Rabu, 31 Julai 2019 | 9:41am
Redomske (dua dari kiri) bersama Lee Lee, Naib Presiden YTL Land and Development, Joseph Yeoh dan Pengurus World Sdn Bhd, Jeffrey Wong pada majlis pelancaran program rawatan wajah amal jenama kecantikan Babor Malaysia, baru-baru ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Kutip dana menerusi program amal rawat wajah

KUALA LUMPUR: Meningkatkan kesedaran mencegah penyakit kanser payudara memerlukan kempen berterusan, selain pembabitan pelbagai pihak membuat jualan amal bagi membantu mengisi dana untuk kebaikan golongan sasaran.

Justeru, jenama kecantikan dari Jerman, Babor Malaysia mencetuskan perubahan apabila menganjurkan acara amal menerusi rawatan wajah bagi membantu Pink Ribbon Wellness (L) Foundation menerusi kempen 1,000 peserta dengan kutipan dananya itu disumbangkan kepada pertubuhan terbabit.

Aktiviti amal mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR), selain memberi sumbangan RM20,000 sebagai tanda sokongan perjuangan organisasi memberi sokongan kepada pesakit kanser yang menjadi punca kematian tertinggi dalam kalangan wanita.

Presiden dan Ketua Operasi Kewangan Babor Asia Pasifik, Klaus Redomske, berkata kira-kira 60 peratus kakitangannya adalah wanita dan kempen Ask for More itu sebahagian inisiatif memberi kesedaran mengenai serius penyakit terbabit.

“Justeru, kita membawa kempen rawatan wajah 15 minit Babor ampoule speed facial dengan bayaran RM50 itu disalurkan kembali kepada pertubuhan sokongan penyakit kanser berkenaan.

“Dengan inisiatif itu, kita berharap berupaya mengembalikan keyakinan wanita, pengetahuan mengenai penjagaan kulit, kesedaran terhadap kanser dan menjadikan golongan hawa sebagai individu di depan bukan dipinggirkan kerana batasan jantina,” katanya.


Pengunjung pusat beli-belah Lot 10 membuat rawatan muka pada program rawatan wajah amal jenama kecantikan Babor Malaysia. - NSTP/Rohanis Shukri

Acara amal itu dijayakan di pusat beli-belah, Lot 10 lokasi strategik di ibu kota dengan disaksikan Pengurus Besar Luxor Beauty World Sdn Bhd, Jeffrey Wong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kehormat Pink Ribbon Wellness (L) Foundation, Yong Lee Lee, Naib Presiden YTL Land and Development Berhad, Joseph Yeoh serta ramai lagi.

Sementara itu, Lee Lee berkata, hakikat mengenai setiap 15 saat wanita di seluruh dunia menghidap kanser payudara wajar diberikan perhatian dengan pencegahan awal dan pengetahuan mengenai penyakit itu.

“Saya sendiri didiagnosis tahap satu, iaitu apabila terdapat ketumbuhan sebesar dua sentimeter, sekali gus mencegah daripada awal serta pengawalan penyakit.

“Kita mahu masyarakat mengambil berat penjagaan dan pemeriksaan sendiri supaya menyedari sebarang perubahan dan mengambil tindakan susulan sebelum masalah atau penyakit menjadi lebih serius.

“Peranan keluarga penting dengan memberi sokongan dan bantuan terhadap penghidap kanser ini berikutan adalah penting mengembalikan keyakinan diri dan kekuatan bertarung dengan penyakit itu,” katanya.


Lee Lee (kanan) bersama Ai Lee yang kini bebas barah payudara. - NSTP/Rohanis Shukri

Beliau berkata, proses kemoterapi adalah tempoh genting bagi pesakit kanser payudara dan mereka memerlukan sokongan daripada pelbagai aspek termasuk mental, emosi dan fizikal.

“Ahli keluarga juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai kanser payudara supaya mereka memahami situasi pesakit terbabit sepanjang proses rawatan,” katanya.

Dikesan menghidap barah payudara tahap empat atau kanser payudara metastatik (MBC) pada 2007, bekas pesakit MBC, Lim Ai Lee, 51, mengakui diagnosis itu memberi perubahan besar, selain membuatkannya putus harapan dan hampir kepada kematian.

“Tujuh tahun lalu, saya melalui prosedur pembedahan mastektomi bagi membuang tisu kanser dan sebelah payudara sebagai ikhtiar untuk pulih dan syukur ke saat ini, saya terus berjuang, malah menjadi sukarelawan membantu wanita lain memperoleh semangat untuk tidak menyerah kalah.

“Susulan prosedur itu, saya melalui 25 kali radioterapi dan enam kemoterapi. Tidak hanya perubahan perubatan, gaya hidup berubah dan mula aktif aktiviti sihat, beriadah, pemakanan sihat dan dikelilingi kumpulan sokongan daripada pesakit,” katanya.

Setiap wanita perlu sedar kepentingan pemeriksaan payudara, pencegahan awal, faktor latar belakang dan mengawal diri daripada tidak dipengaruhi stres berlebihan.

“Kanser payudara boleh berlaku pada sesiapa saja tidak kira latar belakang dan usia, sungguhpun individu itu menjalani gaya hidup sihat berikutan faktor utama keturunan dan tekanan.

“Dengan pengalaman saya pernah menjadi pesakit, saya sedia berkongsi pengetahuan, memberi sokongan kepada wanita lain berusaha melawan kanser dan berkongsi maklumat mengenai bantuan bagi mengurangkan beban penyakit paling ditakuti itu.

Berita Harian X