Ahad, 28 April 2019 | 11:51am
Temubual Ketua Pengarah Eksekutif CIIF, Dr Azura Othman. - Foto Salhani Ibrahim

Dr Azura terajui industri kewangan patuh syariah

KUALA LUMPUR: Menerajui entiti industri kewangan Islam memerlukan komitmen jitu dan perancangan strategik bagi mencapai matlamatnya.

Antaranya memartabatkan tiga teras utama iaitu memantapkan ilmu, integriti dan perkhidmatan dalam kalangan ahli institut sektor berkaitan yang kini mendapat permintaan menggalakkan.

Ketua Eksekutif Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIIF), Dr Azura Othman, berkata tanggungjawab memacu organisasi yang dibangunkan pada 2008, dilaksanakan menerusi transformasi penyusunan tiga tahun lalu.

Beliau berkata, usaha itu berbaloi kerana penyusunan itu berupaya melonjakkan pembabitannya dalam pasaran kewangan Islam yang lebih berdaya.

Katanya, menerusi komitmen itu berjaya meletakkan kedudukannya dalam senarai 20 teratas wanita dalam sektor kewangan Islam.

“Meskipun industri dipelopori lelaki, sektor berkenaan tidak prejudis terhadap kepemimpinan wanita kerana penilaian berteraskan pengalaman, kredibiliti dan kelayakan, bukan jantina.

“Bagi saya industri ini tidak menunjukkan diskriminasi terhadap berikutan landskap kewangan Islam mengamalkan keterbukaan dan meraikan kesaksamaan,” katanya kepada BH.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Malaysia Debt Ventures Berhad berkata, penerimaan positif berteraskan pengalaman, pengetahuan, budaya hormat, keupayaan dan kecekapan.

Biarpun katanya, ketika itu beliau satu-satunya wanita yang dilantik menganggotai lembaga pengarah bank berkenaan.

“Ini bertepatan apabila CIFF adalah perintis dalam operasi membangunkan institusi yang memberi tumpuan kepada kelayakan profesional pengamal industri kewangan berasakan syariah,” katanya.

Pengalaman kerjayanya sepanjang tempoh 18 tahun sebelum ini, lebih terarah kepada bidang perakaunan dan perundingan percukaian, namun kecenderungan itu beralih kepada pembangunan modal insan dalam kewangan Islam peringkat pengurusan organisasi.

“Apabila beralih bidang memang terdapat perbezaan, apabila skop kerjaya terdahulu tertumpu kepada tawaran perkhidmatan perundingan pelanggan di sektor perbankan, insurans dan takaful.

“Namun dengan menerajui bidang kewangan Islam, saya berada di antara pengamal industri berkenaan memandangkan kebanyakan kakitangan kakitangan industri itu adalah ahli CIIF,” katanya.

Terokai industri baharu

Menceritakan pengalaman terdahulu ketika berkhidmat di firma perakaunan, PricewaterhouseCoopers Taxation Services (PwC), beliau ditugaskan mengendalikan pelanggan industri kewangan Islam yang menjadi faktor pencetus untuknya menerokai industri baharu.

Katanya, ketika itu sekitar 2008, beliau melanjutkan pengajian bagi mendapat kelayakan profesional kewangan Islam bertauliah dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

“Pada 2012, saya melepaskan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif di PwC bagi melanjutkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kewangan Islam sepenuh masa di CIIF selama satu setengah tahun.

“Ketika di PwC saya diberi tugas mengendalikan pelanggan yang berurusan menerusi kaedah syariah, sekali gus menjadi perintis berhubung sistem kewangan Islam,” katanya.

Kewangan Islam berkembang

Kemudian pada 2012, Azura berkata, beliau meneruskan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kewangan Islam dari Institut Profesional Kewangan Islam Bertauliah (CIIF) dengan tempoh satu tahun enam bulan.

Katanya, penubuhan CIFF pada 2006 adalah sebahagian inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) dalam usaha menubuhkan institusi khusus memantapkan ekosistem kewangan berasaskan syariah di negara ini.

“Industri kewangan Islam mencatatkan pertumbuhan menggalakkan, terutama sekitar awal 2000 dengan menyaksikan peningkatan harga minyak dunia dan kecairan dalam pasaran.

“Perkhidmatan itu membawa peluang pasaran dengan menjadikan pelabur dari Asia Barat sebagai pelanggan utama mendapatkan khidmat pengurusan kewangan berasaskan Islam.

“Sepanjang tempoh itu, bidang kewangan Islam berkembang dan mencetus inspirasi dalam menerokainya industri berkenaan secara serius. Menerusinya secara tidak langsung, tawaran itu memberi kefahaman mengenai sektor kewangan Islam secara menyeluruh,” katanya.

Melihat spektrum luas itu, mendorong Azura meneroka pasaran perkhidmatan berasaskan syariah secara meluas merangkumi pengurusan dan kepentingan dana awam oleh institusi seperti bank, takaful dan syarikat pengurusan dana.

Tingkatkan pengetahuan

Tuntutan itu memerlukan beliau meneruskan usaha meningkatkan pengetahuan berkaitan bagi memenuhi pasaran semasa.

“Pengamal kewangan Islam bertanggungjawab memikul tugas dengan amanah dan penuh integriti bagi meningkatkan kepercayaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, dua tahun diberi mandat mempengerusikan jawatankuasa lembaga audit, membuktikan tiada halangan untuk pengurus wanita sepertinya menerajui bidang kewangan Islam.

“Secara peribadi, saya berpendapat ramai wanita mampu menonjol jika mereka mendapat sokongan majikan untuk pelaksanaan tanggungjawab yang diberi selain penyediaan waktu kerja lebih anjal bagi menyeimbangkan tugas menguruskan keluarga dan tumpuan di tempat kerja,” katanya.

811 dibaca
Berita Harian X