Isnin, 28 Oktober 2019 | 11:24am
PEMANDU Grab OKU, Siti Fatimah Badrun menunjukan Grab ID OKU. NSTP - Syarafiq Abd Samad

Pasangan OKU sedia perkhidmatan Grab

SUBANG JAYA: Bukan mahu simpati, sebaliknya diberi peluang dan sokongan untuk berdikari supaya dapat membuktikan mampu memajukan diri meskipun dikategorikan dalam kelompok Orang Kurang Upaya (OKU).

Itu antara pandangan pasangan OKU yang cacat kedua-dua kaki, iaitu Siti Fatimah Badrun, 37, dan suaminya, Niyaz Naathan Vellasamy, 43, yang gigih dan menjadi pemandu Grab OKU pertama di negara ini.

Ternyata kedua-dua pasangan ini tidak betah duduk, sebaliknya rajin menerima panggilan sesiapa yang mahukan khidmatnya tanpa sedikitpun kekurangan diri mereka sebagai penghalang memandu ke lokasi dikehendaki.

Siti Fatimah berkata, sebagai OKU sesetengah individu memandang dingin dengan kemampuan golongan berkenaan.

“Saya mengalami cacat kedua-dua belah kaki sejak lahir. Pernah melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk operator demi kelangsungan hidup, sebelum diberitahu bahawa Grab Malaysia membuka peluang sebagai pemandu buat orang sepertinya.

“Seakan tidak percaya, masih ada insan atau pertubuhan yang prihatin dengan masalah kami. Grab memberi sokongan sepenuhnya dan apabila saya bersama suami mendaftar kursus, mereka mengajar bagaimana hendak mempelajari aplikasi Grab waze, mengurus dan berkomunikasi dengan penumpang,” katanya.


SITI Fatimah bersama suami Niyaz adalah pemandu Grab OKU pertama beri perkhidmatan Grab di negara ini. NSTP - Syarafiq Abd Samad.

Pada awal pembabitan sebagai pemandu Grab ramai tidak menyangka beliau seorang OKU kerana menyembunyikan kekurangannya.

“Mereka sangkakan saya normal, tetapi selepas diberitahu OKU mereka terkejut dan mula melihat bagaimana saya mengemudi kereta.

“Mereka seperti tidak yakin apabila saya memandu. Bagaimanapun, mereka menarik nafas lega dan tersenyum apabila melihat salinan lesen memandu saya terpampang di ‘dashboard’.

“Seterusnya memberi kata-kata semangat dan bangga kerana OKU seperti saya tidak mengharap rezeki datang bergolek sebaliknya berdikari sendiri,” katanya.

Siti Fatimah berkata, beliau memulakan tugas seawal jam 10 pagi dengan mengaktifkan aplikasi Grab Waze bagi mencari penumpang di sekitar perumahannya, di Subang Jaya.

“Biasanya tidak sampai 10 hingga 15 minit, ibu pejabat Grab memaklumkan ada penumpang perlu dibawa. Tengok rezeki kadang-kadang dari Puchong, USJ dan One Utama.

“Paling jauh membawa penumpang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. Saya tidak memilih penumpang dan biasanya sehari dapatlah 10 trip, melainkan jalan sesak saya terpaksa menolaknya,” katanya.

Katanya, memandangkan memandu Grab adalah kerja sambilan, setiap bulan beliau memperoleh tambahan RM1,000 yang dianggap berbaloi.

“Ketika ini terdapat 400 pemandu OKU seperti saya dan suami berkhidmat dengan Grab Malaysia. Bagaimanapun, ada juga yang cacat pendengaran dan bisu. Kami berkomunikasi dengan kad khas disediakan Grab,” katanya.

Beliau yang belum dikurniakan zuriat, berkata antara cabarannya ialah sebilangan penumpang membatalkan tempahan apabila melihat beliau seorang OKU.

“Ini perkara biasa. Ada juga dipermainkan oleh pemandu teksi yang berlakon sebagai pelanggan Grab, apabila kita sampai di kawasan mereka membatalkannya,” katanya.

Situasi itu diakui suaminya, Niyaz yang turut menerima nasib serupa ‘ditipu’ pelanggan sedangkan panggilan palsu.

Niyaz berkata, beliau bergilir-gilir dengan Siti Fatimah menjadi pemandu Grab kerana ketika ini hanya ada satu kenderaan yang terpaksa dikongsi untuk mencari rezeki.


KECACATAN bukan penghalang Siti Fatimah menjadi pemandu Grab, meskipun ada yang memandang sinis khidmat diberikan. NSTP - Syarafiq Abd Samad.

“Kereta Perodua Axia kami sudah diubah suai, yang mana pedal minyak dan brek dikendali menggunakan tangan.

“Kalau isteri memandu hari ini, keesokannya giliran saya. Masing-masing memandu 12 hari sebulan dan mengikut keadaan kesihatan,” katanya.

Pada masa sama Grab menjaga kebajikan pemandunya dan sentiasa memberi sokongan serta bantuan apabila diperlukan.

Mengulas stigma terhadap golongan itu, Niyaz menggesa kerajaan memberi sokongan kepada pemandu Grab OKU dengan memudahkan syarat pengambilan lesen memandu PSV yang dikatakan begitu ketat ketika ini.

“Sekarang sudah ada NGO membantu golongan OKU untuk berdikari. Kami tidak mengharapkan bantuan wang ringgit, sebaliknya memudahkan urusan berkaitan sudah memadai,” katanya.

Berita Harian X