Sabtu, 16 March 2019 | 10:00am
MINYAK zaitun mengandungi pelbagai khasiat, pengambilan dalam menu harian membantu mencegah penyakit berkaitan kardiovaskular, selain mengurangkan risiko kanser.

Manfaat luar biasa minyak zaitun

PENYELIDIK tempatan dan antarabangsa mengesahkan minyak zaitun mengandungi pelbagai khasiat, pengambilan dalam menu harian membantu mencegah penyakit berkaitan kardiovaskular, selain mengurangkan risiko kanser.

Dihasilkan daripada pati buah zaitun, selain digunakan dalam masakan, minyak ini juga dijadikan ramuan utama menghasilkan produk berasaskan kecantikan dan dandanan diri.

Pakar Perubatan Umum Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Dr Norman Mohd Norawi, berkata minyak zaitun mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan seperti membantu mencegah penyakit jantung, strok, diabetes, mengawal kesan radang dan mengawal kadar kolesterol dalam darah.

Beliau berkata, pengambilan minyak zaitun dapat membantu mengawal glukos dalam darah kepada pesakit diabetes.

“Amalan mengambil minyak ini juga dapat mengurangkan risiko barah, mengekalkan kesihatan kulit dan awet muda,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, Dr Norman berkata, minyak zaitun tidak boleh menggantikan rawatan konvensional seperti ubat-ubatan yang dibekalkan doktor untuk merawat penyakit berkaitan gangguan sistem kardiovaskular.

PAKAR Perubatan Umum Pengkhususan Perubatan Nutrisi, Dr Norman Mohd Norawi.

Beliau berkata, minyak zaitun digunakan sejak beribu tahun terutamanya di kawasan Mediterranean dan Asia Barat sebagai bahan asas masakan sesuai digunakan untuk semua peringkat usia dan jantina.

Namun, katanya, penggunaan suhu yang tinggi ketika memasak boleh mengurangkan zat dan khasiatnya.

“Minyak zaitun akan hilang khasiatnya jika dimasak melebihi suhu 190 darjah selsius (c), bagi tujuan memasak, anda disaran menggunakan suhu kurang daripada 190 darjah selsius.

“Minyak zaitun tidak sesuai untuk masakan ‘deep fry’ seperti menggoreng ikan dan ayam atau sajian berempah, misalnya kari dan rendang,” katanya.

Dr Norman berkata, minyak zaitun paling berkhasiat dan gred yang menjalani proses perahan pertama atau Extra Virgin Olive Oil (EVOO).

Katanya, perahan pertama ini bersifat anti oksidan kaya polifenol, vitamin, asid lemak dan rasa terbaik, malah kadar asidnya kurang 0.8 peratus.

“Harga EVOO ini paling mahal dan diletakkan dalam botol kaca gelap untuk menjaga khasiatnya.

“Kajian mendapati minyak zaitun perahan awal atau Virgin Olive Oil (VOO) juga mempunyai khasiat terbaik.

“Minyak zaitun paling mahal diletakkan gas nitrogen dalam botolnya bertujuan mengelak pengoksidaan hingga boleh menghilangkan polifenol anti oksidannya.

“VOO adalah gred kedua dengan kadar keasidan adalah di antara 0.8 hingga 2.2 peratus. Lebih sesuai digunakan untuk memasak, harganya murah sedikit dan disimpan dalam botol gelap,” katanya.

Bagi kategori minyak zaitun pomace dan lampante, hasil perahan buah sudah diekstrak minyaknya menggunakan bahan kimia.

Pilihan ini walaupun kualitinya tidak begitu baik berbanding EVOO dan VOO, namun boleh digunakan untuk memasak.

Bagi kategori ini, minyak berkenaan sesuai dijadikan bahan asas membuat sabun.

Anda disaran membeli minyak zaitun daripada pembekal diiktiraf bagi mengelak kekeliruan dari segi kualiti.

Pada peringkat antarabangsa, kualiti minyak ini ditentukan badan akreditasi antarabangsa International Olive Oil Council (IOOC), berpangkalan di Sepanyol.

Letak dalam sudu makan dan minum terus

* Minum satu sudu pagi dan satu sudu petang atau malam (boleh minum air selepasnya)

* Letak sebagai dressing dalam salad atau ulam

* Renjis sedikit pada masakan seperti lauk, sayur-sayuran, telur dadar dan telur hancur.

* Gunakan ketika memasak pada suhu rendah untuk menggoreng telur mahupun merenih sayur.

Perbezaan minyak zaitun dan kelapa dara

Kandungan asid lemak utama

* Minyak zaitun ekstra dara

- Omega 9- Adsid Oleik

- Sifat anti radang

* Minyak kelapa dara

- Asid laurik

- Sifat anti radang

* Kandungan anti oksida

- Minyak zaitun ekstra dara

- Mengandungi hydroksitirosol, tirosil, oleocanthal, oleuropin

vitamin E

* Minyak kelapa dara

- Vitamin E, K dan choline

* Kelebihan

Minyak zaitun esktra dara

* Kawal keradangan kronik

* Turunkan kolekstrol

* Turunkan berat badan

* Kurangkan risiko jantung, koronori, diabetes, kanser, alzheimer

baik untuk kesihatan kulit

* Awet muda

Minyak kelapa dara

* Kawal keradangan kronik

* Turunkan kolestrol

* Turunkan berat badan lebih kuat berbanding minyak zaitun

* Sumber tenaga segera

* Mengurangkan risiko sakit jantung, koronori, hipertensi

diabetes dan nyanyuk.

* Anti kulat

* Meningkat sistem imuniti tubuh

* Tingkat kesihatan kulit

4. Penggunaan

Minyak zaitun esktra dara

* Minum terus sebagai salad dressing

* Boleh dimasak tetapi pada suhu rendah kurang 190c

Minyak kelapa dara

* Boleh minum terus

* Sangat stabil pada suhu tinggi dan sesuai dimasak dengan kaedah sajian tempatan

Berita Harian X