Isnin, 25 Februari 2019 | 10:00am
Siti Nurani (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan pekerja di NIOSH, Bandar Baru Bangi. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kekal aktif, produktif di tempat kerja

BANGI: Bidang kecergasan sinonim dengan golongan lelaki, namun sejak kebelakangan ini kecenderungan itu semakin menyerlah dalam kelompok wanita termasuk mampu berdaya saing sebagai jurulatih dalam arena berkenaan.

Pakar Teknikal Bahagian Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Perundingan, Penyelidikan dan Pembangunan Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH), Siti Nurani Hassan, umpamanya adalah satu-satunya wanita dalam kelompok 12 pakar teknikal bidang kecergasan di institut terbabit.

Peranan beliau di NIOSH sebagai jurulatih kecergasan, tenaga pengajar, membuat penyelidikan dan memberi khidmat nasihat bagi menggerakkan masyarakat ke arah gaya hidup sihat.

Katanya, golongan pekerja di negara ini memerlukan bimbingan profesional supaya lebih sihat dan berdaya siang dalam dunia pekerjaan dengan melakukan senaman dan aktiviti kecergasan.

“Aktiviti itu untuk memastikan ramai dalam kalangan pekerja lebih sihat dan cergas. Ramai pekerja mempunyai penyakit hingga mengakibatkan mereka tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna disebabkan mengabaikan amalan gaya hidup sihat.

“Justeru, sebilangan mereka mudah menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) yang dianggap sebagai pembunuh senyap. Antaranya menghidapi penyakit serius antaranya masalah kardiovaskular, berat badan berlebihan, ketegangan dan kemurungan,” katanya ditemui BH, baru-baru ini.

Siti Nurani berkata, laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) membuktikan setiap pekerja memerlukan penjagaan kesihatan berterusan bagi mengurangkan risiko NCD.


Siti Nurani (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan pekerja di NIOSH, Bandar Baru Bangi. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Menyedari trend penyakit itu, NIOSH memperkenalkan program Promosi Kesihatan dan Kesejahteraan Menyeluruh (TWHP) yang menyasarkan sektor pekerjaan negara ini.

“Sebenarnya inisiatif dimulakan pada 2002 itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, mengurangkan NCD iaitu kanser, masalah jantung, diabetes, hipertensi dan darah tinggi terutama kumpulan mereka berusia umur 30 tahun ke atas.

“Modul ini menekankan saringan pemeriksaan kesihatan dan aktiviti kecergasan supaya pekerja fokus pada pekerjaan dan kekal aktif menjalani kehidupan lebih sihat,” katanya.

Dengan inisiatif itu sebagai langkah pencegahan bagi mengelak majikan melabur terlalu tinggi dalam pembiayaan perubatan hingga mengakibatkan pekerja kerap mengambil cuti sakit.

Faktor ini menyumbang kepada kos tersembunyi kepada majikan berikutan ramai golongan terbabit menghidap penyakit kronik dan meninggal pada usia muda.

Peranan ibu kepada empat cahaya mata ini, amat besar di institut berkenaan juga pernah ke Jepun, pada 2014 sebagai ketua projek penyelidikan NIOSH bagi memperincikan kajian mengenai ukur tubuh pekerja tempatan.

Beliau mewakili institut itu untuk mengikuti latihan khas ke Munich, Jerman, pada 2017 dalam bidang kesihatan pekerjaan.

Katanya, penekanan penjagaan kesihatan penting untuk kehidupan berkualiti agar pekerja sihat dan cergas menerusi aktiviti fizikal.

“Modul ini sebagai sokongan Kementerian Sumber Manusia bagi menangani NCD membabitkan pekerja berusia 25 tahun dikesan mempunyai darah tinggi, diabetes dan obesiti. Keadaan itu semakin membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, pekerja menghidap penyakit terbabit boleh dibantu dengan mengamalkan senaman bersesuaian dan pelan pemakanan supaya kembali pulih serta melahirkan pekerja produktif.

“Kita akan menganalisis kandungan lemak, kolesterol, darah dan air kencing untuk memberikan panduan senaman bersesuaian supaya mereka tidak salah melakukan senaman.

“Ini sebahagian usaha pencegahan dan pendedahan asas berkaitan penjagaan tulang belakang, diet seimbang dan mengekalkan berat badan ideal sekali gus dapat meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata, persekitaran hidup dan suasana tempat kerja menyokong perubahan sikap dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

324 dibaca
Berita Harian X