Jumaat, 26 Julai 2019 | 10:42am
SYARADEEBA Khamarulzaman ketika beraksi di gelanggang gusti.

Gadis gusti sasar juara dunia

KUALA LUMPUR: Di sebalik seraut wajah lembut, figura Syaradeeba Khamarulzaman, 19, lengkap berhijab menongkah arus menjadi wanita pertama di dunia beraksi di gelanggang sukan gusti dengan penampilan begitu.

Penampilan itu turut menggambarkan tiada garis halangan menceburi apa sahaja bidang tanpa mengenepikan sisi femininya dengan menutup aurat.

Apatah lagi beliau terbabit dalam sukan gusti yang lasak sebagai kerjaya jarang diceburi golongan wanita.

Lantas beliau yang berjinak-jinak dalam sukan gusti sejak berusia 16 tahun berhasrat impian bergelar juara gusti wanita dunia bukan sekadar angan-angan kosong.

Syaradeeba yang turut dikenali sebagai Nor 'Phoenix' Diana, kini sudah membuktikan kepada masyarakat kebolehannya apabila memenangi Malaysia Pro Wrestling-The Wrestleconi, baru-baru ini.

Selepas kejayaan itu beliau yang juga ahli Persatuan Gusti Malaysia (MYPW) di Puchong, Selangor sedang berlatih bertanding dengan ahli gusti wanita Filipina, Lucky Luchadonna, di Manila, pada 27 Julai ini anjuran Manila Wrestling Federation.

“Saya berhasrat mahu menjadikan gusti sebagai kerjaya tetap tetapi memerlukan masa yang agak panjang untuk membina kerjaya seperti ini.

“Biasanya ahli gusti wanita memerlukan sehingga 10 tahun untuk menjadi profesional dan dikenali. Tetapi saya sasarkan lima tahun untuk membina nama,” katanya di Studio NSTP, baru-baru ini.


NOR 'Phoenix' Diana bersama jurulatihnya Ayez Shaukat Fodseka. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, anak keempat daripada lima beradik ini berkata, beliau perlu membahagikan masa sebagai pembantu klinik di sebuah hospital swasta dan menjalani latihan dua kali seminggu untuk membina kerjaya sebagai ahli gusti terkemuka.

“Saya meminati kerjaya ini sejak usia 14 tahun dan gemar bermain permainan video gusti bersama adik lelaki bongsu.

“Sehingga satu saat terbit dalam hati untuk membina kerjaya sebagai ahli gusti profesional wanita negara. Selepas itu saya mula merancang karakter sebagai ‘phoenix’.

“Phoenix ini simbolik kepada fizikal kecil tetapi keupayaan ketika bertarung sukar dijangka dengan misi sentiasa mahu ‘menang’.

“Sebenarnya karakter phoenix sangat berbeza dengan saya agak pemalu. Tetapi di gelanggang saya pasti bertukar karakter menjadi tangkas, bersemangat dan berani,” katanya.

Bakatnya dicungkil jurulatih profesional gusti, Ayez Shaukat Fonseka, dengan ketinggian 1.55 meter dan berat 43 kilogram, Syaradeeba berkata, memilih terbabit dalam bidang lasak dengan identiti berhijab menyebabkan beliau menerima kecaman serta cemuhan daripada netizen tetapi ia bukan halangan meneruskan misi menjadi juara gusti wanita dunia.

“Saya tidak melihat saya sebagai wanita berhijab yang tersalah percaturan dalam kerjaya ini. Ramai wanita yang berhijab dan kekal berada dalam sukan lasak.

“Mungkin kerana sebelum ini saya berlawan dengan memakai topeng dan ramai tidak tahu saya berhijab, maka timbul persepsi negatif itu secara tiba-tiba. Namun, di sebalik kecaman itu, masih ada ramai peminat memberi sokongan kepada kerjaya ini.


NOR 'Phoenix' Diana bersama jurulatihnya Ayez Shaukat Fodseka. - Foto Rohanis Shukri

Berkongsi pengalaman, beliau pernah berlawan dengan lima ahli gusti lelaki.

“Ia memang satu kejutan buat penonton yang menyaksikan MYPW: Fightback di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada Mac lalu.

“Saya memang gugup terutama ketika pertandingan mahu bermula tetapi rasa itu dapat di atasi. Ia satu perlawanan yang agak sukar tetapi di atasi dengan baik. Lagipun saya sudah biasa menjalani latihan bersama ahli gusti lelaki,” katanya.

Wanita kecil molek ini turut memiliki beberapa kemahiran dalam sukan gusti termasuk melakukan ‘cross body’ dan ‘flying high’ yang begitu mengujakan.

“Untuk menjadi ahli gusti, wanita perlu minat dan kuat dari segi mental serta fizikal. Saya pernah mengalami kecederaan di bahagian belakang badan dan ia memakan masa lebih sebulan untuk pulih tetapi semangat saya tidak pernah luntur untuk berada dalam bidang ini.

“Kejadian itu membuatkan saya menangis kerana terlalu bimbang tidak berpeluang menyertai acara ini lagi tetapi rezeki saya masih ada di sini,” katanya.

Beliau berharap ramai wanita menceburi bidang ini dan tidak perlu bimbang keselamatan diri kerana ada peraturan pertandingan itu.

“Yang penting tahu buat pukulan di bahagian selamat seperti di dada, peha dan belakang,” katanya yang menasihatkan perlu amalkan diet seimbang.

Jurulatihnya mahu beliau naikkan berat sehingga 53 kg dan kini dalam proses ke arah menambahkan berat badan, selain perlu cukup tidur.

Beliau berkata, jika sakit akibat dihempap atau dibaling lawan apa yang perlu dilakukan adalah dengan berehat dan makanan berkhasiat untuk pemulihan.

“Setakat ini, saya tidak makan telur yang banyak seperti ahli bina badan lakukan. Saya ada cara tersendiri mengekalkan tenaga dan kekuatan emosi dan fizikal,” katanya.

948 dibaca
Berita Harian X