Ahad, 12 Mei 2019 | 11:29am
Gambar hiasan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Pesakit selesa luah perasaan kepada jururawat

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar menjaga kebajikan, memberi ubat dan mandikan pesakit, malah jururawat juga bertindak sebagai kaunselor serta mendengar keluhan mereka sepanjang menjalani rawatan.

Pengurus Jururawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Nuur Furqaan Ishak, 32, berkata ada pesakit selesa meluahkan perasaan kepada jururawat berbanding ahli keluarga sendiri.

Beliau berkata, walaupun sibuk menjalankan tugas, mereka juga perlu sekurang-kurangnya meluangkan sedikit masa untuk mendengar sebarang masalah pesakit.

“Kami perlu memastikan pesakit makan dan ambil ubat tepat mengikut waktu seperti diarahkan doktor. Demi memastikan mereka dalam keadaan baik, kita berkorban masa ada kalanya tidak sempat makan, namun perlu menjaga kesihatan untuk kelangsungan hidup,” katanya.

Mengulas kesan sering dimarah doktor ketika menjalankan tugas, beliau yang juga penerima Anugerah Kecemerlangan Jururawat UMSC, berkata keadaan itu juga antara punca tekanan selain berhadapan kerenah pesakit dan ahli keluarga mereka.

Bagi Jururawat, Suhana Nazarudin, 34, pula berkata, bertugas mengikut giliran waktu kerja juga agak mencabar dan perlu bijak membahagikan masa antara tugas serta tiga anak yang semakin membesar kerana mereka memerlukan perhatian secukupnya.

“Saya perlu bijak mengurus masa supaya dapat memenuhi semua tanggungjawab. Gagal membahagikan masa boleh menyebabkan tekanan dan tumpuan terganggu,” katanya.

Pengurus Jururawat Hospital Pantai Kuala Lumpur, Noor Aishah Yusoff, berkata bagi memperkasakan kerjaya ini semua jururawat terutama yang berpengalaman seharusnya memberi bimbingan kepada kakitangan yang baharu dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata, jururawat muda perlukan bimbingan terbaik kerana masing-masing masih belajar, tidak wajar jika setiap kesalahan ditujukan kepada mereka.

Sepanjang tempoh 15 tahun bertugas, pemerhatiannya mendapati kerjasama dalam kumpulan penting bagi membolehkan semua urusan berjalan lancar.

Jururawat Kanan, Hospital Pantai Batu Pahat, Sherine Long Qiu Lian, berkata profesion murni ini perlu dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Sejak kecil saya melihat penderitaan dilalui datuk ketika sakit. Kami mengharapkan jururawat memandangkan keluarga tidak berdaya menguruskan penjagaan rawatan.

“Tidak dinafikan jururawat banyak meringankan tugasan itu,” katanya yang menjadi satu-satunya jururawat khusus pesakit diabetes di hospital berkenaan.

486 dibaca
Berita Harian X