Khamis, 25 April 2019 | 9:22am
SUNTIKAN filler tidak sewenang-wenangnya dilakukan tanpa dapatkan nasihatkan daripada pakar estetik bertauliah.- gambar hiasan

Payudara bernanah bahana suntik filler

PUTRAJAYA: Kedua-dua payudara bernanah dan terpaksa dibuang.

Itu bahana terpaksa diterima seorang mangsa yang menggunakan suntikan filler untuk membesarkan payudara.

Gadis berusia 25 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nana berkata, beliau mendapat suntikan filler pada payudara sekitar Ogos tahun lalu.

Katanya, selepas mendapatkan suntikan, beliau sering demam, tetapi menganggap itu perkara biasa kesan sampingan daripada suntikan filler.

Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa bulan, beliau mengalami kesakitan pada bahagian payudaranya sehingga terpaksa membuat pemeriksaan di hospital.

“Ketika rawatan, doktor beritahu payudara saya bernanah, dan perlu makan antibiotik. Saya cuba dapatkan kepastian daripada pemberi perkhidmatan itu, tetapi dia seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab.

“Sudah saya habis ribuan ringgit untuk suntikan filler, ditambah pula perlu mendapatkan rawatan di hospital untuk membuang nanah di payudara.

“Selepas ini saya terpaksa jalani pembedahan untuk buang payudara kerana otot payudara sudah rosak,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang pernah menggunakan serum pada payudaranya turut mengalami nasib mengalami kesakitan selepas enam bulan membuat sapuan produk berkenaan di bahagian itu.

“Selepas beberapa bulan pakai produk itu, tiba-tiba saya rasa tidak selesa di payudara, apabila terkena lengan akan rasa ngilu. Nak baring mengiring pun seksa.

“Kemudian saya terus dapatkan rawatan di klinik dan doktor maklumkan ada tiga ketulan kecil di sebelah kiri payudara dan sebelah kanan ada ketulan lebih besar dan doktor sahkan ia cyst,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang mengguna krim untuk membesarkan payudara, berkata selepas menggunakan krim itu beliau sering sakit di sekitar payudaranya dan kadangkala diserang sesak nafas.

Justeru, katanya, beliau berhenti menggunakannya selepas beberapa minggu.

“Saya membeli krim itu daripada seorang penjual produk selepas tertarik dengan testimoni yang dimuat naik di laman sosial, bagaimanapun selepas menggunakannya selama beberapa minggu, payudara saya sakit dan rasa seperti sesak nafas.

“Apabila saya tanya pada penjual itu, beliau kata ia hanya kesan biasa, tetapi kerana risau akan memudaratkan kesihatan saya berhenti menggunakannya.

“Alhamdulillah, mungkin disebabkan saya menggunakannya tidak sampai beberapa minggu, jadi kesannya tidak terlalu kuat dan payudara saya kembali normal dan tidak sakit seperti sebelum itu,” katanya.

Baru-baru ini, BH mendedahkan mengenai perkhidmatan yang menawarkan suntikan filler yang didakwa berkesan untuk menambah saiz payudara dan punggung terus berleluasa di laman sosial, malah lebih membimbangkan ia mempunyai ribuan pengikut.

Dengan harga daripada RM1,800 hingga RM3,350 mengikut isi padu filler yang diinginkan pelanggan dijanjikan kesan serta-merta tanpa ada masalah sampingan.

Rawatan berkenaan ditawarkan hanya mengambil masa satu hingga dua jam selain penyembuhan singkat.

Pelanggan turut dijanjikan mereka boleh melakukan rutin biasa selepas mengambil suntikan itu tanpa perlu bedrest, iaitu prosedur biasa selepas membuat pembedahan plastik.

Berita Harian X