Rabu, 8 Mei 2019 | 12:15pm

Korban kerjaya jurutera, pilih juruterbang ganti arwah adik

SEPANG: Demi memenuhi hajat bapa, seorang wanita sanggup meninggalkan kerjaya jurutera bagi meneruskan cita-cita arwah adik lelakinya sebagai juruterbang.

Mazliana Mat Ali, 38, kini berkhidmat di syarikat penerbangan Malindo Air menceritakan nahas jalan raya yang menimpa arwah, Mazli Arif pada jam 7 pagi, 7 Julai 2007 mengubah jalan hidup dirinya daripada jurutera di tapak binaan kepada juruterbang di awan biru.

Katanya, kehilangan arwah yang ketika itu menuntut di Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarga, terutama bapanya yang amat berharap anak lelaki tunggalnya itu akan menjadi juruterbang.

"Ketika menguruskan dokumen dan barangan arwah di akademi, pengetua MFA menawarkan saya peluang untuk meneruskan pengajian yang ditinggalkan arwah.

"Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi juruterbang tetapi saya tidak sampai hati melihat bapa terus bersedih dan hilang semangat sejak tragedi itu.

"Ibu bapa dan suami memberi sokongan penuh atas keputusan saya meneruskan perjuangan arwah sehinggalah saya berjaya menamatkan program berkenaan pada 2011," katanya ketika ditemui BH.

Babitkan keselamatan orang

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, walaupun tamat belajar pada 2011, beliau terpaksa berdepan kesukaran mendapat kerja kerana faktor ekonomi semasa.

"Sepanjang tempoh menunggu, saya menjalani kehidupan berkeluarga dengan membesarkan dua cahaya mata di samping meneruskan kerjaya sebagai jurutera. Namun, rezeki saya dalam bidang ini mula terbuka pada 2014 apabila dipanggil Malindo Air untuk mengisi jawatan.

"Selepas kali pertama melapor diri, saya sudah jatuh cinta dengan kerjaya ini yang menawarkan pengalaman melihat negara orang dan berdoa akan kekal sehingga cukup tempoh bersara," katanya.

Bercerita mengenai pengalaman kerjaya sebagai jurutera di tapak binaan dan juruterbang di udara, Mazliana berkata, persamaan kedua-dua bidang itu adalah segi masa, keselamatan dan nyawa orang lain.


Mazliana bersama rakan sekerja dalam kokpit pesawat. - Foto Rosela Ismail

"Sebagai jurutera, masa amat penting supaya projek disiapkan dalam tempoh ditetapkan serta keselamatan di tapak binaan penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Sebagai juruterbang, ketepatan masa penting kerana sebarang kelewatan akan menjejaskan operasi pasukan dan keselamatan amat penting bermula daripada sebelum enjin dihidupkan sehinggalah selamat mendarat.

"Bezanya, apabila berada di udara, kita rasa begitu kerdil sebagai hamba dan bergantung hidup hanya pada Allah. Setiap saat hati kita berdoa agar beratus-ratus nyawa dibawa ini akan selamat tiba ke destinasi dan berjumpa orang tersayang," katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini seterusnya menceritakan pengurusan masa yang betul adalah kunci kebahagiaan hidup yang dilaluinya sebagai isteri, ibu dan juruterbang.

"Saya diberi cuti dua hari seminggu untuk bersama keluarga dan saya pastikan ia waktu paling berkualiti untuk diingati anak-anak dan suami. Tiada yang mustahil dilakukan jika kita berusaha, ikhlas dan cekal," katanya.

INFO: Mazliana Mat Ali
Taraf pendidikan akhir : Ijazah Sarjana Muda Jurutera Awam dari UiTM.
Kerjaya pertama: Jurutera sivil di Bridgex Sdn Bhd, 2006
Tempat latihan: MFA, Melaka
Tahun latihan: 7 Januari 2008, hujung tahun 2009 cuti mengandung, Januari 2011 sambung belajar dan tamat pada 21 April 2011.
Penerbangan pertama: Langkawi
Kata-kata inspirasi: Umur bukan penghalang dalam mengejar cita-cita, yang penting usaha dan tawakal.

2235 dibaca
Apabila berada di udara, kita berasa begitu kerdil sebagai hamba dan bergantung hidup hanya kepada Allah. Setiap saat hati kita berdoa agar beratus-ratus nyawa yang dibawa akan selamat tiba ke destinasi dan berjumpa orang tersayang, Mazliana Mat Ali
Mazliana bersama rakan sekerja dalam kokpit pesawat. - Foto Rosela Ismail
Berita Harian X