Sabtu, 27 April 2019 | 10:00am
PAKAR Perubatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Perbuatan, Hospital Canselor Tunku Muhriz, Dr Petrick Periyasamy. - NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Demam selepas masuk hutan mungkin jangkitan malaria

Ghairah meneroka hutan, mendaki gunung yang menjadi aliran masyarakat kini, tanpa disedari mengundang padah jika gagal mengambil kira faktor keselamatan termasuk melindungi diri daripada serangan serangga bahaya terutama nyamuk.

Peserta sukan lasak perlu berhati-hati kerana kegagalan mengambil perlindungan mengundang padah kesan digigit nyamuk betina spesies genus Anopheles atau nyamuk tiruk.

Gigitan nyamuk tiruk yang hidup di hutan terutama negara tropika atau subtropika menyebabkan individu menderita diserang demam malaria yang boleh membawa maut.

Ini kerana demam yang disebabkan parasit protozoa membiak dalam sel darah merah dan membawa ke bahagian otak membawa risiko maut.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, Jabatan Perbuatan, Hospital Canselor Tunku Muhriz, Dr Petrick Periyasamy, berkata

selepas menggigit manusia, parasit mengambil masa tujuh hingga 14 hari atau paling lama 30 hari sebelum menunjukkan gejala demam malaria.

Beliau berkata, tanda awal serangan, mangsa mengalami kesan sakit tulang, demam berpanjangan, selesema dan mudah letih.

Tanda awal ini bagaimanapun katanya, tidak disedari mangsa berikutan keadaan sedemikian bukan gejala khusus untuk penyakit malaria. Ini kerana ia juga adalah gejala awal untuk penyakit lain seperti seperti denggi, kencing tikus atau demam virus.

“Justeru, sukar untuk individu terkena gigitan nyamuk mengesannya lebih awal sama ada mendapat malaria atau tidak. Meskipun ia gejala biasa, namun masyarakat tidak perlu ambil mudah dan perlu segera melakukan pemeriksaan untuk diagnosis segera bagi mengelak demam lebih serius,” katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Beliau berkata, selepas tanda awal dikesan, doktor perlu mengenalpasti sejarah serta lokasi yang dikunjungi pesakit. Sekiranya ada berkunjung ke kawasan-kawasan hutan seperti Gua Musang di Semenanjung Malaysia dan Sabah atau Sarawak.

Katanya, pesakit akan menjalani ujian rawatan khusus iaitu Bloof Film Malaria Parasite (BFMP) di mana darah pesakit diambil dan dibawa ke makmal untuk diuji dan pengesanan dan rawatan biasa disediakan di kebanyakan hospital di negara ini.

Terdapat tujuh jenis malaria iaitu Plasmodium (P) Vivax, P Falciparum, P Knowlesi P Malariae dan P Ovale. Hanya beberapa kes berlaku iaitu P. cynomolgi membabitkan negara ini sementara P simium pula di Brazil.

Malaria yang lebih serius dan bahaya sering berlaku menyerang pesakit di Malaysia ialah P Falciparum yang boleh menyebabkan Celebral Malaria hingga menjejaskan bahagian otak.

Dr Petrick berkata, gejala lebih teruk boleh dikenal pasti apabila pesakit datang dengan serangan sawan kerana berlaku gangguan pada bahagian otak selepas digigit nyamuk yang membawa virus ke dalam badan.

“Malaria jenis itu boleh mengundang sawan selama dua atau tiga hari, atau tahap kesedaran tidak bagus malah lebih teruk. Pesakit untuk malaria ini juga biasanya datang dengan tekanan darah rendah selain dalam keadaan letih dan pucat kerana kurang darah.

“Lebih serius, Celebral Malaria’ dikesan apabila pesakit datang dalam keadaan sesak nafas kerana paru-paru berair. Antara lain pesakit mengalami jaundis atau kegagalan hati yang boleh dikesan menerusi mata yang kuning. Kegagalan buah pinggang pula dikesan apabila pesakit kurang kencing,” katanya.

Selain itu, katanya, malaria jenis Knowlesi atau Malaria Monyet yang ditemui pada 2001 turut dikesan dan kebanyakan kes berlaku di Sarawak dan ada juga di Sabah. Ia adalah selepas terdedah penyakit bawaan nyamuk yang berasal daripada monyet berkenaan.

“Ancaman penularan wabak malaria itu antara kemungkinan disebabkan penebangan hutan,” katanya.

Sempena meraikan Hari Malaria Sedunia yang disambut setiap 25 April setiap tahun, jumlah kes malaria di Malaysia terus menurun dan ia menunjukkan pencapaian yang positif.

Ia seiring dengan usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang memperkenalkan Pelan Strategik Eliminasi Malaria Kebangsaan (PSEMK) pada 2011 bagi mensasarkan Sifar Malaria menjelang 2020.

Selain Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengenalpasti Korea dan China juga antara negara yang ingin mencapai status bebas malaria menjelang tahun depan.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tahun lalu, selepas tujuh tahun pelaksanaan PSEMK, jumlah kes malaria manusia jangkitan tempatan menurun sebanyak 98.4 peratus, iaitu dari 5,194 kes pada 2010 kepada 85 kes saja pada 2017.

Dr Patrick berkata, sebanyak 12, 705 kes berlaku dengan 35 kematian pada tahun 2000 menurun kepada 4,725 kes dengan hanya 16 kematian pada 2012. Purata pesakit yang terkena serangan malaria ialah 70 peratus adalah di kalangan orang asli.

“Bagaimanapun dengan penganjuran program kesedaran awam yang dijalankan kerajaan, jumlah kes malaria terus menurun.

“Kes malaria terus berkurangan berikutan masyarakat sudah mempunyai kesedaran menjaga kesihatan dengan baik antaranya memasang jaring pada tingkap rumah. Selain itu, tindakan pantas doktor mengesan malaria lebih cepat dengan wad yang menyediakan kelambu untuk pesakit malaria bagi mengelak wabak itu merebak kepada orang lain.

“Selain itu, pengeluaran produk mencegah gigitan nyamuk dan ubat-ubatan mencegah malaria lebih terkini dihasilkan. Ubat-ubatan juga semakin moden dan lebih baik dalam menangani masalah malaria.

“Pesakit pula cepat pulih selepas mendapatkan kumpulan ubat terbaru iaitu artemesin yang mana kebanyakan hospital akan menyediakan ubat ini,” katanya.

Beliau menasihati, orang ramai yang ingin melakukan aktiviti lasak mengembara ke dalam hutan digalakkan mengambil ubat-ubatan jenis Doxycicline, Mefloquine dan Malarone, yang perlu di makan setiap hari seawal seminggu sebelum mengembara, ketika berada di dalam hutan sehingga sebulan selepas pulang dari melakukan aktiviti berkenaan.

Katanya, Malarone diambil dua hari sebelum dan tujuh hari selepas kembali; Doxycycline pula dimakan dua hari sebelum hingga sebulan bulan selepas kembali manakala Mefloquine dimakan dua minggu sebelum hingga selama sebulan selepas kembali.

“Ketika berada di dalam hutan pula, ubat berkenaan perlu diambil setiap hari dan disarankan terus makan sehingga sebulan setiap hati berturut-turut kerana dalam tempoh inkubasi selepas keluar mengembara hutan. Ini kerana tanda-tanda awal hanya dapat dikesan antara hari ke dua hingga sebulan kemudian,” katanya.

Selain itu, pelancong yang ingin mengembara ke luar negara seperti Afrika Selatan, Brazil dan Papua New Guinea dinasihatkan mengambil ubat pencegahan malaria. Ini kerana apabila tiada perlindungan, risiko dijangkiti malaria sangat tinggi hingga boleh membawa maut.

“Lebih baik mencari maklumat di internet atau mendapatkan nasihat dari doktor sama ada tempat yang yang dilawati itu memerlukan ubat-ubatan berkaitan malaria atau tidak,” katanya

Beliau berkata, malaria boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan hati. Kesan lebih bahaya lagi ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dan didiagnos lebih awal.

“Pesakit maut kerana lambat mendapatkan rawatan selain doktor tidak dapat mengenalpasti penyakit berkenaan lebih awal,” katanya.

INFO Malaria

* Penyakit berjangkit bawaan vektor yang disebabkan oleh parasit protozoa.

* Disebarkan oleh nyamuk betina genus Anopheles (nyamuk tiruk), terutamanya Anopheles sundaicus di Asia dan An. gambiae di Afrika.

* Malaria berlaku di kebanyakan bahagian sub Sahara - Arika, Asia Tenggara dan Selatan, Mexico, Haiti, Amerika Tengah dan Selatan, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.

Berlaku penurunan ketara (boleh buat carta)

* 1961 - 243,780 kes

* 1980 - 44,226 kes

* 1990 - 50,500 kes

* 2000 - 12, 705 kes

* 2010 - 6,650 kes

* 2015 - 2,311 kes

* 2017 - 85 kes

414 dibaca
Berita Harian X