Sabtu, 11 Mei 2019 | 10:00am
- Gambar hiasan

Rawatan imonuterapi rawat alahan

Makhluk halus yang sukar dilihat dengan mata kasar atau hama habuk, kerap terdapat di dalam rumah khususnya di atas katil atau permaidani, menjadi punca utama alahan rhinitis atau keradangan bahagian hidung.

Gangguan ini menyebabkan berlaku gejala seperti bersin, hidung tersumbat, gatal dan berair khususnya sebelah pagi. Lebih serius apabila gangguan menyebabkan asma iaitu radang dan bengkak pada saluran pernafasan paru-paru. Kesan lebih serius apabila pesakit mengalami batuk, berdehit (paru-paru berbunyi ketika bernafas) dan sesak nafas.

Dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya enam spesies hama habuk berbeza tinggal di dalam tilam setiap rumah di negara ini. Spesies Dermatophagoides farinae dan Dermatophagoides pteronyssinus paling kerap menjadi punca alahan.

Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) Dr Amir Hamzah Datuk Abdul Latiff, berkata hama habuk sukar dimusnahkan kerana tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Beliau berkata, walaupun hama habuk rumah boleh dikurangkan dengan menggunakan pembersih penyedut hampagas, menukar tilam, cadar atau bantal namun langkah ini tidak dapat membasmi hama secara keseluruhan.

“Jumlahnya juga terlalu banyak, bukan saja di bilik tidur tetapi di lantai, sofa dan permaidani yang mana boleh dikatakan jumlahnya lebih banyak berbanding di luar rumah,” katanya.

Sukar kesan punca

Dr Amir Hamzah yang juga Naib Presiden Kedua, Persatuan Alergi, Asma dan Imunologi Klinikal Asia Pasifik (APAAACI), berkata cabarannya adalah punca sebenar rhinitis dan asma selalunya tidak dikenalpasti menyebabkan pesakit tidak menerima rawatan sewajarnya.

Beliau berkata, rhinitis boleh didiagnosis berdasarkan gabungan penilaian klinikal dan ujian dengan melihat gejala seperti bersih, hidung berair, kesan gatal pada mata dan hidung diberi pemeriksaan khusus.

Katanya, doktor akan memeriksa sama ada terdapat polip nasal atau ketumbuhan dalam lapisan sinus yang boleh menjadi petanda kepada alahan rhinitis.

Ujian lain yang boleh dilakukan termasuk menjalani pemeriksaan kulit yang mana alergen diletakkan di atas belakang lengan dan permukaan kulit akan dicucuk dengan jarum bagi memperkenalkan alergen kepada sistem imun. Kulit kelihatan bengkak atau merah sekiranya pesakit alah kepada bahan alergen berkenaan.

Ujian darah, paru-paru

“Ujian darah bertujuan memeriksa antibodi Immunoglobulin E (IgE) yang meningkat hasil tindak balas ke atas alergen atau ujian imbasan tomografi bagi mengesan sinus, polip, bengkak antara laluan udara hidung serta sebarang keadaan tidak normal didalamnya.

“Asma alahan juga dikenalpasti berdasarkan sejarah gejala yang dialami, pemeriksaan fizikal dan ujian fungsi paru-paru atau spirometri bagi menentukan kehadiran penyakit halangan dalam saluran udara,” katanya.

Dr Amir Hamzah ditemui pada pelancaran pil imunoterapi sublingua (bawah lidah), Acarizax (KKLIU 0790/2019), untuk merawat alahan pernafasan berpunca daripada hama habuk rumah.

Sementara itu, Penasihat Global Penyelidikan dan Pembangunan bagi Alergologi Klinikal, ALK Denmark, Prof Dr Eike G Wustenberg, berkata dalam kajian klinikal, pil berkenaan menunjukkan kesan positif ketara dalam kalangan penghidap alahan rhinitis disebabkan hama habuk rumah tahap sederhana sehingga serius.

“Pesakit menunjukkan pengurangan dalam simptom rhinitis dan penggunaan ubat dalam tempoh 14 minggu hingga setahun selain memberikan kelegaan simptom jangka panjang dalam pesakit asma termasuk kurang batuk, berdehit dan sesak nafas.

“Bagaimanapun, katanya produk berkenaan bukanlah pengganti ubat sedut (inhaler) dan kortiskosteroid walaupun mampu untuk memberikan kesan kelegaan dalam jangka msasa penjang,” kataya.

INFO: Statistik

1. Rhinitis:
- 40 peratus daripada penduduk Malaysia.

2. Asma:
- Separuh daripada 300 juta penduduk Asia.
- Di Malaysia, alahan asma paling umum dialami penduduk.

3. Menjelang 2050:
- 4 bilion
- Lebih 550 juta menderita alahan makanan
- Lebih 20 peratus kanak-kanak mengalami ekzema
- Lebih 40 peratus kanak-kanak mengalami rhinitis

Gejala Rhinitis dan Asma:
- Bersin
- Gatal hidung, mata, telinga dan lelangit mulut
- Hidung berair
- Hilang deria bau
- Sakit kepala
- Sakit telinga
- Mata merah dan berair
- Kelesuan
- Sakit badan
- Pening.

535 dibaca
Berita Harian X