Jumaat, 6 September 2019 | 1:11pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed (kiri) dan Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Program WinBiz di ibu kota semalam. - Foto BERNAMA

Wanita dan perniagaan, berpisah tiada

KUALA LUMPUR: Memiliki semangat jati diri yang kuat serta berdisiplin antara faktor mendorong wanita berjaya bidang perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed, berkata pengurusan kewangan yang berkesan itu menjadikan mereka tekun membayar semula pinjaman mengikut masa.

Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan modal awal untuk mereka, pihaknya menawarkan perkhidmatan pinjaman menerusi program Women in Business (WinBiz) bagi tujuan itu.

Katanya, instrumen pembiayaan khusus untuk usahawan wanita bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah sebahagian daripada inisiatif Bank Islam menerusi dana RM50 juta.

“Program kedua selepas dana pembiayaan MySMELady kelolaan Bank Pembangunan (SME). WinBiz juga adalah perkhidmatan tercanggih dan relevan dengan kehendak semasa, malah menjadi sebahagian daripada transformasi Bank Islam.

“Menerusi Bahagian Perbankan PKS, mereka mendekati kumpulan usahawan wanita untuk memahami dan mendapatkan input mengenai keperluan dalam memajukan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran WinBiz yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, di sini semalam.

Mohd Muazzam berkata, WinBiz menawarkan pembiayaan berjangka sehingga RM1 juta dengan pembayaran balik dalam tempoh tujuh tahun. Sebagai permulaan, Bank Islam menyediakan dana RM50 juta dan bakal ditambah mengikut keperluan.

Katanya, penawaran terbaharu dijangka memacu pertumbuhan sektor PKS dengan sasaran 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020, berbanding 38.3 peratus pada 2018.

“Menariknya 49 peratus pelanggan Bank Islam adalah wanita dan sebanyak 19 peratus daripada mereka yang terbabit dalam sektor PKS. Hebatnya, mereka ini tidak pernah terlepas daripada membayar balik pembiayaan mengikut jadual,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, sebagai menghormati dan mengiktiraf peranan wanita, Bank Islam kini memiliki 74 peratus daripada jumlah kakitangan di seluruh negara yang terdiri daripada wanita.

Bancian Ekonomi Jabatan Perangkaan Malaysia 2016 mendapati, terdapat hampir satu juta perniagaan dalam segmen PKS di negara, daripada jumlah itu, 20.6 peratus daripadanya dikuasai wanita, terutama dalam bidang perkhidmatan.

Di Malaysia, perniagaan yang dimiliki wanita semakin meningkat dan berperanan penting dalam aktiviti ekonomi serta pembangunan negara.

Berita Harian X