Isnin, 4 March 2019 | 1:41pm
Kelengkapan digunakan di Klinik Pergigian Pakar (KPP) MERS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto NSTP

Klinik Pergigian Pakar MERS bertaraf premium

Kuala Lumpur: Ramai mengambil mudah pemeriksaan gigi, sedangkan ia perlu menjadi rutin secara berkala seperti pemeriksaan kesihatan yang lain.

Kebanyakan pesakit hanya datang melakukan pemeriksaan gigi sekiranya mereka berdepan kesakitan dan sering kali kanak-kanak pula dimomokkan dengan pelbagai cerita kurang menyenangkan mengenai doktor gigi.

Pakar Pergigian Ortodontik, KPP MERS, Dr Khairil Aznan Mohamed Khan, berkata situasi itu perlu diperbetulkan dan ibu bapa sepatutnya mendedahkan kepada anak sejak kecil lagi supaya mereka tidak takut.

Katanya, KPP MERS adalah klinik di bawah pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kesihatan hasil kerjasama dengan Fakulti Pergigian UKM yang memberi banyak kelebihan dari segi perkhidmatannya kerana pesakit boleh mendapatkan rawatan pakar pada harga berpatutan manakala masa menunggu pendek, berbanding di klinik pergigian kerajaan.

“Klinik ini juga mempunyai pengkhususan kepakaran tertentu dan ketika ini terdapat enam pakar pergigian bertugas di klinik berkenaan.

“Selain itu tujuan penubuhannya ialah untuk memberi perkhidmatan premium,” katanya.


- Foto NSTP

Salah tafsir

Dr Khairil Aznan berkata, kebanyakan orang dewasa pula, ramai beranggapan harga rawatan di klinik pergigian swasta adalah tinggi dan di luar kemampuan dan akhirnya, langsung tidak mendapatkan rawatan.

“Contohnya bagi rawatan ortodontik atau pendakap gigi (braces) dan implan gigi diakui sememangnya agak mahal di klinik pergigian swasta. Ini adalah kerana kos asas barangan pergigian yang digunakan adalah tinggi disebabkan kesukaran kes serta tempoh rawatan panjang.

“Sepanjang rawatan, banyak masalah timbul seperti kesukaran akses, pembukaan mulut yang terhad dan sebagainya.

“Ditambah pula apabila pesakit gemar bertukar-tukar doktor ortodontik, sekali gus doktor sukar merawatnya. Jadi, adalah lebih baik mendapatkan rawatan gigi sejak awal lagi dan paling terbaik, sekali sebelum ia bertukar menjadi teruk,” katanya yang berpengalaman 21 tahun dalam bidang ini.

Beliau yang berpengalaman 15 tahun sebagai pakar ortodontik turut menjalankan tugas sebagai pensyarah dan penyelia kepada mahasiswa Ijazah Pergigian dan Ijazah Kepakaran di UKM.

Pada masa kini, Dr Khairil Aznan bersama pensyarah Sains Pertuturan UKM sedang menyelia kajian mahasiswa Ijazah Kepakaran berkenaan hubungan antara maloklusi gigi dengan pertuturan.

Dr Khairil Aznan berkata, selain itu banyak perihal berkenaan gigi yang sering disalah tafsir. Antaranya, pemflosan dikatakan boleh mencederakan dan pendarahan gusi tetapi sebenarnya, rawatan ini digalakkan kerana ia adalah mekanisme pembersihan gigi.


Kelengkapan digunakan di Klinik Pergigian Pakar (KPP) MERS, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Foto NSTP

Perkhidmatan terbaik

“Selain itu ramai beranggapan bahawa pesakit barah yang mencabut gigi berdepan risiko lebih teruk. Hakikatnya, pakar perubatan menasihatkan pesakit barah supaya tidak melakukan apa-apa pembedahan kerana mereka cenderung mendapat jangkitan memandangkan sistem imun rendah dan mudah mendapat pendarahan disebabkan radiasi,” katanya.

Beliau berkata, untuk mendapatkan kesihatan gigi yang baik, elakkan minum minuman berkarbonat kerana ia menghakis gigi, asidik dan mengandungi kandungan gula tinggi hingga menyebabkan karies gigi berlubang.

“Bagi penggemar minuman kopi, tidak dinafikan kafein boleh membuatkan seseorang itu peka dengan keadaan sekeliling tetapi ia mampu menyahwarnakan gigi anda,” katanya.

Mengenai Klinik Pergigian Pakar MERS, beliau berharap, klinik itu akan menjadi klinik pergigian premium, dikenali ramai dengan perkhidmatan terbaik hingga dikenali di seluruh dunia.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah Ortodontik (pendakap gigi, clear aligners dan ‘retainers’), Endodontik (rawatan ‘root canal’), Periodontik (‘Scaling dan root planing’, pembedahan gusi, implan pergigian), Prostodontik (‘Dental crown dan bridges, veneers, gigi palsu), rawatan pergigian kanak-kanak, pemulihan pergigian (Veneers, tampalan, pemutihan gigi) dan perubatan oral dan patologi oral,” katanya.

Klinik Pergigian Pakar MERS menawarkan perkhidmatan pergigian yang menyeluruh. Untuk pertanyaan lanjut, harga dan perkhidmatan pergigian yang lain, sila hubungi 03-26040526 atau 012-2913450 atau layari Facebook Klinik Pergigian Pakar MERS.

1613 dibaca
Berita Harian X