Khamis, 13 Jun 2019 | 9:33am
Mohamad Shoki (dua dari kanan) memeriksa peralatan menyelam pegawai bomba wanita ketika latihan di Pulau Perhentian, Terengganu. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Sisih fobia, bantu mangsa lemas

JERTIH: Berdepan detik mencemaskan ketika kecil apabila hampir lemas mandi sungai meninggalkan mimpi ngeri kepada dua anggota bomba wanita ini, namun fobia berikutan tragedi itu perlu dibuang jauh demi memenuhi minat menyertai kerjaya lasak.

Nurul Basirah Mohd Saifuddin, 20, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota, di sini, mengakui memang fobia dan mengambil masa beberapa tahun untuk menghilangkan apabila beliau hampir lemas ketika mandi di sungai Hutan Lipur Sekayu, Hulu Terengganu, ketika zaman kanak-kanak.

Namun, beliau juga tidak mahu kisah lama kembali berulang dan membelenggu perasaannya.

Lantas, beliau nekad untuk bangkit melawan perasaan itu dengan memberanikan diri menyertai pasukan perintis Penyelamat Wanita Di Air (PWDA), bagi membantu kes lemas membabitkan mangsa wanita.

Nurul Basirah yang juga bekas atlet angkat berat Sukan Malaysia (SUKMA) berkata, pembabitan awalnya sebagai anggota bomba disebabkan minat mendalam dengan aktiviti lasak.

“Ketika pihak jabatan buka tawaran untuk pengambilan pasukan perintis PWDA, saya segera mendaftarkan nama.

“Saya cabar diri untuk masuk pasukan ini kerana tidak mahu terus dihantui ketakutan melakukan aktiviti air sepanjang hayat,” katanya ketika ditemui menyertai latihan Pengukuhan Peserta Penyelamat di Air Pegawai Wanita bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, di Pulau Perhentian, di sini, baru-baru ini.

Nurul Basirah berkata, kali pertama mengikuti latihan dalam air di kolam renang selama tiga hari masih rasa sedikit takut tetapi hasil bimbingan dan latihan terperinci daripada jurulatih, beliau semakin yakin untuk mengawal pernafasan dalam air.

“Daripada 17 pegawai bomba wanita dilatih bagi mengisi kekosongan 15 tempat dalam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) saya antara 11 yang terpilih mengikuti latihan tiga hari di Pulau Perhentian untuk mendapatkan lesen Open Water Level.

“Latihan berterusan itu berjaya menghilangkan perasaan fobia. Saya nekad meneruskan lagi latihan lanjutan dan memohon lesen berkaitan sebelum boleh menjadi instruktor serta terbabit membantu mangsa lemas di air,” katanya.

Rakannya, Akmal Idayu Mat Razik, 22, dari BBP Marang, berkata beliau juga pernah berdepan pengalaman menakutkan ditarik arus deras ketika mandi di sungai.


Akmal Idayu Mat Razik.

“Kejadian berlaku ketika saya masih di alam persekolahan apabila mandi bersama beberapa rakan ketika musim cuti sekolah.

“Seorang rakan saya hampir lemas dan cuba bergantung kepada saya. Tiba-tiba saya juga mengalami nasib sama mujur sempat diselamatkan oleh orang lain yang berada di situ,” katanya.

Akmal yang juga bekas atlet kayak dan pernah mendapat pingat emas pada SUKMA di Perlis berkata, beliau hanya mempunyai sedikit pengetahuan asas berenang.

“Selepas menyertai latihan asas untuk menyertai PPDA, lebih banyak ilmu menyelam di dasar air dipelajari termasuk membina rasa yakin diri berada dalam air,” katanya.

Pegawai Bomba, Suria Othman, 36, dari BBP Kuala Berang berkata, walaupun latihan masih di peringkat awal, beliau menaruh harapan satu hari nanti pasukan itu akan berdiri sebaris dengan pasukan lelaki ketika misi menyelamat.

“Kami bersyukur kerana berpeluang menjadi antara yang terawal dilatih untuk mengisi kekosongan 15 tempat dalam PPDA di Terengganu dan berharap lulus setiap ujian dengan cemerlang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah, berkata setakat ini 57 anggota PPDA seluruh negeri ditempatkan di empat BBP, iaitu Kuala Terengganu, Chukai, Kuala Berang dan Jerteh.

“Terengganu antara negeri yang mencatatkan kes kematian tertinggi disebabkan kes lemas dan menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

“Disebabkan itu kita perlu menambah anggota PPDA yang mahir untuk memantapkan pasukan ketika operasi dilakukan,” katanya.

Katanya, setakat ini 580 anggota dan pegawai bomba seluruh Terengganu dengan 26 daripadanya adalah wanita.

322 dibaca
Berita Harian X