Ahad, 19 Mei 2019 | 9:30am
Projek Lemari Kasih menyediakan makanan percuma untuk kakitangan dan waris pesakit Hospital Besut di Terengganu.

Makan berbuka, sahur percuma disediakan jururawat

BESUT: Seawal jam 12 tengah malam, penjaga pesakit dan kakitangan Hospital Besut, Terengganu, boleh mengambil makanan bersahur yang disediakan jururawat, Hasnim Emilia Abdul Ghani, 44, dengan di bantu empat anaknya sejak awal Ramadan lalu.

Jam 6.30 petang pula, makanan yang dibungkus kemas hasil air tangan Hasnim Emilia sudah tersedia untuk diambil oleh mereka yang memerlukan terutama golongan musafir untuk berbuka puasa.

Sukarelawan Projek Lemari Kasih Hospital Besut, Terengganu ini, diamanahkan pengurusan hospital berkenaan untuk memasak hidangan berbuka dan sahur kepada mereka yang memerlukan.

Beliau memasak hidangan sahur bersama suaminya, Kamarulazman Idris bersama empat anak perempuannya iaitu, Nor Athirah, 23; Ani Adielah, 23; Nurul Adila, 21 dan Alisa Fatin, 14, yang menyumbang tenaga secara sukarela.

Inisiatif itu adalah kali pertama diadakan oleh hospital kerajaan di negara ini, bertujuan meringankan beban keluarga pesakit, musafir atau jururawat, untuk keluar membeli makanan berbuka atau bersahur sempena Ramadan ini.


Jururawat, Hasnim Emilia.

Pada masa sama, ia dilihat sedikit sebanyak membantu meringankan beban ditanggung ahli keluarga pesakit, yang semestinya memerlukan perbelanjaan lebih untuk kos makan dan minum kerana perlu menjaga pesakit.

Hasnim Emilia berkata, hospital berkenaan agak jauh dari gerai jualan makanan, menyukarkan penjaga pesakit mahupun kakitangan seperti jururawat, untuk mendapatkan bekalan makanan terutama ketika bersahur.

Katanya, hospital itu adalah kedua paling sesak selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah Hospital, Kuala Terengganu.

“Ia juga agak jauh dari kedai makanan dan sukar kakitangan seperti jururawat untuk keluar membeli makanan, kerana terikat dengan tugasan dan peranan mereka menjaga pesakit.

“Jadi timbul idea daripada Pengarah Hospital, Dr Hariza Hussin untuk menyediakan sumbangan makanan kepada musafir, penjaga pesakit dan jururawat di hospital ini,” katanya.

Beliau berkata, di satu sudut ruang legar hospital, diletakkan sebuah almari disediakan untuk meletakkan makanan pek berisi nasi, ayam atau ikan, sayur, buah dan kurma, untuk diambil golongan memerlukan atau diisi mereka yang mahu menyumbang sempena Ramadan ini.

Antara menu yang sudah dimasak untuk kerja kebajikan itu adalah ayam goreng, sayur, tom yam, telur dadar dan beberapa menu ringkas seperti ayam masak kicap.

Sepanjang tempoh berpuasa ini, setiap hari menu berbeza disediakan, supaya penerima sumbangan tidak bosan dan gembira merasai pemberian makanan yang disumbangkan orang ramai.

“Memasak adalah kemahiran dan hobi saya. Apabila diamanahkan memasak walaupun tanpa upah, saya gembira untuk melakukannya.

“Apatah lagi suami dan anak sanggup membantu di dapur, dari tugasan menyediakan bahan sehingga kepada pembungkusan” katanya.

Beliau yang juga Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kecemasan hospital berkenaan berkata, tanggungjawab itu dipikul atas kerelaan sendiri dan jika ada kecemasan atau tidak sihat, tugasan itu akan dipikul dua lagi kakitangan hospital berkenaan.

Setakat ini, hasil sumbangan individu persendirian termasuk rakan terdekat, dia boleh menyediakan 50 sehingga 70 pek makanan bungkus dan berharap lebih ramai yang sudi menyumbang.

“Mereka boleh menyumbang makanan seperti kuih, air mineral, kurma atau buah terus ke almari sumbangan.

“Saya amat berharap lebih banyak kutipan diperoleh bulan ini, supaya dapat menyediakan hidangan secara konsisten,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif pemberian makanan percuma itu kepada mereka yang memerlukan, diharapkan dapat diperluaskan bagi memberi sedikit kemudahan dan keceriaan kepada golongan memerlukan.

900 dibaca
Berita Harian X