Selasa, 30 April 2019 | 9:29pm
FERID Murad berucap ketika Program Syarahan ‘ Excitable Discovery of Nitric Oxide and Cyclic GMP in Cell Signalling and Their Role in Drug Development di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Bandar Tun Razak. - Foto Azhar Ramli

Sumber semula jadi tingkat kesejahteraan kesihatan

KUALA LUMPUR: Kekayaan sumber semula jadi berasaskan tumbuh-tumbuhan dan herba wajar dimanfaatkan sebagai bahan asas menghasilkan makanan kesihatan tambahan bertujuan melonjakkan industri farmaseutikal setempat.

Penyelidikan mendalam perlu dilaksanakan secara serius dalam membangunkan ubat-ubatan berasaskan bahan berkenaan untuk kesejahteraan kesihatan semua pihak.

Tokoh perubatan terkemuka Amerika Syarikat, Dr Ferid Murad yang juga penerima Anugerah Nobel Psikologi dan Perubatan 1998, berkata terdapat lambakan makanan di pasaran yang boleh dioptimumkan penggunaannya.

Beliau dalam ucapannya berkata, kajian mendapati penghasilan nitrik oksida boleh dioptimumkan dengan kombinasi bahan antioksida secara spesifik berupaya meningkatkan kesihatan.

“Menerusi formulasi BEFIL makanan tambahan mengandungi L-arginine dan CoQ10 dipertingkatkan dengan ekstrak delima, ubi bit dan tomato melancarkan pengedaran darah selain memberi manfaat kepada kesihatan kardiovaskular.

“Menerusi penyelidikan 15 tahun, saya mendapati asid amino L-arginine membebaskan nitrik oksida yang mendorong proses pengembangan diameter salur darah.

“Ekstrak tomato pula melancarkan aliran dengan kardiak bioenergetik coenzyme Q10 membantu mengawal metabolisme, selain manfaat ubi bit dan delima mengekalkan enzim nitrik oksida memberikan perlindungan optimum kepada kesihatan” katanya.

Dr Ferid berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan umum penemuan bersejarah beliau terhadap peranan nitrik oksida dalam meningkatkan kesihatan kardiovaskular di Auditorium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Hadir sama, Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur) UKM, Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal.

Dr A Rahman berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan tokoh perubatan yang berperanan membangunkan ubat-ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan dalam memperkukuhkan industri farmaseutikal.

Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan bekalan setempat, pihaknya menggalakkan penyertaan penyelidik UKM menjalankan penyelidikan khusus mengenai usaha itu.

“Inisiatif ini bertujuan menangani pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) dan kardiovaskular selain penyakit lazim akibat diabetes yang dihidapi kira-kira 16 peratus penduduk dewasa negara ini, selain masalah kolesterol tinggi dan hipertensi.

“Kajian menyeluruh penting bertujuan mengoptimumkan penggunaan bahan tempatan untuk dimanfaatkan dalam dunia perubatan menerusi penghasilan ubat-ubatan daripada bahan semula jadi,” katanya.

766 dibaca
Berita Harian X