ramai diminta terus memberi perhatian khusus penjagaan kesihatan diri dan keluarga.

Beliau berkata, orang ramai perlu sentiasa membasuh tangan dengan sempurna selain menjaga kebersihan di kawasan kediaman.

“Orang ramai dinasihat memakai topeng mulut dan hidung serta mengelak berada kawasan tumpuan ramai yang penuh sesak,” katanya.

4088 dibaca
Berita Harian X