Ahad, 12 Mei 2019 | 11:22am

Jururawat kerjaya mencabar

PETALING JAYA: Bidang kejururawatan antara kerjaya mencabar dan banyak memberi tekanan kepada golongan itu, namun ia perlu dilalui bagi memastikan amanah digalas dengan penuh bertanggungjawab.

Berhadapan tugas menjaga pesakit, selain melayan kerenah ahli keluarga antara dugaan yang paling mencabar perlu dihadapi oleh jururawat demi keselesaan golongan terbabit.

Paparan umum menerusi media sosial bagaimana tugas mereka dipertikaikan ahli keluarga pesakit sudah cukup mengganggu emosi.

Pengarah Kejururawatan Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya (UMSC), Zurainawaty A Rahman, berkata tidak dinafikan bidang kejururawatan antara kerjaya paling sukar dan memberi tekanan hebat sepanjang menjalani tugas.

Beliau berkata, situasi itu tidak termasuk tindakan segelintir doktor yang suka memarahi jururawat di hadapan pesakit.

Katanya, keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana peranan kedua-dua mereka saling lengkap melengkapi bagi menjaga kesejahteraan pesakit.

“Bukan mudah berurusan dengan pesakit, selain tindakan ahli keluarga yang lebih menyulitkan hingga mengganggu kelancaran tugas kami.

“Lebih sukar, ahli keluarga mempertikaikan tugas kami dengan jumlah bayaran kos rawatan yang tinggi,” katanya ketika ditemui selepas meraikan hampir 300 jururawat UMSC sempena menyambut Hari Jururawat Antarabangsa 2019 di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif UMSC, Azhar Harun dan Pengarah Perubatannya, Prof Dr Vicknes Waran.

Hari Jururawat dirai pada 12 Mei setiap tahun. Tema tahun ini adalah Keseimbangan Minda, Tubuh dan Roh sebagai menghargai mereka yang terbabit dalam bidang kejururawatan.

Nurainawaty berkata, selain perlu bersedia bertugas 24 jam, antara aduan diterima ialah doktor sering menengking jururawat di hadapan pesakit.

Katanya, tugas yang mencabar ini membuatkan ramai jururawat baharu tidak sanggup meneruskan kerjaya masing-masing.

“Walaupun berada dalam keadaan tertekan, kami sering menasihatkan mereka supaya sentiasa memberi senyuman sepanjang tempoh bertugas,” katanya.

Mengulas perbandingan tekanan dan layanan antara jururawat hospital kerajaan dan swasta, Zurainawaty berkata, kedua-duanya mempunyai keadaan yang berbeza.

“Apabila pesakit mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi menampung kos rawatan, sudah pasti pesakit dan ahli keluarga mengharapkan layanan terbaik dan mahu cepat sembuh,” katanya.

4751 dibaca
Berita Harian X