Khamis, 18 Oktober 2018 | 10:29am
GOLONGAN muda berusia awal 20-an dikesan semakin ramai mendapat sakit jantung dan penyakit kronik lain,- Foto hiasan
PEMILIHAN menu harian dan pengambilan minyak zaitun dalam hidangan membantu amalan diet sihat. - Foto hiasan

Usia 20-an dah dapat sakit jantung

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar

fatin@bh.com.my

Malas bersenam, gagal kawal selera dan enggan buat pemeriksaan kerana rasa umur masih muda

antara faktor mudah mendapat penyakit yang sering menyerang orang tua.

Jumlah pesakit kardiovaskular atau jantung meningkat dalam kalangan orang muda itu memperlihatkan paten gaya hidup mereka sepanjang hari.

Tidak mustahil ada yang tiba-tiba diserang mendapat penyakit kritikal akibat kegagalan mereka mengesan awal penyakit .

Pengamal perubatan am, Dr Zubaidi Ahmad, berkata data terkini menunjukkan golongan peringkat usia 20-an sudah mula mendapat sakit jantung, meskipun penyakit itu ramai menyerang individu berumur 40 hingga 60 tahun ke atas.

Katanya, tekanan darah, paras kolesterol tinggi dan kencing manis juga semakin membimbangkan dalam kalangan anak muda.

“Ramai tidak menyedari berat badan berlebihan boleh menyebabkan mereka mudah diserang penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi dan diabetes.

“Sebelum ini, obesiti hanya menggambarkan masalah berat badan berlebihan, tetapi dikategorikan sebagai penyakit membimbangkan,” katanya.

Sempena Hari Sambutan Kesihatan Jantung Sedunia pada hujung September lalu, Dr Zubaidi turut bekerjasama dengan Olive House bagi memberikan kesedaran kepada mengenai kepentingan penjagaan kesihatan jantung.

Beliau berkata, penganjuran kempen bertujuan menggalakkan masyarakat mengenai amalan mengambil minyak zaitun secara kerap.

“Minyak zaitun berupaya merendahkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, darah tinggi, strok dan kolesterol tinggi,” katanya.

Dr Zubaidi yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), banyak penyakit gaya hidup muncul kerana umum tewas akibat gagal mengawal nafsu makan.

Bagi mengelak situasi itu, perubahan amalan pemakanan setiap hari bagu untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

“Penggunaan minyak zaitun, umpamanya dalam diet seharian lebih baik berbanding minyak biasa,” katanya.

Dr Zubaidi berkata, kajian menunjukkan penduduk Mediterranean mempunyai kadar sakit jantung jauh lebih rendah berbanding penduduk Amerika Utara dan utara Eropah.

Info

Minyak zaitun

* Mengandungi lemak mono tidak tepu (MUFA).

* Kaya bahan antioksidan iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, squalene dan beta karotin.

* Mengandungi vitamin E tokoferol dan vitamin K.

* Melindungi daripada ulser dan gastritis

* Pengambilan dua sudu teh minyak zaitun asli setiap hari mengurangkan kadar kolesterol jahat.

* Menambahkan jumlah antioksida dalam badan

* Mengurangkan lemak

Berita Harian X