Selasa, 16 April 2019 | 12:00am

Gelandangan mampu berdikari

KUALA LUMPUR: Mengenangkan hidup tanpa tujuan, nasib terumbang-ambing selepas dihalau keluarga tiga tahun lalu, dianggap sebagai mimpi ngeri kepada bekas gelandangan yang hanya dikenali sebagai Desmond.

Beliau yang berasal dari Kuching, Sarawak menganggap dirinya umpama mati hidup semula, sebelum menerima semangat daripada petugas Anjung Singgah, agensi pusat khidmat bantuan sosial membantu gelandangan.

Menurutnya, dia dihalau dengan alasan mereka tidak sehaluan sebaik mengetahui beliau sudah memeluk Islam.

“Keluarga sukar menerima hakikat dan mengambil keputusan menghalau saya dari rumah. Selain tidak diberikan wang, ijazah sarjana muda yang diperoleh dari Universiti Malaya turut dibakar hingga menyukarkan saya mencari pekerjaan.

“Hampir dua tahun tinggal di Kuala Lumpur sehelai sepinggang, mencari pekerjaan agak sukar, ditambah pula tiada bukti kelayakan akademik. Saya kehilangan punca dan tidak tahu hendak ke mana, sebelum diberitahu seorang rakan mengenai Anjung Singgah dan segera ke agensi itu bagi mendapatkan bantuan,” katanya kepada BH.

Desmond berkata, dengan bantuan petugas Anjung Singgah beliau mendapatkan semula salinan akademik dan dibantu mencari pekerjaan sesuai.

“Saya melakukan pelbagai kerja, termasuk menjadi pembantu restoran, walaupun pendapatan kecil, namun memadai. Diberi peluang tinggal di kediaman sementara Anjung Singgah sebelum berpindah ke rumah sewa,” katanya.

Seperti penghuni Anjung Singgah lain, Pak Long Ali berkata, beliau bersyukur diberi peluang menjadi penghuninya. Hampir setahun dia menjadi gelandangan di sekitar kawasan Chow Kit dan Jalan Raja Laut sebelum ditempatkan di Anjung Singgah.

“Melihat sikap saya yang tegas, petugas Anjung Singah menawarkan pekerjaan sebagai warden di penempatan sementara di Jalan Pahang. Saya bersyukur, kehidupan kini selesa berbanding sebelumnya, malah berpeluang menyantuni gelandangan lain di sekitar ibu kota,” katanya.

Mengulas cabaran memulihkan semangat gelandangan untuk memulakan hidup baharu dengan lebih sempurna, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, berkata golongan ini tidak boleh dipinggirkan.

Selami masalah gelandangan


ANJUNG Singgah di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. - Foto Supian Ahmad

“Sebagai pertubuhan kebajikan beliau berkata, pihaknya bertanggungjawab menyantuni golongan kurang bernasib baik dengan menyelami masalah bagaimana mereka boleh terjerumus menjadi gelandangan. Perhatian serta sokongan ini memulihkan semangat mereka untuk bangkit dan memulakan dengan lebih selesa, selain berdikari meneruskan kelangsungan hidup,” katanya baru-baru ini.

Che Asmah berkata, kira-kira 73.9 peratus gelandangan berdaftar dengan Anjung Singgah memperoleh pekerjaan menerusi program pencarian kerja (Job Matching). Jumlah itu membabitkan 5,022 daripada 6,796 peserta yang sudah diserapkan dalam 14 bidang pekerjaan iaitu pengawal keselamatan, perhotelan, pemasaran dan pengurusan yang sesuai dengan keupayaan dan kelayakan yang dimiliki.

“Mereka sudah bekerja sejak Januari 2011 hingga Disember 2018 di beberapa majikan sekitar Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Georgetown, di Pulau Pinang,” katanya.

Anjung Singgah, agensi pusat khidmat bantuan sosial dan intervensi diwujudkan bertujuan membantu gelandangan produktif serta bersedia menjalani proses pemulihan. Antara perkhidmatan disediakan, termasuk penginapan sementara, makan dan minum, program kaunseling dan motivasi, pusat rujukan bantuan sosial serta bantuan mendapatkan pekerjaan melalui kerjasama agensi kerajaan dan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Che Asmah berkata, maklum balas daripada agensi yang mengambil mereka bekerja mendapati, golongan ini mampu menjalankan pekerjaan dengan sempurna. Mereka juga ada keinginan hidup seperti insan lain, namun tidak mengetahui saluran terbaik untuk tujuan itu.

“Maklumat awal mendapati penghijrahan mereka dari kampung ke bandar memang dengan niat mencari pekerjaan, namun kehilangan punca disebabkan kurang maklumat, selain kehabisan wang belanja untuk meneruskan hidup.

“Ini membuktikan tidak semua gelandangan ini hanya mengharapkan bantuan semata-mata, jika ada pekerjaan mereka sedia melakukannya,” katanya.

Khidmat tambahan


HIASAN dalaman Anjung Singgah. - Foto Supian Ahmad

Beliau berkata, khidmat tambahan yang disediakan, termasuk sesi kaunseling, pemeriksaan kesihatan (klinikal), bantuan makanan percuma, memberi pakaian dan barangan keperluan peribadi, mencarikan kemudahan bilik sewa serta program kerohanian bersesuaian.

“Bagi memantapkan diri, mereka turut diberikan kelas asas bahasa Inggeris, kelas asas komputer, penampilan diri sebelum melalui proses temu duga oleh majikan,” katanya.

Ada juga kes kata beliau, individu ini datang ke bandar tanpa tujuan sebenar, namun terkandas kerana kehabisan wang dan golongan ini diberikan bantuan kewangan untuk pulang semula ke kampung halaman.

“Menjadi hasrat kami untuk melihat ibu kota bebas golongan gelandangan, kita lihat bandar besar seluruh dunia antaranya, New York, Paris dan Toronto, gelandangan sukar diatasi. Sekurang-kurangnya Anjung Singgah dapat melakukan sesuatu bagi mengubah nasib hidup mereka,” katanya.

245 dibaca
PENULIS bersama bekas gelandangan yang kini sudah mempunyai pekerjaan tetap. - Foto Supian Ahmad
Berita Harian X