Rabu, 24 Julai 2019 | 10:54am
GALAS tugas mencabar demi keselamatan pengguna. Foto Eizairi Shamsudin

Petaruh nyawa pastikan lif lancar

Kuala Lumpur: Terdedah pelbagai risiko kemalangan, ruang kerja di tempat tinggi dan terkurung ketika memeriksa tahap keselamatan lif antara cabaran tugas perlu dilalui wanita gigih ini.

Saidahton Kamarudin, 33, satu-satunya Pegawai Pemeriksa Kilang dan Jentera Seksyen Statutori Wanita, di Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan, di sini, diberi amanah menggalas tugas mencabar ini.

Beliau yang sudah dua tahun menceburi bidang itu sanggup bertaruh nyawa bagi memastikan operasi lif di bangunan itu dalam keadaan selamat dan lancar.

Anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu berkata, langkah keselamatan penting, khususnya ketika berada di dalam lubang lif dan di atas motor dengan ketinggian antara 15 meter hingga 120 meter.

Beliau berkata, tugas itu memerlukan komitmen tinggi, selain mematuhi prosedur keselamatan bagi mengelak risiko kemalangan membabitkan kerja di tempat tinggi, ruang terkurung dan bekalan oksigen terhad.


KERJAYA jarang diceburi wanita

“Antara situasi cemas pernah dihadapi, apabila lif hilang kawalan melalui peranti kawalan di dalam lif. Lebih membimbangkan jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Kami pula tidak dapat menghubungi juruteknik di bahagian luar lif untuk mendapat bantuan disebabkan tiada liputan telekomunikasi.

“Insiden ini pernah saya lalui dan terpaksa menunggu hampir 20 minit dengan keadaan ruang yang sempit, panas serta kurang oksigen.

“Saya kemudian mengambil keputusan melompat keluar dari ruang sempit bukaan anggaran satu per empat daripada pintu lantaran lif,” katanya kepada BH, di sini, baru-baru ini.

Ibu kepada dua anak ini turut menceritakan pengalaman sebelum menceburi JKKP, beliau bekerja sebagai pembangun sistem komputer yang pengalamannya jauh berbeza berbanding pemeriksa kilang dan jentera khususnya lif.

“Selepas tujuh tahun dalam bidang komputer, Alhamdulillah, ada rezeki dengan JKKP selepas menunggu jawapan hampir dua tahun daripada tarikh permohonan di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

“Walaupun berbeza bidang, saya mendapat sokongan suami dan keluarga untuk berusaha belajar apa yang perlu dilakukan sebagai pemeriksa kilang dan jentera khususnya lif.

“Saya turut dibantu rakan sejawat, selain sentiasa merujuk buku Akta Kilang Dan Jentera 1967, Akta Keselamatan Kesihatan Pekerjaan 1994 selain menghadiri kursus kompetensi bagi setiap pegawai,” katanya.


SAIDAHTON sedia bertaruh nyawa penuhi tanggungjawab

Tambahnya, ramai yang tidak tahu, sekiranya terdapat sebarang tanda jentera tidak selamat digunakan sebagai contoh tali pendawai utama berkarat atau peranti keselamatan rosak atau gagal berfungsi.

Menyedari amaran awal itu, beliau berkata, notis pembaikan atau larangan bertempoh atau larangan serta-merta menggunakan jentera dikeluarkan dan kerja pembaikan perlu dipatuhi pihak pemilik lif.

Katanya, ini bagi memastikan lif atau jentera berkenaan dapat beroperasi dengan selamat. Bagaimanapun, agak mencabar untuk mengeluarkan notis arahan larangan serta-merta iaitu menghentikan operasi lif di premis kediaman.

“Notis berkenaan akan menyusahkan pengguna yang terpaksa naik turun tangga sehinggalah dibenarkan untuk beroperasi semula.

“Sekiranya keadaan memaksa pihak pemilik perlu akur arahan dan segera melakukan kerja pembaikan,” katanya.

Dalam pada itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini berkata, antara cabaran lain bekerja di dalam dunia majoriti dikuasai lelaki adalah ketika memberi arahan di lokasi kerja.

“Masih ada lelaki yang memandang rendah keupayaan wanita dalam bidang ini, contohnya mereka mempertikaikan arahan diberi.

“Tetapi saya mengambil itu sebagai cabaran tugas untuk bekerja lebih gigih dengan membuktikan gender bukan isu, tetapi pengalaman, ilmu, kepakaran serta keupayaan yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Nasihat saya kepada wanita yang berminat menceburi bidang ini, sekiranya diuji pelbagai cabaran, hati kena reda dan berlapang dada kerana Tuhan sudah aturkan jalan terbaik, selagi kita ikhlas berbakti,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, sasaran kerja tahunan pemeriksaan lif ditetapkan setahun adalah 1,000 unit, selain dia juga perlu memeriksa 140 unit tangga bergerak, 14 unit dandang stim, 15 unit bejana tidak berapi dan 12. kilang pada tempoh sama.

236 dibaca
Berita Harian X