Sabtu, 27 April 2019 | 10:00am
- Gambar hiasan

Pesakit HIV derita kesan diskriminasi

Penghidap HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai situasi dan reaksi bukan sahaja mengenai tahap kesihatannya, malah masyarakat juga menganggap mereka menjijikkan.

Itu hakikat yang perlu dilalui walau apa kaedah mereka mendapat penyakit paling digeruni.

Tereq Nassri, 34, antara insan yang hidup dengan People Living With HIV/AIDS PLWHA, umpamanya pada awalnya dia sukar menerima kenyataan selepas didiagnosis sejak enam tahun lalu.

Bekas kakitangan syarikat penerbangan tempatan itu bagaimanapun akur dengan takdir berkenaan di atas perbuatannya yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Katanya, apabila disahkan menghidap penyakit itu dia dipandang hina dan menyebabkannya mengalami kemurungan serius kerana turut didiskriminasi di tempat kerja.

“Pandangan mereka seolah-olah virus ini boleh dijangkiti dengan mudah,” katanya yang menganggap sejak zaman sekolah, rakannya tidak menganggap dia lelaki maskulin.

Tereq berkata demikian ketika ditemui pada Bengkel Pemekaan Media mengenai HIV dan AIDS 2019, anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diskriminasi bermula

Tereq berkata, sebaik doktor mengesahkan HIV positif, dia membuat keputusan memaklumkan kepada majikannya.

“Pada awalnya, semua berjalan lancar dan majikan menerima status saya tanpa prejudis tetapi, niat berterus terang itu tidak memihak kepada saya. Diskriminasi bermula ketika melalui latihan kemahiran bantuan awal kecemasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR), jurulatih menyarankan supaya berhati-hati melakukan bantuan pernafasan kerana saya ada HIV. Reaksi rakan juga sangat mengecewakan dan memandang saya begitu jijik,” katanya.

Selepas peristiwa itu, anak kelahiran Johor Bahru ini mengambil keputusan drastik berhenti kerja kerana berasakan dirinya tidak sepatutnya bekerja di situ. Antara pengalaman diskriminasi paling mengecewakan pernah dilalui, adalah ketika bekerja di sebuah hotel terkemuka di negara ini.

“Stigma mereka terhadap jangkitan penyakit ini sehingga sanggup meletakkan syarat, saya tidak dibenarkan makan di kafeteria kerana bimbang soal kebersihan. Malah tugas dalam bahagian komunikasi hotel yang memerlukan saya berhadapan pelbagai pihak, termasuk media juga dihalang. Saya diberikan kad perniagaan dan tanda nama tetapi tidak diberikan sebarang tanggungjawab.

“Tujuh bulan saya melalui penderaan mental di situ, akhirnya saya dipecat,” katanya yang dilayan umpama sampah masyarakat.


PENGHIDAP HIV, Tereq Nassri (dua dari kanan) pada awalnya sukar menerima kenyataan selepas didiagnosis sejak enam tahun lalu. - NSTP/Rosela Ismail

Doktor turut prejudis

Sebagai PLWH, dia turut menerima stigma daripada pengamal perubatan sendiri. Pernah ketika demam dan pergi ke klinik, sebaik mengetahui status kesihatan, doktor menyarankan pergi mendapatkan rawatan di hospital yang pernah merawat saya selepas diberitahu menghidap HIV.

“Malah, apabila pergi ke klinik kerana alami ruam, mereka menggunakan dua sarung tangan. Kenapa situasi ini harus berlaku?” katanya.

Layanan buruk yang diterima menyebabkan dia mengalami kemurungan malah hanyut dengan penagihan dadah selama dua tahun sehingga pernah terlintas hendak membunuh diri, namun hatinya dikuatkan supaya tidak mati dalam kesesatan.

Beliau mengakui, stigma seperti itu berterusan sehingga ke hujung nyawa tetapi sokongan seorang rakan baik yang mengajaknya bercuti menenangkan fikiran berjaya mengubah pendiriannya.

Ketika menatap senja berlabuh di kaki langit, beliau terfikir mengapa harus terlalu memikirkan apa kata orang sehingga menyeksa diri sendiri?. Bermula detik itu, dia mula bangkit memulakan kehidupannya seperti insan lain. Beliau cuma berharap dilayan sebagai manusia biasa yang berhak untuk hidup seperti insan lain, dihormati tanpa syarat dan prejudis.

Info

  • Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kelompok tertinggi dijangkiti HIV.
  • 50 peratus kes baharu dilaporkan sepanjang 2017 membabitkan LGBT.
  • Sejumlah 1,697 individu yang mengamalkan seks luar tabii songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah sebahagian daripada 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada 2017.
  • Laporan Sektor HIV/STI (Jangkitan yang berpindah melalui hubungan seksual), Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan
  • Berita Harian X