Rabu, 22 Mei 2019 | 11:08am
AZREEN Soraya dan Fazley pada majlis pelancaran koleksi pakaian raya Three Little Ahmads di Kuala Lumpur. - Foto Rohanis Shukri

Ibu tunggal cari rezeki jadi tukang jahit

KUALA LUMPUR: Rezeki Ramadan memberi peluang semua golongan termasuk ibu tunggal dikategorikan dalam kelompok asnaf yang berkemahiran dalam bidang jahitan untuk bekerja sebagai tukang jahit bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Justeru, pengasas jenama Three Little Ahmads (3LA), Datin Azreen Soraya Abdul Aziz, menggunakan khidmat 10 ibu tunggal berkemahiran diambil bekerja sebagai tukang jahit bagi jenama berkenaan.

Azreen Soraya berkata, ibu tunggal berkenaan mampu menghasilkan jahitan kemas dan dapat menyiapkan pada kuantiti diperlukan mengikut jadual.

Katanya, beliau memilih tukang jahit dalam kalangan asnaf memandangkan golongan ini begitu memerlukan dan memberi peluang mereka menceburi bidang perniagaan lebih berdaya saing.

Sebahagian mereka adalah wanita yang ditinggalkan suami dan terpaksa bekerja keras menampung kos sara hidup bersama anak.

“Ibu tunggal itu hidup serba kekurangan dan ada yang terpaksa berkongsi sepaket mi segera untuk dimakan bersama empat orang anak untuk mengisi perut.

“Bukan tidak ada kudrat bekerja tetapi memandangkan ada yang mempunyai anak ramai dan masih kecil. Segelintir mereka tidak mampu menghantar anak ke rumah pengasuh menyebabkan kesukaran untuk keluar mencari rezeki,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran koleksi pakaian raya 3LA, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, pendekatan menggunakan tukang jahit tempatan ibu tunggal itu antara inisiatif membantu meningkatkan kualiti hidup golongan sasar dan menggalakkan mereka mengoptimumkan kemahiran menjahit.

“Saya tidak mahu mereka mempersia-siakan kemahiran yang ada dan bergantung atas ehsan orang ramai untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Beliau berkata, tukang jahit tidak terikat kontrak dengan 3LA, bayaran mengikut jumlah tempahan yang dihasilkan.

“Jika mereka hendak mendapatkan duit lebih, boleh menjahit lebih banyak pakaian. Pihak 3LA tidak berkira soal keuntungan malah mahu berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan,” katanya.

Mengulas perkembangan berkaitan, Azreen Soraya berkata, busana lebaran adalah koleksi pakaian menjimatkan menerusi konsep rekaan boleh balik (reversible) yang disuaipadan dengan gaya berbeza untuk kanak-kanak dan dewasa.

Katanya, rekaan inovasi dengan elemen butang dalam setiap persalinan sisi boleh balik yang praktikal. Rekaan yang dihasilkan boleh dipakai antara dua hingga enam cara.

“Busana lebaran reversible boleh dipakai sama ada luar dan dalam dengan corak berlainan. Fabrik berasaskan kapas yang selesa dan lembut sesuai dengan cuaca panas.

“Begitu juga dengan pakaian dewasa, bergantung kepada rekaan, busana boleh dipelbagaikan gaya enam penampilan berbeza,” katanya.

Busana lebaran 3LA adalah inspirasi nama tiga anak lelaki bersama suami yang juga selebriti, Datuk Fazley Yaakob iaitu Ahmad Fariedz, 10, Ahmad Fieradz, 8 dan Ahmad Fierudz, 7.

Koleksi eksklusif ini boleh didapati di beberapa pusat beli-belah utama di di ibu kota.

Berita Harian X