Rabu, 20 Februari 2019 | 4:01pm
Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (dua dari kanan) melancarkan rawatan Radioterapi Intrabedah untuk pesakit kanser payu dara di Pusat Perubatan Prince Court. Turut sama Lee Hee Siang (kiri), Dr Harjit Kaur dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Prince, Chong Yee Mun (kanan). - Foto Rohanis Shukri

Jangan takut saringan kanser

Kuala Lumpur: Takut dan malu antara stigma yang masih membelenggu pesakit terutama dalam kalangan wanita apabila disaran menjalani ujian saringan mengesan barah payudara.

Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, berkata walaupun mereka sudah berpelajaran tinggi dan mempunyai kedudukan dalam masyarakat, tanggapan salah itu masih menebal dalam diri.

Berkongsi pengalaman, beliau berkata ketika menganjurkan program pemeriksaan barah payudara anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berlangsung di Alor Setar sekitar tahun 80-an, wanita takut menjalani saringan berkenaan.

“Pada masa sama juga, mereka menetapkan syarat, penganjur tidak membenarkan suami dan anak lelaki hadir ketika pemeriksaan dijalankan.

“Saya terpaksa akur dengan syarat mereka, bagi membolehkan pemeriksaan dapat dijayakan dengan kendalian doktor pakar dan jururawat terlatih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran mesin rawatan awal kanser payudara Radioterapi Intrabedah (IORT) berlangsung di Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), di sini, hari ini.

Ketika itu juga Dr Siti Hasmah berkata, rata-rata wanita takut untuk mengetahui masalah pada payudara mereka.

Beliau berkata, ibu dan kakaknya, Saleha penghidap kanser dan mereka meninggal dunia disebabkan penyakit itu.

“Ibu kanser tiroid, manakala Saleha menghidap kanser otak, payudara, stromal gastrointestinal (GISTs) dan ovari. Kakak meninggal dunia selepas lima tahun bertarung melawan penyakit,” katanya.

Sementara itu, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin PCMC, Dr Harjit Kaur Pardamen berkata, satu daripada 10 wanita berkemungkinan mendapat kanser payudara.

Menyedari bahayanya penyakit berkenaan, beliau menyarankan semua wanita menjalani ujian saringan bagi mengesan jika ada tanda awal mereka menghidap penyakit itu.

“Pengesanan awal penting bagi membolehkan pakar mengenal pasti tahap kesihatan dan menjalani rawatan awal jika mereka positif kanser.

“Pemeriksaan sekali setahun ini sebagai langkah pencegahan selain mengurangkan risiko serangan.

“Kanser payudara menyerang semua tidak kira usia. Wanita berusia 45 tahun ke atas, kemungkinan besar mendapat penyakit itu tinggi,” katanya.

Mengulas prosedur IORT, Dr Harjit berkata, proses berlangsung 25 minit selepas membuang ketumbuhan (tumor) ketika pembedahan berlangsung.

“Prosedur ini sesuai dilakukan bagi penghidap kanser tahap I dan II. Terapi sasaran berbilang disiplin memberikan pancaran X tenaga rendah secara terus pada masa pembedahan,” katanya.

Berita Harian X