Selasa, 7 Mei 2019 | 11:27am
SCHA bersama Awal dan Mohamed Faroz bergambar bersama penerima sumbangan pada program Sinar Ramadan Jakel di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aswadi Alias

Jakel penuhi impian insan istimewa

KUALA LUMPUR: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan pasti sukar untuk berjumpa artis kesayangan mereka secara bersendirian tanpa bantuan pihak lain berikutan kekurangan yang ada pada diri mereka.

Menyedari kesukaran dihadapi insan istimewa ini, Jakel Mall mengambil inisiatif membawa mereka bertemu dengan artis popular pada program tanggungjawab sosial (CSR) iaitu Sinar Ramadan Jakel berlangsung di sini baru-baru ini.

Kehadiran pasangan selebriti Scha Al Yahya, Awal Ashaari dan anak mereka Lara Alana pada program Sinar Ramadan Jakel itu adalah satu kejutan buat insan istimewa itu kerana pada awalnya, mereka hanya diberitahu akan menerima sumbangan baju raya dan duit raya.

Terpancar sinar kepuasan dan kebahagiaan pada wajah Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel saat melihat kegembiraan tetamu istimewanya, apabila mendapat tahu akan kehadiran keluarga selebriti itu.

Lebih menggembirakan mereka, Scha dan Awal bukan sahaja menyampaikan sumbangan daripada Jakel, sebaliknya melayan mereka bergambar, beramah mesra dan membantu memilih baju raya.

Anjur program setiap tahun

Mohamad Faroz berkata, setiap tahun Jakel menganjurkan program pemberian sumbangan untuk OKU penglihatan.

“Berbanding ibu tunggal atau orang miskin, ramai pihak sudi memberi sumbangan kepada mereka, sedangkan OKU penglihatan ini selalu dipinggirkan.


SCHA bersama Awal menyampaikan sumbangan duitraya kepada OKU, sambil diperhatikan Mohamed Faroz (kiri) di Jakel Mall Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Aswadi Alias

“Sebelum ini, Jakel hanya memberi sumbangan baju raya dan duit raya saja dan cara itu sudah sering dianjurkan. Kali ini, kita buat kelainan dengan membawa artis untuk bersama dengan mereka.

“Ini adalah cara untuk menggembirakan mereka dan saya dapat lihat kebahagiaan dan keseronokan pada tetamu istimewa ini apabila berpeluang berjumpa artis.

“Jakel berperanan membawa mereka bertemu dengan artis kegemaran mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan.

Ringankan beban penerima

Sinar Ramadan Jakel adalah program CSR bertujuan meringankan beban penerima bagi mereka memenuhi tuntutan ibadah sepanjang Ramadan dan seterusnya memberi sinar kepada mereka menjelang syawal.

Jakel berharap, sumbangan itu membantu golongan kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah puasa selain dapat menyambut Aidilfitri dengan suasana ceria.


Sebahagian OKU memilih baju raya pada program Sinar Ramadan Jakel, baru-baru ini. - Foto Aswadi Alias

Bagi Ahmad Rusydan Mohd Zahar, peluang bertemu Awal sesuatu yang mengujakan. Sebaik bersalam dia terus menyatakan hasrat bergambar sebagai kenangan bertemu artis kesayangannya.

“Awal adalah Idola saya sejak kecil lagi. Saya boleh nampak sikit sikit jadi saya dapat bayangkan bagaimana wajahnya. Terima kasih Jakel kerana memberi sumbangan dan membawa saya bertemu dengan artis kegemaran saya,” katanya yang mengikuti kursus anyaman rotan di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

Sementara itu, Aimi Hakimah Nor Azhar, sanggup menolak ajakan kakaknya untuk pulang kenduri di Ipoh Perak, sebaik MAB memaklumkan ada jemputan majlis penyampaian hadiah daripada Jakel.

“Saya hanya tahu ada penampilan artis pada majlis ini apabila tiba di sini saja. Saya memang menonton drama lakonan Scha bertajuk Awan Dania. Masa tu saya masih melihat.

“Saya mula tidak dapat melihat ketika Tingkatan Tiga dan sekarang saya hanya nampak 10 peratus saja. Seronok kerana bukan saja dapat sumbangan, tetapi Scha sudi memilihkan baju untuk saya,” katanya yang kini mengikuti kursus urutan refleksologi.

160 dibaca
Berita Harian X