Sabtu, 4 Mei 2019 | 11:00am
Dr Suzana menunjukkan carta pinggan sihat dan piramid pemakanan sihat. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Sajian sihat elak gastrik sepanjang Ramadan

MENJELANG Ramadan, umat Islam perlu melatih tubuh mengurangkan kuantiti makan secara sederhana. Kaedah ini dapat menenangkan perut dan mengelak kejutan berlapar secara tiba-tiba, selain mengurangkan risiko penyakit seperti gastrik.

Profesor dan Ketua Pusat Kesejahteraan dan Penuaan Sihat, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Suzana Shahar, berkata secara fisiologi perut mempunyai asid gastrik apabila berpuasa dan aktiviti asid berkurangan kerana tiada makanan untuk dihadam.

Katanya, ketika berpuasa banyak asid gastrik dihasilkan di dalam perut dan boleh menyebabkan asid dikeluarkan tertolak ke atas semula atau refluk ke ulu hati sekali berisiko mengakibatkan pedih ulu hati.

“Seelok-eloknya makan yogurt ketika bersahur atau pada sebelah malam sebelum tidur kerana ia mengandungi banyak probiotik yang bagus untuk usus dan melancarkan pembuangan air besar,” katanya.

Kurangkan 500 kalori sehari

Bagaimanapun, beliau berkata, penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kolesterol dan kencing manis berpeluang menjalani hidup lebih sihat sepanjang Ramadan.

Ini boleh dicapai menerusi perancangan teliti sebelum menjalani ibadah berkenaan melalui corak pemakanan lebih sihat.

Katanya, lemak di dalam badan seseorang yang berpuasa sepanjang Ramadan boleh berkurangan sehingga 500 kalori sekiranya menjalani gaya hidup sihat.

“Keperluan kalori sehari diperlukan adalah antara 1,500 sehingga 1,600 sehari. Apabila berpuasa, kadar metabolisme atau pembakaran makanan akan menurun.

“Ketika berpuasa, sistem metabolisme tubuh akan membakar glikogen untuk menghasilkan tenaga dan selepas tengah hari, mulut akan berbau yang menunjukkan lemak sudah mula dibakar. Pada masa ini, otak sudah mula menggunakan tenaga daripada lemak,” katanya.

Sekiranya ingin mendapatkan otot tubuh lebih mantap, lakukan senaman ringan selepas waktu Asar seperti berkebun atau berjalan pantas. Gabungan berpuasa dengan senaman menguatkan otot, maksimum setengah jam, boleh menyihatkan dan lebih bertenaga.

Elak risiko gastrik

Dr Suzana berkata ketika berbuka sebaiknya makan kurma, iaitu tiga biji dan minum air panas seperti coklat atau susu.

Individu tidak digalakkan terus makan nasi, yang dianggap makanan berat, termasuk makanan pedas dan berlemak, sebaliknya elok solat dahulu untuk mengelak perut sebu dan kembung.

Begitu juga pengambilan minuman bergas, jus dan ais perlu dielakkan ketika berbuka kerana perut akan terkejut dan dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan gangguan usus seperti gastrik serta sindrom radang usus.

Info

• Bersahur

- Waktu terbaik adalah sejam sebelum imsak.

• Kesan bersahur lewat malam:

- Perut kosong hampir 20 jam

- Menyebabkan keletihan

- Gula dalam darah berkurangan

- Pembakaran gula dalam otot berlebihan

(risiko berlaku kekejangan )

• Makanan ketika sahur:

- Amalkan pinggan sihat (suku-suku separuh)

- Ambil karbohidrat yang dibebaskan secara perlahan-lahan

(roti mil penuh, capati, nasi, sumber serat seperti sayur dan buah).

- Minum air kosong 1.5 sehingga 2 liter

2506 dibaca
Berita Harian X