Isnin, 22 April 2019 | 12:40pm

Wanita pertama pakar bidang peluru, bahan letupan

KUALA LUMPUR: Kepakaran mengalas tugas memberi khidmat dalam bidang kejuruteraan peluru dan bahan letupan menjadikan Staf Sarjan Nur Ainnatul Sakinah Azizan sebagai wanita pertama Tentera Darat Malaysia (TDM) memilik bidang terbabit.

Nur Ainnatul Sakinah, 37, juga adalah calon wanita tunggal menghadiri temuduga dalam bidang Kejuruteraan Peluru yang dihadiri pada 2010.

Beliau kemudiannya terpilih sebagai anggota wanita Tentera Darat terawal menjawat jawatan Juruteknik Peluru TDM.

“Saya bertugas sebagai Juruteknik Peluru TDM, iaitu skop kerjaya membabitkan khidmat bantuan teknikal dalam bidang kejuruteraan peluru dan bahan letupan bagi pasukan TDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya kepada BH.

Beliau juga terbabit dalam melaksanakan ujian pembuktian dan pembaikan ke atas peluru dan bahan letupan TDM sepanjang memikul tanggungjawab sebagai juruteknik peluru.

“Dengan berbekalkan minat saya yang begitu tinggi dalam bidang ini, saya satu-satunya wanita pertama mengikuti kursus asas peluru bahan letupan selama setahun di Pusat Latihan Kor Ordnans Diraja, Sel Latihan Peluru, Batu Arang, Selangor.

“Ketika di sana, saya perlu melalui kursus Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains selama tiga bulan kerana modul, rujukan, terma dan bahan ilmiah semuanya di dalam Bahasa Inggeris.


MEMILIKI kepakaran peluru dan bahan letupan, menjadikan Staf Sarjan Nur Ainnatul Sakinah Azizan, wanita pertama Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa berada di barisan depan dalam bidang kejuruteraan peluru.

“Sekiranya saya gagal dalam tiga modul peluru dan bahan letupan, maka saya tidak layak untuk menjadi Juruteknik Peluru,” katanya.

Selepas tamat kursus, beliau ditugaskan di Pasukan Platun Peluru 6 KOD (6 Kompeni Kor Ordnans Diraja) yang mana membekalkan peluru dan bahan letupan kepada pasukan pengguna.

Ibu tunggal kepada dua anak lelaki ini berkata, sebagai juruteknik peluru TDM, antara tugasan perlu dijalankan adalah melaksanakan pembuktian peluru dan bahan letupan menerusi ujian Complete Rounds Proof (CRP), uji bukti ini perlu bagi menentukan kebolehgunaan peluru dan bahan letupan di dalam perkhidmatan TDM.

Bagi peluru dan bahan letupan yang mengalami kecacatan kecil, ia akan melalui proses pembaikan dan seterusnya diuji melalui ujian CRP untuk menentukan fungsinya.

“Saya juga melakukan tugasan pemusnahan peluru dan bahan letupan yang rosak, gagal berfungsi atau tidak meletup di kawasan lapang sasar atau latihan,” katanya.

Nur Ainnatul Sakinah berkata, skop kerjayanya juga memerlukan beliau melaksanakan pembersihan lapang sasar terhadap Unexploded Ordnance (UXO) apabila diarahkan oleh formasi atasan.

Beliau juga menjalankan tugas litupan keselamatan bahan letupan bagi membantu pihak risikan melaksanakan tugasan keselamatan untuk majlis rasmi kerajaan membabitkan orang kenamaan dan pegawai tertinggi tentera, sama ada di tempat awam atau kawasan kem.


MEMILIKI kepakaran peluru dan bahan letupan, menjadikan Staf Sarjan Nur Ainnatul Sakinah Azizan, wanita pertama Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa berada di barisan depan dalam bidang kejuruteraan peluru.

“Saya turut menyiasat kes kemalangan, kecacatan, kerosakan peluru dan bahan letupan yang dilaporkan pasukan atau formasi atasan serta menjalankan tugas pemusnahan ke atas alat letupan reka ganti,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik berasal dari Johor Bahru ini juga bertanggungjawab melaksanakan tugasan simulasi peluru dan bahan letupan semasa latihan tentera atau acara rasmi kerajaan.

Tugas menasihati pasukan terhadap keselamatan, penyimpanan, penyelenggaraan dan penggunaan peluru dan bahan letupan berpandukan kepada arahan dan prosedur ditetapkan TDM juga tersenarai dalam bidang tugasnya.

Seingat beliau, cabaran paling getir sepanjang sembilan tahun dalam bidang itu ialah pembabitan secara tidak langsung dalam pemusnahan peluru bahan letupan skala besar di Asahan, Melaka dan pemusnahan bom jenis grenade yang tidak meletup di Tapak Baling Grenade, Gemas, Negeri Sembilan pada 2014.

“Setiap kali menjalani latihan pemusnahan peluru dan bahan letupan, saya seperti orang lain, ada rasa gugup dan menggigil, tapi rasa itu dapat diatasi dengan baik berbekalkan pengetahuan yang mendalam.

“Saya bekerjasama dengan kumpulan yang mana semuanya anggota lelaki dan saya tidak pernah mengalah walaupun saya seorang wanita,” katanya.

Mewarisi jejak ayah dan datuknya yang juga tentera, beliau yakin individu perlu ada ilmu pengetahuan, kemahiran, tenang dan yakin ketika mengendalikan tugasan.

Mengendali alat letupan ini, beliau berkata dia perlu memikirkan aspek keselamatan yang tinggi selain penjagaan diri secara sempurna. Ini adalah kerana dia perlu mengendalikan bahan kimia berbahaya.

Lazimnya, selepas latihan menggunakan bahan letupan dan kimia beliau akan makan menggunakan sudu untuk tempoh seminggu sebagai langkah berwaspada menjaga kebersihan dan keselamatan.

“Cuci bahagian tangan sehingga ke siku dan saya juga pernah mengalami alahan seperti naik ruam dan gatal-gatal,” katanya.

Mengenai misi masa depan, beliau berharap diberi peluang bertukar idea dan kepakaran dengan tentera wanita dari negara lain.

Beliau juga dicalonkan antara Pegawai Kerja Peluru yang akan mengisi kekosongan perjawatan sedia ada pada masa hadapan dan bakal menjawat tugasan sebagai Pegawai Kerja Peluru wanita pertama TDM.

869 dibaca
NUR Ainnatul Sakinah Azizan
Berita Harian X