Jumaat, 18 Januari 2019 | 7:58am
Gangguan hormon berpunca antaranya krim muka, losen pelembap, sabun dan minyak wangi. - Foto hiasan

Kosmetik ganggu hormon

KUALA LUMPUR: Penggunaan bahan kosmetik menyumbang berlaku perubahan hormon yang membawa masalah haid tidak teratur dan bengkak payudara hingga individu terdedah kepada sindrom prehaid (PMS), punca gangguan emosi.

Kesan berterusan menjejaskan kesihatan mental terutama dalam kalangan wanita berkerjaya hingga menjejaskan hubungan dengan rakan sekerja.

Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Estetik & Penuaan Sihat, Dr Norhaslinda Mat Hassin, berkata gangguan membabitkan wanita muda dan berusia turut dikesan menjejaskan keharmonian keluarga.

Beliau berkata, gangguan hormon berpunca daripada kosmetik antaranya krim muka, losen pelembap, sabun dan minyak wangi.

Penggunaan berterusan itu katanya, memberi peluang bahan kimia yang terkandung di dalamnya menyerap ke dalam badan yang membawa kepada berlakunya gangguan hormon secara serius.

“Cabaran di tempat kerja dan bebanan tugas di rumah antara faktor ketara membawa tekanan melampau. Gangguan lebih kritikal disebabkan faktor lain termasuk pengambilan makanan tidak seimbang dan kurang bersenam.

“Faktor luaran turut menyumbang kepada tekanan sedia ada termasuk pencemaran bahan kimia antaranya asap rokok dan kenderaan dari kawasan sekitar,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.


Pengamal Perubatan Am, Pengkhususan Estetik & Penuaan Sihat, Dr Norhaslinda Mat Hassin.

Hormon tak seimbang

Dr Norhaslinda berkata, pendedahan bahan kimia atau dipanggil dominasi estrogen iaitu menyebabkan berlaku ketidakseimbagan hormon wanita pada tahap kronik.

“Ketidakstabilan menyebabkan masalah lebih parah selain terdedah kepada risiko fibroid mahupun kanser,” katanya.

Secara umumnya beliau berkata, hormon wanita dan lelaki berkurangan apabila meningkat usia 40 tahun disebabkan faktor usia. Namun keadaan sama juga boleh berlaku seawal usia 30 tahun dalam kalangan wanita.

Katanya, semua faktor berkenaan diburukkan lagi jika individu terbabit berhadapan tekanan hidup, selain tidak mengamalkan tabiat diet secara sihat dan kurang beriadah.

Masalah haid tidak teratur dan PMS kata beliau, boleh dirawat dengan rawatan hormon bio-identikal, prosedur dilakukan dengan mengenal pasti tahap hormon pesakit melalui pemeriksaan darah dan air liur.

“Hormon wanita yang tidak seimbang boleh distabilkan dengan rawatan terapi gantian hormon (bio identical hormone replacement therapy) secara peribadi iaitu dalam bentuk pil mahupun krim sapuan khas untuk setiap pesakit.

“Selepas sebulan pesakit perlu berjumpa doktor menjalani pemeriksaan memantau hormon secara terperinci sehingga tempoh enam bulan hingga setahun menerusi fasa pemulihan berkala. PMS tanpa rawatan memberi kesan buruk seperti ketumbuhan dalam rahim atau kanser payudara.

“Tambahan pula, tekanan emosi berpanjangan kesan PMS memberi kesan buruk kepada pesakit seperti hipertensi dan sukar tidur malam (insomnia).

“Rawatan hormon bio-identikal membantu wanita yang mengalami simptom menopaus seperti emosi tidak stabil, berpeluh waktu malam, pertambahan berat badan, kulit kering dan kedutan pada wajah dan mudah lupa atau nyanyuk,” katanya.

Kawal tekanan

Dr Norhaslinda berkata individu perlu optimis terhadap keyakinan dengan proses rawatan yang dijalankan. Pemikiran positif membantu mencepatkan proses pemulihan.

“Gangguan emosi yang membawa kepada perasaan negatif perlu dielakkan kerana faktor itu melambatkan proses penyembuhan sel dalam menerima isyarat daripada daripada hormon.

“Kawalan tekanan penting yang menjadi kunci utama proses penyembuhan daripada PMS ini,” katanya.

Berita Harian X