Ahad, 10 March 2019 | 10:00am

Pendidikan seks, kekang hamil luar nikah

Kuala Lumpur: Pendidikan seks dan reproduktif perlu dibincangkan seawal usia kanak-kanak bagi memberi pendedahan agar memahaminya sekali gus mampu mengurangkan jumlah hamil luar nikah dalam kalangan remaja.

Ketua Unit Kesihatan Reproduktif Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Hamizah Mohd Hassan, berkata kaji selidik kekeluargaan dijalankan LPPKN pada 2014 mendapati ibu bapa tidak selesa membicarakan dan mendedahkan ilmu seks di hadapan anak.

Katanya, sedangkan maklum balas itu turut mendapati anak lebih mahukan ibu bapa untuk membantu mereka mengetahui dan bercerita berkenaan pendidikan seks.

“Pendidikan seks dan reproduktif ini perlu digembleng pelbagai pihak termasuk kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ibu bapa kepada kanak-kanak," katanya.

Beliau ditemui ketika perbincangan topik Jom Bicara berkenaan Pendidikan Seks, anjuran Soroptimist Puberty Organisation Toolkit (SPOT) dan Soroptimist International Club of Petaling Jaya (SIPJ) di sini, semalam.

Statistik Remaja Hamil 2014 dikeluarkan Kementerian Kesihatan, menunjukkan penurunan ketara membabitkan remaja hamil luar nikah berbanding 2018.

Sumber Kementerian Kesihatan, menerusi kehamilan yang berdaftar di Klinik Kesihatan, menunjukkan pada 2017, sebanyak 3,694 kes remaja hamil luar nikah.

Bagaimana pun, berlaku penurunan kes, iaitu hanya 2,873 dicatatkan sepanjang tahun lalu.


Dr Hamizah Mohd Hassan (dua dari kiri) ketika ditemui pada perbincangan topik Jom Bicara berkenaan Pendidikan Seks, anjuran Soroptimist Puberty Organisation Toolkit (SPOT) dan Soroptimist International Club of Petaling Jaya (SIPJ) di Kuala Lumpur. - Foto Mahzir Mat Isa

"Antara faktor yang menyebabkan penurunan ini adalah usaha dan kerjasama pelbagai pihak untuk mengatasi isu ini secara berterusan," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa insan yang dipercayai anak dan diharapkan membuang rasa malu untuk mendidik mengenai pendidikan seks sebagai pendedahan awal sekali gus mengukuhkan institusi kekeluargaan di negara ini.

Beliau berkata medium pendidikan dan bantuan secara dalam talian yang dilakukan kebanyakan NGO untuk menangani masalah dan memberi pendidikan kesihatan dan reproduktif kepada remaja amat baik selari dengan dunia golongan itu yang menggunakan teknologi untuk bersosial.

Katanya, walaupun fokus LPPKN adalah remaja berusia 13 hingga 24 tahun, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun menyediakan modul pendidikan seks kepada sekolah.

Pengasas SPOT, Siti Aishah Hassan Hasri, berkata SPOT diasaskan pada 2015 lalu bermatlamat menyampaikan pendidikan akil baligh untuk memperkasa golongan perempuan.

Katanya, SPOT adalah medium berguna membantu mengurangkan masalah kesihatan seksual, komuniti dan reproduktif seperti pengguguran tidak selamat, pembuangan bayi dan perkahwinan kanak-kanak.

Kanak-kanak seawal usia dua tahun sepatutnya didedahkan pengetahuan seks tetapi dengan kaedah asas dan secara berperingkat.

"Ibu bapa perlu memainkan peranan memberitahu apa yang boleh dan tidak boleh disentuh. Penggunaan terma perlu tepat supaya tidak mengelirukan anak.

"Misalnya, ajar anak siapa boleh sentuh mereka dan terangkan dengan bahasa yang mudah difahami tetapi jelas," katanya.

Sukarelawan SPOT, Chahana Ramesh, berkata beliau melihat pendidikan seks perlu dibicarakan secara terbuka sebagai persediaan melalui fasa dewasa,” katanya.

Berita Harian X