Isnin, 7 Januari 2019 | 9:39am
- Gambar hiasan/india.com

Eksklusif: 21,018 pesakit tunggu organ untuk terus hidup

KUALA LUMPUR: Kira-kira 21,018 pesakit, terutama penghidap buah pinggang terpaksa menunggu sehingga sekurang-kurangnya 20 tahun, bagi menjalani pemindahan organ di hospital kerajaan disebabkan kekurangan penderma.

Keadaan itu menjadikan Malaysia sebagai negara paling lama dalam senarai menunggu, berbanding negara Eropah dan Asia lain.

Statistik dikeluarkan Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), Hospital Kuala Lumpur, menunjukkan hanya 424,580 orang berikrar untuk menderma organ sepanjang 21 tahun PSTN ditubuhkan.

Tahun lalu, kira-kira 6,000 pengikrar baharu dicatat untuk menderma organ.

Waktu menunggu yang terlalu lama boleh mengakibatkan 21,018 orang yang menghidapi pelbagai jenis penyakit ‘berdepan dengan maut’ jika tidak melakukan pemindahan organ.

Timbalan Ketua Jabatan dan Pengurus Klinikal PSTN, Dr Diana Mohd Shah, berkata pemindahan organ ini memberi harapan kepada pesakit lebih panjang jangka hayatnya jika mendapat organ sesuai untuk mereka.

Katanya, sepasang buah pinggang boleh menyelamatkan empat nyawa dan purata seorang penderma organ berupaya menyelamatkan 35 nyawa.

“Sejak 1970 sehingga 2017, negara ini melakukan 2,149 pemindahan organ membabitkan 665 penderma, selain 27 penderma dicatatkan tahun lalu.

Jumlah pengikrar mengikut kaum didahului Cina, iaitu 39 peratus, Melayu (31), India (22) dan lain-lain sebanyak enam peratus.

“Jumlah itu merekodkan penurunan 20 peratus tahun ini, sekali gus meletakkan negara pada kedudukan terendah di dunia, iaitu kurang satu peratus per sejuta penduduk (pmp) berbanding Sepanyol dengan nisbah 40 penderma.

“Berbanding di negara Asia seperti Thailand dan Singapura, Malaysia masih ketinggalan jauh dan terendah, memandangkan negara itu sudah mencapai statistik pendermaan organ dengan kadar 3.27 pmp,” katanya kepada BH Online.

Dr Diana berkata, di Sepanyol jika pemindahan organ tidak berjaya, pesakit boleh mendapatkan penderma baharu selewat-lewatnya dua hari selepas diumumkan pemindahan organ gagal.

“Ketika mengikuti pengajian sarjana di Universiti Barcelona, Sepanyol, saya melihat negara itu mempunyai jumlah penderma dan pengikrar yang tinggi.

“Di negara ini, polisi kita tidak mengambil jantung perokok tegar tetapi di Sepanyol, mereka membenarkan jika organ itu masih berfungsi dengan baik,” katanya.

Kekurangan penderma organ di negara ini kritikal, berikutan peningkatan penyakit tidak berjangkit, seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.


Dr Diana Mohd Shah.

Justeru, beliau menggesa program kesedaran ditingkatkan, terutama di kalangan kakitangan hospital supaya inisiatif derma organ dan tisu diperluaskan di negara ini.

“Tempoh menunggu untuk buah pinggang sahaja adalah 20 tahun manakala hati, jantung dan paru-paru 10 tahun, sedang kira-kira 21,000 pesakit dewasa dan kanak-kanak menunggu untuk satu buah pinggang, selain lima hingga enam pesakit mengharapkan pemindahan jantung, hati dan paru-paru untuk hidup,” katanya.

Proses perolehan organ paling kompleks kerana membabitkan banyak pihak.

“Sebaik mendapat panggilan ada pengikrar meninggal dunia, kami menggerakkan logistik, pasukan perubatan, pembedahan, memastikan darah dan saiz organ berpadanan dengan penerima untuk proses pemindahan dilakukan segera.

“Setiap organ mempunyai waktu luput dan tidak boleh disimpan lama. Penderma paling muda berusia 27 hari yang mendermakan injap jantung dan penerima paling tua berusia 84 tahun.

“Kita pernah mengendalikan pendermaan seluruh organ yang memberi kehidupan kepada 35 orang,” katanya.

Orang ramai boleh mendaftar sebagai pengikrar derma organ secara dalam talian di www.dermaorgan.gov.my.


Rakyat Malaysia dirayu supaya berikrar menjadi penderma organ bagi menyelamatkan nyawa orang lain. - Gambar hiasan

Bahagian diderma tak boleh simpan lama

Kuala Lumpur: Organ daripada penderma mempunyai jangka hayat dan tidak boleh disimpan lama, bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik untuk penerimanya.

Timbalan Ketua Jabatan dan Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Diana Mohd Shah, berkata organ berkaitan jantung boleh disimpan dalam tempoh empat hingga enam jam.

Katanya, bagi organ buah pinggang ia mampu bertahan sehingga 24 jam, paru-paru (lapan hingga 12 jam) kecuali tisu yang boleh disimpan dalam peti ais.

“Organ untuk mati otak perlu pemindahan segera supaya berfungsi baik dan tidak terjejas.

“Penderma (mati otak) akan diberi sokongan (bantuan hayat) sehingga ke dewan bedah.

“Tarikh luput kornea adalah dua minggu, manakala tulang panjang dan injap jantung sehingga lima tahun ke atas dalam peti sejuk dengan suhu negatif 20 hingga 193 darjah Celsius, tetapi jarang disimpan lama kerana sentiasa diperlukan,” katanya BH Online.

Dr Diana berkata, pihaknya bekerjasama dengan anggota kesihatan untuk meningkatkan jumlah pendermaan organ di hospital kerajaan dan swasta.

“Saya berharap mereka peka. Jika ada kematian perlu hubungi kita untuk menyemak status, sama ada si mati adalah pengikrar organ atau tidak.

“Kepekaan terhadap pengikrar yang sudah mati di hospital, memberi harapan kepada penerima organ meneruskan kehidupan.

“Penderma organ sebenarnya memberikan anugerah kehidupan dan kegembiraan kepada orang lain.

“Seorang pengikrar boleh membantu ramai pesakit dengan menderma lebih satu organ kepada penerima,” katanya.

305 dibaca
Berita Harian X