Ahad, 12 Mei 2019 | 10:00am

Pembedahan selamat rawat katarak

Segera menjalani pemeriksaan mata jika tidak selesa pada deria berkenaan terutama ketika memandu, membaca atau bersilau cahaya.

Pemeriksaan awal boleh mengenal pasti tahap kesihatan mata. Lazimnya masalah itu dikaitkan dengan katarak hingga menjejaskan deria penglihatan untuk tempoh jangka panjang.

Pakar mata terkemuka dari Jepun Dr Takayuki Akahoshi, berkata pencegahan awal lebih baik daripada merawat, selain mengingatkan orang ramai sentiasa peka jika berlaku sebarang perubahan pada deria berkenaan.

Beliau berkata, prosedur pembedahan katarak lebih mudah dan jika lewat proses rawatan menjadi lebih rumit.

“Jangan sesekali takut menjalani pembedahan kerana prosedurnya sangat ringkas dan berupaya mengembalikan penglihatan sekali gus mengubah kehidupan lebih baik.

“Teknologi rawatan kini lebih canggih menerusi teknik ‘phaco prechop' yang saya asaskan 27 tahun lalu, bukan saja memulihkan kualiti penglihatan pesakit katarak tetapi dibuktikan selamat, berkesan dengan kos berpatutan,” katanya ketika ditemui BH di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lazimnya, Dr Akahoshi berkata, setiap hari beliau melakukan 62 hingga 65 pembedahan katarak di negaranya dengan purata tahunan 10,000 kes atau purata 10 pesakit dalam masa satu jam.

Beliau yang juga Pengarah Oftalmologi di Mitsui Memorial Hospital, Tokyo, Jepun dikenali yang mempunyai kepakaran membuang katarak terutama menerusi inovasi beliau mengurangkan 80 peratus masa pembedahan menggunakan teknik phaco prechop itu.

“Menerusi teknik itu, saya menggunakan instrumen khas iaitu peralatan membahagikan nukleus kanta sebelum pengemulsian phaco. Proses pengaluran nukleus tidak lagi diperlukan berbanding pembedahan katarak biasa.

“Prosedur asas membuang katarak dengan memasukkan kanta baharu hanya mengambil masa kira-kira sembilan minit bagi kedua-dua mata dan pesakit memperoleh penglihatan jelas serta-merta dengan masa penyembuhan sepenuhnya untuk tempoh lima hari," katanya.

Beliau dalam lawatan ke Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan mengadakan program khidmat masyarakat di Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Kuala Lumpur; Hospital Langkawi, Kedah; dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah,

Seramai 37 individu yang mengalami katarak menjalani prosedur rawatan itu di Hospital Langkawi secara percuma iaitu keseluruhan prosedur berkenaan mengambil masa lapan jam.

Dr Akahoshi berkata, pembedahan menjadi rumit berikutan kebanyakan pesakit mengalami katarak teruk disebabkan tidak mendapatkan rawatan awal.

Beliau berkata, bukan itu sahaja setiap pembedahan mengambil masa 30 minit berbanding prosedur di Jepun (purata empat minit satu mata), berikutan keadaan selaput yang serius.

Katanya, proses penyembuhan juga dikhuatiri mengambil masa lama iaitu antara satu minggu hingga satu bulan, bergantung tahap penjagaan selepas pembedahan.

"Justeru, apabila berkongsi kepakaran, saya sangat berbangga dengan usaha penganjur dan berharap pakar bedah di sini dapat mengaplikasikan kaedah ini untuk memulihkan penglihatan disebabkan katarak,” katanya.

Beliau mahu berkongsi kepakaran dengan lebih ramai doktor supaya lebih ramai pesakit menerima rawatan, sekali gus meningkatkan produktiviti serta berkongsi kepakaran untuk dimanfaatkan bersama.

“Saya mempunyai keterbatasan melakukan lebih banyak pembedahan berikutan kunjungan yang singkat dan berharap lebih ramai pakar tempatan memperoleh pengetahuan terutama menerusi Simposium Pembedahan Katarak Kebangsaan ini," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan berminat mengaplikasi teknik pembedahan katarak diasaskan beliau di pusat rawatan, hospital serta klinik katarak seluruh negara.

Dr Akahoshi yang pernah merawat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2015, turut berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan pelajar serta doktor di beberapa hospital di negara ini.

INFO:

  • Sehingga Oktober 2018, Pusat Katarak Negara melakukan 14,807 pembedahan, manakala klinik katarak lain di seluruh negara melaksanakan prosedur kepada 10,699 orang.
  • Fakta mengenai katarak

    Katarak ialah suatu keadaan di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh. .Masalah ini disebabkan daripada proses penuaan, kecederaan mata, penyakit tertentu atau pengambilan sesetengah jenis ubat. Katarak adalah punca utama kebutaan yang boleh dipulihkan.

    Katarak perlu dibuang sekiranya kekurangan penglihatan menjejaskan aktiviti harian pesakit seperti memandu, membaca atau menonton TV. Di peringkat awal katarak, penangguhan pembedahan tidak akan menyebabkan kerosakan jangka panjang pada mata atau membuatkan pembedahan menjadi sukar.

    Tanda dan gejala ketarak

  • Kabur penglihatan tanpa rasa sakit
  • Silau (lampu kereta, cahaya lampu atau cahaya matahari kelihatan sangat terang).
  • Kerap menukar preskripsi cermin mata.
  • Penglihatan berganda pada sebelah mata.
  • Rabun ayam (malam)
  • Warna kelihatan pudar
  • Langkah menghindar katarak.

  • Pemakanan yang seimbang
  • Senaman yang berkala (boleh menurunkan tahap gula dalam darah)
  • Diabetes terkawal
  • Mengamati isi kandungan, terutama ubatan tradisional yang mungkin mengandungi steroid.
  • Lindungi mata anda dengan penggunaan kacamata hitam yang mempunyai perlindungan UV.
  • Lindungi mata dengan alat pelindung mata apabila melakukan aktiviti bahaya (memaku, membawa bahan kimia dan lain-lain)
  • Sumber http://www.myhealth.gov.my/dewasakatarak/

    Pemakanan Untuk Mata Sihat - Untuk mengelakkan penyakit mata yang boleh membawa risiko kebutaan, secara ringkasnya mata memerlukan vitamin dan zat tambahan seperti berikut:
    Vitamin A dan Beta-carotene
    Vitamin B kompleks
    Vitamin C, D dan E
    Lutein dan zeaxanthin
    Antioksidan
    Asid lemak Omega-3

    586 dibaca
    Berita Harian X