Khamis, 18 April 2019 | 10:15am
Moderator, Kamarul Bahrin Haron (kiri), Marina, Tereq dan Dr Adeeba Forum 30 tahun HIV/AIDS di Malaysia: Stigma, Sains dan Perkongsian Tanggungjawab yang dianjurkan sempena Bengkel Pemekaan Media ke atas HIV & AIDS MAF 2019, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - NSTP/Rosela Ismail

Dana perniagaan tingkat ekonomi wanita HIV/AIDS

KUALA LUMPUR: Wanita yang hidup dengan HIV/AIDS kini berpeluang menyertai Skim Bantuan MyLady untuk membuka perniagaan sendiri bertujuan memperkasa dan meningkatkan kemahiran dan ekonomi golongan itu.

Skim berbentuk pinjaman tanpa faedah itu ditawarkan kepada wanita yang dijangkiti HIV/AIDS dan akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Nerine Tan, berkata sebagai permulaan kira-kira RM135,000 diperuntukkan kepada 20 wanita dari golongan berkenaan untuk memulakan perniagaan berskala kecil.

Katanya, setiap wanita yang terpilih akan menerima dana RM5,000 hingga RM10,000 untuk memulakan perniagaan mengikut minat dan kemahiran mereka.

“Skim yang dilancarkan di bawah Yayasan Sime Darby ini akan dipantau oleh Yayasan Aids Malaysia (MAF) di samping kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan latihan kemahiran dalam bidang berkaitan.

“Menerusi skim berkenaan, wanita yang hidup dengan HIV/AIDS akan melengkapkan diri dengan pengetahuan dan rujukan pekerjaan melalui program sokongan rakan sebaya,” katanya.


Nerine (kanan) menyerahkan sumbangan dana untuk Skim Bantuan MyLady kepada Dr Adeeba. - NSTP/Rosela Ismail

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran “MyLady Assistance Scheme” bagi membantu wanita yang hidup dengan HIV/AIDS.

Hadir sama Penaung MAF, Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengerusi MAF, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Dr Adeeba, berkata masyarakat seharusnya memberi peluang golongan itu meningkatkan kemahiran sekali gus menjadikan mereka wanita berdikari bagi meneruskan kehidupan lebih bermakna.

“Kita mahu golongan ini memperkasakan diri menerusi ekonomi dan memiliki pekerjaan sendiri.

“Program ini diharapkan meningkatkan keyakinan dari mereka yang biasanya dibelenggu stigma dan diskriminasi masyarakat dan ada pendapatan sendiri,” katanya.

120 dibaca
Berita Harian X