Sabtu, 4 Mei 2019 | 2:40pm

'Mr 3 meters'

Sepang: “Saya tidak kisah digelar ‘Mr 3 meters’ kerana kuat kuasa larangan merokok di premis makanan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata, beliau tidak kisah dipanggil dengan gelaran apa sekali pun kerana hasratnya dan Kementerian Kesihatan mahu melindungi keselamatan rakyat yang terancam kerana asap rokok.

Menurutnya, lanjutan tempoh pengkuatkuasaan pendidikan bagi larangan merokok di premis makanan juga bukan pusingan U, sebaliknya mahu memberi masa yang cukup kepada perokok kerana mereka juga ada hak.

“Hak itu bagaimanapun tidak sampai menjejaskan kesihatan org lain,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 di Pantai Bagan Lalang, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Katanya, Kementerian Kesihatan tidak menganggap perokok sebagai musuh.

Dr Dzulkefly berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan perokok mendapat bantuan untuk berhenti merokok, termasuk perkhidmatan klinik berhenti merokok di hospital dan klinik kerajaan serta swasta.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (enam kanan) bersama ADUN Sungai Pelek, Ronnie Liu (lima kanan) bergambar dengan sebahagian peserta Berjalan 10,000 Langkah pada Sambutan Hari Tanpa Tembakau di Pantai Bagan Lalang. - Foto Luqman Hakim Zubir

“Panduan mengenai bantuan berhenti merokok boleh didapati dengan hanya melayari laman sesawang www.jomquit.gov.my dan juga bantuan berhenti merokok melalui Infoline Berhenti Merokok di talian 03-88834400,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya untuk memperkasa golongan bukan perokok agar mereka mampu mengatakan tidak kepada asap rokok.

Menurutnya, terdapat 85 peratus penduduk Malaysia yang tidak merokok dan mereka berupaya untuk membantu pihak kementerian menjayakan kempen ini.

“Saya sedia maklum bahawa tidak semua kita mampu menegur perokok yang merokok di sekeliling kita. Namun dengan cara teguran yang betul, saya percaya perokok akan tergerak hati untuk berhenti merokok,” katanya.

Katanya, sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 ini, kementerian melancarkan kempen ‘Speak out’ yang akan berlangsung selama lima tahun sehingga 2025.

Dr Dzulkefly berkata, kempen ini akan mendedahkan dan mendidik masyarakat untuk membantu perokok berhenti merokok.

Setakat ini, katanya, sebanyak 25,791 notis amaran dikeluarkan kepada perokok yang merokok di premis makanan membabitkan 200,887 penguatkuasaan pendidikan dibuat seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 90, 708 premis sudah diperiksa, manakala pengeluaran kompaun kepada mereka yang ingkar larangan merokok akan diteruskan seperti biasa kecuali premis makanan yang dilanjutkan ke akhir Disember ini.

1472 dibaca
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Kerajaan Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek Ronnie Liu merasmikan Sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Kebangsaan 2019 di Dataran Bagan Lalang hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X