Isnin, 6 Mei 2019 | 11:20am
MASLINA menunjukkan ikan pekasam keluarannya yang siap dibungkus untuk dijual ketika ditemui di Rawang, baru-baru ini.

Pengusaha ikan pekasam Cik Na, mohon bantuan jala

RAWANG: Suatu ketika dulu, Maslina Mohd Sabri yang masih dalam pantang terpaksa turun ke sungai untuk menjala ikan demi memastikan tujuh anaknya tidak kelaparan. Hasil ikan yang diperoleh seperti talapia, lampam dan sepat digoreng dan selebihnya dibuat pekasam dijamah Maslina dan anak-anaknya yang masih bersekolah dan kecil.

Berkat keikhlasannya mencari rezeki selepas ditinggalkan suami tanpa khabar berita, ikan pekasamnya itu mula dibeli oleh jiran tetangga yang akhirnya menjadi punca pendapatan Maslina hari ini.

Seminggu sekali, sekurang-kurangnya dia memperoleh RM100 hasil jualan ikan pekasam untuk menampung keperluan keluarganya itu.

“Selepas suami menghilang, hidup saya semakin sempit kerana tiada pekerjaan sehingga terpaksa menyerahkan anak ke enam dan bongsu yang ketika itu dilahirkan pada tahun 2016 diberikan kepada orang lain.

“Pernah sekali terpaksa membawa anak kelima ke hospital akibat seharian tidak makan sehingga lembik tetapi ketika itu pesakit terlalu ramai. Ketika itu dalam kocek hanya ada RM2 saja, jadi saya belikan roti dan air kosong dan tidak jadi berjumpa doktor,” katanya.

Maslina yang ketika itu tinggal bersama ibunya di sini, bersyukur kerana menerima bantuan Pusat Zakat Selangor (PZS) dan diberikan beras selain duit belanja bernilai RM500.

Bagaimanapun, usaha menghasilkan ikan pekasam masih diteruskan sehingga dipanggil oleh PZS untuk menjalani kursus perniagaan dan pemasaran selama tiga hari dua malam di Klang pada Disember 2017.

Turut menerima bantuan peti sejuk beku dan mesin pembungkus plastik bernilai RM28,000 bagi mengembangkan perniagaan ikan pekasam yang diusahakannya selain modal berjumlah RM3,000.Harap bantuan jala

“Ketika ditanya apa yang diperlukan untuk kembangkan perniagaan, saya hanya menjawab inginkan jala kerana selama ini terpaksa meminjam jala daripada orang lain. Permintaan itu ditertawakan peserta lain, sehingga hari ini menjadi bahan gurauan kerana mereka semua minta dana untuk berniaga,” katanya.

Pada 2018, PZS juga memberi bantuan sebuah kereta Proton Saga, membiayai kos mendapatkan lesen memandu untuk memudahkan Maslina menghantar bekalan ikan pekasam kepada pelanggan.

Katanya, kursus yang dijalani memberikan ilmu berharga mengenai cara meluaskan pasaran ikan pekasam dihasilkan termasuk secara dalam talian. Berkat kesabaran menempuhi pelbagai halangan termasuk pernah ditipu, beliau kini bergelar usahawan ikan pekasam dengan 40 agen yang membekalkan produk keluarannya yang dikenali sebagai Ikan Pekasam Cik Na.

Kini ibu muda itu tidak lagi perlu lagi menjala ikan di sungai kerana mempunyai pembekal dari Ayer Hitam, Johor. Bebas gelaran asnaf Malah Maslina sudah diiktiraf berjaya keluar daripada gelaran asnaf secara rasmi pada Mac lalu dan kini menyumbang kepada PZS dan menjadi ikon untuk membantu asnaf lain.

Hasil ikan pekasamnya juga semakin dikenali dan mendapat tempahan dari seluruh negara dan menjelang Ramadan, pendapatannya dijangka mencecah RM20,000 sebulan.

“Mereka yang diuji dengan kesusahan hidup, saya nasihatkan jangan mudah menyerah dan berputus asa sebaliknya berusaha mencari jalan keluar daripada kesusahan berkenaan. Bersyukur kerana dipertemukan dengan PZS yang banyak membantu asnaf seperti kami untuk membina hidup baharu,” katanya.

661 dibaca
Berita Harian X