Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:37pm

Anak lambat membesar, tidak matang perlu rujuk pakar

RAMAI beranggapan anak yang berbadan kecil kerana kurang makan dan perkara itu normal kerana paling penting mereka tampil sihat.

Bahkan, ada juga ibu bapa beranggapan saiz badan atau rangka anak kecil kerana belum mencapai baligh mahupun mengikut genetik keluarga.

Pakar Perunding Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin, berkata tahap kesedaran mengenai masalah tumbesaran di negara ini adalah rendah dan membimbangkan.

Katanya, adalah penting untuk ibu bapa mengenali tanda masalah tumbesaran iaitu kekurangan hormon tumbesaran (Growth Hormone Deficiency).

“Masalah GHD biasanya tidak diberi perhatian kerana ramai menyangka masyarakat Asia secara semula jadinya mempunyai struktur tulang lebih kecil.

“Tumbesaran adalah penanda aras kepada kanak-kanak berdasarkan kesihatan dan kesejahteraan. Gangguan tumbesaran kanak-kanak boleh disebabkan kekurangan nutrisi dan penyakit kronik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen kesedaran, Bukan Sekadar Ketinggian Tapi Juga Kesihatan anjuran Novo Nordisk Pharma (M) Sdn Bhd, sempena hari Kesedaran Pertumbuhan Kanak-kanak Antarabangsa, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kelenjar otak rangsang tumbesaran

Dr Muhammad Yazid berkata, terdapat pelbagai faktor menyebabkan kanak-kanak menjadi pendek antaranya genetik, penyakit, ubat-ubatan, pemakanan, hormon dan persekitaran psikososial.

Beliau berkata, tumbesaran adalah satu proses fisiologi kompleks pada saat kanak-kanak mula membesar dengan cepat dalam tempoh dua tahun pertama kehidupan mereka.

Proses ini katanya, berterusan pada kadar tetap iaitu lima hingga sembilan sentimeter setiap tahun hingga mereka berusia kira-kira 10 tahun.

“Apabila kanak-kanak memasuki usia remaja iaitu 11 tahun bagi perempuan dan 13 tahun bagi lelaki, lonjakan tumbesaran berlaku sekali lagi selama hampir dua tahun sebelum berakhir pada usia 16 hingga 18 tahun.

“Hormon tumbesaran dihasilkan oleh kelenjar pituitari yang terdapat dalam otak untuk merangsang tumbesaran.

Selain menggalakkan tumbesaran fizikal (ketinggian), tumbesaran juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan lemak tubuh.

“Oleh itu, hormon tumbesaran sangat penting untuk perkembangan dan fungsi tubuh manusia yang sihat. Sekiranya kanak-kanak kelihatan lebih rendah berbanding rakan sebaya, kemungkinan untuk mereka mengalami masalah tumbesaran tinggi,” katanya.

Ganggu kesihatan fizikal, mental

Katanya, jika tidak dirawat boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

“Tanda kekurangan hormon tumbesaran ditunjukkan seperti jisim lemak yang meningkat, pengurangan jisim otot dan ciri-ciri muka tidak matang.

“Selain itu, kanak-kanak kekurangan hormon turut menunjukkan tanda fizikal seperti bentuk dahi menonjol, perkembangan pertengahan muka terbantut, pertumbuhan gigi lewat dan lambat mencapai akil baligh,” katanya.

Jika kanak-kanak mengalami masalah hormon, Dr Muhammad Yazid, berkata mereka perlu dirujuk kepada pakar endokrinologi pediatrik untuk mendapatkan rawatan dan pandangan.

“Ujian darah perlu dilakukan untuk menentukan garis dasar. Ujian rangsangan juga boleh dilakukan untuk menilai jika tumbesaran perlahan adalah disebabkan kekurangan hormon tumbesaran.

“Kanak-kanak yang gemuk serta mempunyai ketinggian yang rendah antara golongan perlu dirujuk pakar kerana jelas mereka mengalami masalah hormon,” katanya.

Kesan gangguan emosi

Sementara itu, Pakar Psikologi Klinikal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Firdaus Mukhtar berkata, kanak-kanak yang mempunyai masalah ketinggian mengalami kualiti kehidupan yang lebih rendah berbanding dengan rakan sebaya mereka.

Katanya, kanak-kanak itu mungkin berdepan tekanan emosi akibat fizikal selain gangguan dalam pencapaian akademik, kemahiran motor visual, perkembangan psikomotor serta masalah sikap.

“Biasanya, apabila anak-anak mula masuk ke sekolah rendah, ibu bapa perasaan anak mereka mempunyai paras ketinggian yang rendah dan di situ bermula cabaran dan rasa bimbang.

“Kanak-kanak yang rendah cenderung menjadi mangsa ejekan dan buli di sekolah, selain kurang keyakinan dan menghadapi lebih cabaran fizikal serta sosial.

“Lazimnya kanak-kanak yang mempunyai ketinggian normal lebih diiktiraf serta mempunyai kemampuan lebih baik,” katanya.

Ambil berat aduan anak

Dr Firdaus berkata, ibu bapa harus mengambil berat mengenai sebarang aduan atau luahan kanak-kanak mengenai fizikal mereka supaya anak tidak merasakan mereka diabai.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya tidak membandingkan kanak-kanak berkenaan dengan rakan yang lain.

“Usah terlalu menunjukkan rasa risau mengenai keadaan anak-anak secara terlampau serta mendapatkan rawatan dengan segera,” katanya.

INFO:

• Tumbesaran perlahan pada kanak-kanak biasanya jelas kelihatan di antara usia dua hingga lima tahun.

• Cara paling mudah mengesan pembesaran anak adalah merekodkan dengan tepat perkembangan ketinggian anak-anak menggunakan buka laporan tumbesaran.

• Lakukan dengan teliti bagi memudahkan pengesanan awal masalah tumbesaran.

• Sekiranya anak berusia lima tahun hanya membesar kurang lima sentimeter atau kadar tumbesaran menurun dua peratus atau lebih dalam carta tumbesaran.

• Gangguan lain boleh menyebabkan kanak-kanak tidak cukup tinggi ialah Sindrom Turner iaitu keadaan kromosom mempengaruhi perkembangan wanita, yang mana ciri-ciri ketara ialah ketinggian tidak seimbang.

Berita Harian X