Isnin, 15 April 2019 | 1:14pm
Tempoh 6 bulan sebagai KPI JAKESS tangani banyak kes babit gantung tak bertali. - Foto hiasan

90 peratus kes cerai diselesai lebih cepat

KUALA LUMPUR: Lebih 90 peratus kes perceraian diselesaikan selepas Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) menetapkan tempoh enam bulan sebagai Pengukur Indeks Prestasi (KPI) bagi kes tertunggak termasuk membabitkan tuntutan isteri digantung tak bertali.

Sejak KPI itu dilaksanakan pada empat tahun lalu, sejajar dengan Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam dengan memperkenalkan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, banyak kes diselesaikan tahun demi tahun.

Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, berkata berdasarkan rekod pada 2000 hingga 2013, hanya kira-kira 50 peratus kes tertunggak yang didaftarkan dapat diselesaikan.

Sebagai contoh, sebanyak 8,804 daripada 11,072 kes perceraian yang didaftarkan berjaya diselesaikan pada 2014, dengan hanya 2,268 kes tertunggak, manakala pada 2015 sebanyak 10,224 kes daripada 11,896 kes didaftarkan diselesaikan.

Sementara itu, sebanyak 11,860 kes daripada 11,161 kes perceraian yang didaftarkan di negeri itu berjaya diselesaikan sepanjang tahun lalu, iaitu hanya 699 kes yang tertunggak.

Persetujuan dua belah pihak mudahkan proses cerai

Fakhrul Azman, berkata dengan persetujuan kedua-dua pihak, lafaz talak gugur dengan mudah tanpa permohonan penangguhan yang memakan masa lama sebelum ini.

Katanya, kes gantung tidak bertali ini boleh diselesaikan dengan cepat jika isteri mematuhi prosedur asas permohonan sebaik ditinggalkan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Andai suami tidak bersetuju, mahkamah meminta suami dan isteri melantik wakil pendamai mewakili kedua-dua pihak bagi mencari jalan menyelamatkan perkahwinan.

“Jika wakil dilantik gagal menyelesaikan masalah, mahkamah meminta kebenaran suami melafazkan talak (shiqaq).

“Sekiranya suami enggan, mahkamah akan menasihatkan mereka melantik hakam bukan dalam kalangan wakil ,” katanya.

Beliau berkata, apabila keadaan semakin kritikal, mahkamah sendiri akan melantik hakam dalam kalangan pegawai syariah mewakili kedua-dua pihak.

Katanya, walaupun berhadapan pelbagai prosedur perbicaraan mengikut ketetapan baharu ini, kes boleh selesa dalam tempoh kurang enam bulan.

“Bagi kebanyakan kes permohonan cerai memang mengambil masa lama disebabkan kegagalan isteri mengetahui hak mereka yang diabaikan.

“Hak mengenainya sudah dimuatkan dalam silibus kursus perkahwinan yang dihadiri pasangan sebelum ini. Mereka perlu lebih peka mengenai hak jika berlaku sebarang kesulitan sepanjang tempoh perkahwinan,” katanya.

Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Abdul Aziz, berkata isteri mendakwa digantung tidak bertali tidak timbul, sekiranya mereka sedar hak dilepaskan secara baik dikemukakan lebih awal ke mahkamah syariah sebaik sahaja diabaikan.


Presiden Persatuan Wanita Inspirasi Negara (WIN), Norhimah Abdul Aziz. - NSTP/Rosela Ismail

Rujuk pejabat agama jika ditinggal tanpa berita

Katanya, sekurang-kurangnya jika tidak ada maklumat wanita perlu merujuk ke pejabat agama berhampiran selepas ditinggalkan tanpa berita atau tidak ada sebaran nafkah dalam tempoh tiga bulan.

“Kurang pengetahuan atau langsung tidak mengetahui menjadikan isteri seolah-olah rela ditinggalkan begitu sahaja umpama digantung tidak bertali, gara-gara keengganan suami melafazkan talak,” katanya.

Norhimah berkata, walaupun isu gantung tidak bertali kerap berlaku, namun ada peruntukan undang-undang syariah membenarkan isteri atau wanita menuntut cerai taklik atau mendapatkan fasakh.

“Tujuan taklik untuk menyelamatkan isteri yang digantung tak bertali itu daripada terus hidup dalam ketidaktentuan.

“Berhadapan situasi sedemikian timbul pelbagai kesulitan terhadap wanita terutama bagi mereka masih muda dan mempunyai masa depan lebih cerah jika bertemu jodoh semula dengan memulakan hidup baharu,” katanya.

Berita Harian X