Selasa, 7 Mei 2019 | 12:52pm
Pengerusi MedTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dr Laman Sosial adakah mereka berwibawa?

Pengamal perubatan hari ini bukan setakat menawarkan khidmat rawatan berkualiti kepada pesakit, malah menjangkaui peranan dalam memperbetulkan kekeliruan fakta yang sering disebarkan warga maya menerusi laman sosial.

Segelintir pengguna media sosial menyebarkan maklumat dan rundingan kesihatan secara bebas dan perbuatan tidak beretika ini sering mengelirukan pengguna yang mengambil panduan dan nasihat tanpa menapis maklumat terlebih dahulu.

Pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr Khairul Hafidz Alkhair, berkata tanggungjawab pengamal perubatan kini lebih mencabar kerana perlu menyalurkan maklumat tepat bagi mengelak kekeliruan.

Beliau berkata, ini berikutan kehadiran pihak tertentu yang mendakwa bermaklumat mengenai pengetahuan berkenaan namun menyebarkan maklumat perubatan yang sering mengelirukan warga maya selain disalah guna dengan mitos berkaitan penyakit dan pencegahannya.

“Isu semasa yang sering mengelirukan kini, termasuk fungsi doula, kumpulan antivaksin dan amalan melahirkan bayi di rumah.

“Kebanyakan maklumat serta panduan mengenai isu berkaitan tidak tepat dan mengelirukan boleh hingga mengancam nyawa,” katanya ketika persidangan perubatan Med X UM di Dewan Tunnel Tunku Universiti Malaya, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr Khairul Hafidz berkata, pengamal perubatan tidak menghalang peranan doula di negara ini tetapi seperti disarankan kerajaan, mereka perlu menyalurkan maklumat dengan tepat bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan penggunaan media sosial.

Isu ganja masih dikaji

Beliau berkata, isu seperti penggunaan marijuana juga hebat diperkatakan masyarakat berkenaan fungsinya terhadap dunia perubatan.

“Fakta membuktikan penggunaannya untuk merawat beberapa gejala penyakit adalah benar tetapi setakat ini, kita tiada bukti cukup kuat sama ada prosedur berkenaan baik dan selamat untuk kesihatan. Selagi marijuana tidak menyembuhkan penyakit, penggunaannya tidak boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, cabaran memperbetulkan isu kesihatan itu boleh diperbetulkan dengan menggunakan saluran sama, iaitu media sosial seperti Twitter.

“Pengamal perubatan boleh mendidik masyarakat berkenaan kesihatan menerusi teknologi komunikasi ini. Realitinya, doktor melalui cabaran media sosial dan berhadapan salah tanggapan masyarakat terhadap sesuatu isu disebarkan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tanggungjawab doktor kini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kesihatan secara bersemuka tetapi boleh menyebarkan maklumat tepat menerusi laman sosial.

Kongsi maklumat tepat

“Kita perlu mendidik masyarakat, terutama warganet dengan saluran maklumat benar. Malah, bukan sahaja doktor, selebriti juga boleh memainkan peranan dalam penyampaian maklumat kesihatan secara tepat dengan menjadi rakan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Isu lain, katanya, termasuk sesi perbincangan serta rundingan perubatan daripada mereka tidak bertauliah secara dalam talian.

Beliau berkata, situasi berlaku apabila sesuatu isu dibahaskan, warga maya seolah-olah berperanan sebagai pakar kesihatan yang memberi rundingan nasihat dari sudut pandang mereka.

“Pada masa sama pula ada pengamal perubatan cuba memperbetulkan salah tanggapan terhadap soal kesihatan pula dikecam dan menjadi mangsa buli siber warganet. Perkara yang dilakukan warganet secara lisan menimbulkan situasi tidak sihat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, diharapkan pengguna laman sosial lebih peka dan berhati-hati ketika mendapatkan maklumat mengenai kesihatan dan perubatan di samping memastikan maklumat diperoleh daripada laman web berwibawa.

“Kita perlu bijak membezakan antara fakta dan mitos dalam perubatan, selain disaran mencari maklumat tambahan selain merujuk pakar bagi mendapatkan kepastian mengenai sesuatu maklumat yang diperoleh,” katanya.

Fakta: MEDTweetMY

  • MEDTweetMY adalah portal rasmi yang menggabungkan doktor di laman Twitter dan berkongsi maklumat kesihatan bersama warganet.
  • Pesakit disaran mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai penyakit dialami. Namun semua makluamt itu perlu dirujuk semula kepada pengamal perubatan.
  • Antara laman web yang menjadi panduan pesakit mendapatkan maklumat perubatan dan kesihatan

    - Persatuan Pediatrik Malaysia
    - Persatuan Diabetes Malaysia
    - Yayasan Jantung Malaysia.

    351 dibaca
    Berita Harian X