Ahad, 12 Mei 2019 | 5:18pm
Pelbagai jenis terumbu karang yang dijual peniaga wanita dari Pulau Nunuyan, di pasar tamu mingguan, di Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Terumbu karang mati jadi sumber pendapatan

SANDAKAN: Kehadiran pelbagai bentuk terumbu karang yang dijual di pasar tamu minggu, di sini menjadi tarikan orang ramai untuk dijadikan hiasan akuarium atau kolam ikan.

Ia sekali gus menjadi sumber pendapatan bagi golongan wanita, khususnya suri rumah dari Pulau Nunuyan, di sini.

Berniaga sejak setahun lalu, terumbu karang dikutip dari kawasan pantai Pulau Nunuyan, kira-kira 20 batu nautika dari sini dijual oleh Ubainah Albani, 47, pada harga serendah RM5 hingga RM20.

Ubainah berkata, terumbu karang itu dijual sebagai perhiasan untuk akuarium atau kolam dengan kebanyakan pembeli datang dari sekitar daerah ini.


Ubainah menjual terumbu karang sejak setahun lalu di pasar tamu mingguan, Sandakan. - NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Katanya, antara jenis terumbu dijualnya dikenali `cakar ayam’ dan `batu bunga’, dengan kebanyakannya dikutip setiap hari ketika air surut sebelum dikumpulkan dan dibawa ke pasar tamu itu menggunakan bot penambang pada setiap Ahad.

“Bukan saja terumbu, kami juga mengutip kulit kerang, siput dan akar kayu untuk dijadikan perhiasan. Maknanya, apa saja yang dilihat menarik dan boleh dijadikan perhiasan, kami akan kutip untuk dijual di pasar tamu.

“Hasil jualan sebenarnya tidak menentu, bergantung kepada orang yang berminat dengan perhiasan, namun cukup untuk menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Ubainah berkata, adakalanya ada pemilik kolam akan menempah kesemua terumbu, kulit kerang, siput dan akar kayu dijual, sekali gus membolehkannya memperolehi pendapatan antara RM50 hingga RM100.

“Kami menyedari larangan merosakkan terumbu karang dan cuma mengutip terumbu karang yang sudah mati di kawasan pinggir pantai.

661 dibaca
Berita Harian X