Selasa, 30 Oktober 2018 | 8:15pm

Obesiti, merokok antara punca sukar dapat zuriat

KUALA TERENGGANU: Obesiti dan tabiat merokok menjadi antara faktor utama masalah kesuburan pasangan suami isteri di negeri ini, yang menyukarkan mereka mendapat zuriat.

Ketua Unit Perawatan Reproduktif, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nasuha Yaacob, berkata sejak 2010, secara purata seramai 4,000 pasangan mendapatkan rawatan masalah kesuburan setiap tahun.

Beliau berkata, setiap tahun HSNZ yang menjadi hospital rujukan utama untuk masalah kesuburan menerima purata antara 3,000 hingga 4,000 pesakit termasuk pasangan yang sudah lama berkahwin.

Katanya tahun lalu, seramai 3,776 pasangan mendapatkan rawatan kesuburan di Unit Perawatan Reproduktif HSNZ kerana sukar mendapatkan zuriat.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dan ujian yang dilakukan mendapati, 25 peratus daripadanya berpunca daripada masalah obesiti, manakala 60 peratus adalah perokok.

“Kita juga menerima banyak kes yang mana kedua-dua pasangan iaitu suami dan isteri mengalami masalah obesiti yang menyukarkan mereka memperoleh zuriat, walaupun sudah beberapa tahun berkahwin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi ceramah pada Program Kesuburan “Abe Kemah, Mek Comei, Anok Jujuk” sempena Program TePaT: ‘Terengganu Parenting Tour’ 2018 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dr Nasuha berkata, pesakit yang sudah dikenal pasti punca masalahnya akan dirujuk ke klinik berkaitan seperti Jabatan Dietetik dan Sajian, Jabatan Fisioterapi dan Klinik Rokok untuk dibantu dalam mengubah gaya hidup bagi memudahkan proses mendapat zuriat.

“Kita akan bantu mereka kerana kita tahu bukan mudah untuk atasi masalah obesiti dan menghilangkan ketagihan merokok yang memberi kesan kepada tahap kesihatan yang menyebabkan sukar mendapat zuriat,” katanya.

Beliau berkata, 90 peratus daripada pesakit yang mendapatkan rawatan di Unit Perawatan Reproduktif HSNZ berjaya hamil dan memperoleh zuriat, sama ada dengan pengambilan ubatan dan kaedah persenyawaan luar rahim atau ‘In Vitro Fertilization (IVF)’.

“Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan mengubah gaya hidup, amalan hidup sihat dan pengambilan ubatan, ramai antara mereka hamil.

“Tidak kurang juga isteri yang hamil menerusi IVF. Sepanjang tahun ini contohnya, kita mempunyai 109 individu yang menjalani IVF dengan 92 daripadanya sudah selamat melahirkan, manakala 12 lagi sedang menunggu kelahiran,” katanya.

Berita Harian X