Rabu, 29 Mei 2019 | 11:13am
SITI Raya Bachok bersama anak perempuannya, Umi Kalsom Md Salleh ketika ditemui di kedainya. - Foto BERNAMA

Usahawan kuih bangkit ingin bantu wanita lain berjaya

BATU PAHAT: Bermula secara kecil-kecilan untuk membantu suami, Siti Raya Bachok, 57, kini mampu tersenyum lega atas kejayaan perniagaan kuih bangkit (bangkit) yang diusahakannya sejak lebih 25 tahun lalu.

Namun, itu tidak cukup baginya. Beliau ingin membantu masyarakat kampungnya, bukan sekadar memberi peluang pekerjaan malah mahu melihat pengusaha kuih lain di situ turut berjaya.

Kini, selain menjual kuih bangkitnya, beliau turut memberi peluang kepada pengusaha pelbagai kuih dan biskut memasarkan produk mereka di ruang jualan yang dibina di bahagian hadapan rumahnya di Kampung Bagan Laut, Rengit, kira-kira 35 kilometer dari Batu Pahat.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat menerima produk-produk itu dalam jumlah yang besar memandangkan ruangnya terhad - agak sempit dan kurang selesa. Kawasan meletak kenderaan juga terhad, lantaran menyukarkan pembeli dan peniaga berurusan terutamanya untuk mengambil stok kuih-muih dalam jumlah yang banyak.

Berhasrat memperbesarkan perniagaannya, Siti Raya bercadang membuka pusat jualan yang lebih luas di lokasi baharu untuk dijadikan tempat pemasaran produk bangkitnya serta pelbagai kuih dan biskut.

Menurut beliau, Jabatan Pertanian Malaysia bersetuju untuk membantu tetapi beliau perlu mencari tapak baharu yang lebih luas.

“Saya telah mendapatkan sebidang tanah berdekatan pekan Rengit dan akan berbincang dengan Jabatan Pertanian untuk langkah seterusnya. Bangunan yang dibina itu nanti bukan sahaja menjadi tempat pemasaran produk bangkit malah pelbagai kuih dan biskut keluaran pengusaha-pengusaha di sekitar Rengit, Batu Pahat mahupun Johor Bahru.

“Impian saya adalah supaya kuih-muih dan biskut yang biasanya dijual untuk menyambut Aidilfitri boleh diperolehi pada bila-bila masa sepanjang tahun. Jadi pendapatan pengusaha kuih dan biskut tidak hanya pada musim-musim tertentu sahaja,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Mengimbau permulaan perniagaannya, kuih tradisional bangkit santan menjadi titik tolak pembuka pintu rezeki bagi ibu kepada enam anak itu sejak mula mengusahakan kuih raya di rumahnya itu.

Bagi meningkatkan jualan, beliau mempelbagaikan kuih bangkit dengan menambah beberapa perisa seperti bangkit gula melaka, bangkit pandan dan kacang hijau, sekali gus memenuhi pelbagai selera pelanggan setianya.

Paling mendapat permintaan adalah bangkit cheese - kuih bangkit diperisakan dengan keju - yang diperkenalkan lapan tahun lalu sekali gus melonjakkan jualan bangkitnya setiap tahun.

Ratusan ribu balang kuih bangkit perlu disediakan untuk memenuhi tempahan dari seluruh negara sempena menyambut Aidilfitri.

Kejayaan Siti Raya mengembangkan produk desa itu telah merancakkan ekonomi penduduk setempat apabila semakin ramai wanita dan suri rumah di kampung berkenaan turut mengusahakan kuih bangkit dan pelbagai jenis biskut.

Tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak, Siti Raya mengusahakan perniagaan dengan modal dan kudratnya sendiri.

Jika dahulu beliau melakukan semua kerja-kerja daripada proses awal hingga membakar dan memasarkan kuih bangkitnya, kini beliau mampu menggajikan pekerja bagi membantu menyiapkan tempahan daripada lebih 500 ejen di seluruh negara.

Seawal Januari, bengkel yang terletak di hadapan rumahnya mula beroperasi bagi menyiapkan tempahan yang diterima.

“Tahun ini, saya mengambil kira-kira 20 pekerja terdiri daripada belia di sekitar Rengit dan saudara-mara yang tinggal berdekatan. Kami mulakan operasi membuat kuih sejak Januari dan akan berhenti rehat pada minggu terakhir Ramadan sebelum beroperasi semula dua minggu selepas Aidilfitri,” katanya.


SEBAHAGIAN pekerja menyiapkan tempahan bangkit cheese yang diterima sepanjang Ramadan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini. - Foto BERNAMA

Apabila tempahan kuih bangkit terlalu banyak, beliau akan meminta bantuan pengusaha lain di kampungnya untuk menampung keperluan stok.

“Dengan cara ini saya dapat membantu memasarkan produk masyarakat kampung, sekali gus meningkatkan jualan dan pendapatan mereka.

“Saya perlu minta bantuan mereka (pengusaha lain) sebab selalu tak cukup tangan untuk siapkan tempahan. Selain bangkit cheese yang mendapat banyak permintaan, bangkit santan dan gula melaka juga sangat laris,” katanya.

Berkongsi kisah menjual kuih bangkit, Siti Raya berkata kesempitan hidup membesarkan enam anak ketika itu membuatkan beliau nekad menghasilkan kuih raya bagi menampung keperluan keluarga.

Ia juga bagi meringankan tanggungjawab suaminya, Md Saleh Lidek, 67 yang ketika itu mencari rezeki dengan bekerja kampung.

Resepi kuih zaman-berzaman itu diperolehi melalui seorang jirannya di mana beliau mencuba dan mengolahnya beberapa kali sehingga mendapat kualiti kuih bangkit yang diinginkan terutama dari segi rasa dan teksturnya.

“Saya hendakkan kuih bangkit yang gebu, rangup, rasa santan yang cukup dan apabila makan, cair di dalam mulut. Saya sentiasa jaga kualitinya terutama santan yang digunakan mestilah kelapa kampung untuk mendapatkan kuih bangkit yang sedap

“Alhamdulillah kuih bangkit yang dihasilkan diterima dan disukai ramai, malah ramai pelanggan setia menempah setiap kali hari raya,” katanya.

Pada tahun pertama, beliau menghasilkan 100 balang yang dijual kepada jiran-jiran dan kenalan di sekitar Rengit. Setiap tahun berikutnya, jumlah itu bertambah hingga mencapai ribuan balang kerana mendapat tempahan daripada pembekal-pembekal kuih dan biskut raya.

Tempahan semakin bertambah sejak beliau memperkenalkan bangkit cheese yang kini semakin meluas permintaannya bukan sahaja di semenanjung Malaysia tetapi juga Sabah dan Sarawak.

“Bangkit cheese telah melonjakkan jualan terutama pada musim hari raya. Mungkin sesuai dengan selera semasa di mana banyak resepi makanan menggunakan keju.

“Saya tidak mempromosi di media sosial sebab tidak berapa mahir. Biasanya pelanggan yang membuat promosi. Apabila sudah merasa kuih bangkit kami, mereka terus menjadi ejen untuk memasarkannya,” kata Siti Raya yang kini dibantu salah seorang anak perempuannya, Umi Kalsom bagi melancarkan operasi jualan. Kuih bangkit dijual sepanjang tahun, tidak hanya pada musim perayaan.

Sementara itu, pengusaha kuih makmur, Shazana Rahmat, 33, memuji usaha Siti Raya kerana membantu memasarkan pelbagai kuih dan biskut daripada pengusaha lain, termasuk kuih makmur yang dihasilkannya.

Beliau meneruskan usaha neneknya, Mardiah Marzuki, 90 yang menjual kuih makmur sejak lebih 20 tahun lalu.

“Dulu nenek ambil tempahan untuk hari raya sahaja tapi sejak empat tahun lalu saya buat tanpa menunggu musim dengan menghantar ke kedai Mak Iti (panggilan untuk Siti Raya).

“Mak Iti banyak tolong saya dan pada masa sama saya bantu promosikan kuih bangkit Mak Iti,” katanya yang tinggal di Taman Bukit Perdana, kira-kira 3.5 kilometer dari Batu Pahat.

Shazana mula belajar membuat kuih makmur daripada neneknya sejak berumur 16 tahun dan masih mengekalkan cara tradisi pembuatan kuih itu.

“Semuanya dibuat secara manual tanpa menggunakan acuan. Inti kacang pula tidak boleh terlalu hancur untuk mengekalkan kualitinya,” katanya yang berharap kuih makmurnya akan berjaya di masa hadapan setanding kejayaan kuih bangkit Siti Raya. - BERNAMA

Berita Harian X